Sunday, September 2, 2018

Anwar: Izzah terkesan apabila ayahnya dipukul setengah mati

Faisal Asyraf
Diterbitkan 1 Sep 2018, 10:21 malam


Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anak perempuannya Nurul Izzah berhak memberi pendapat berhubung pelantikan bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor sebagai fasilitator proses damai di selatan Thailand.

Ini kerana, kata Anwar, anaknya itu sangat terluka kerana Rahim memukul ayahnya ketika dia masih muda.

Rahim sebelum ini dipenjara dua bulan selepas memukul Anwar pada malam penahanannya pada 20 Sept 1998 selepas bekas timbalan perdana menteri itu dipecat dari jawatannya.

Anwar kemudian tampil di mahkamah dengan mata lebam. Rahim telah memohon maaf kepada Anwar dan keluarganya atas kejadian berkenaan.

"Nurul Izzah bebas menyuarakan pandangannya. Ketika itu, dia masih kecil dan sudah tentu dia terkesan apabila ayahnya dipukul setengah mati," kata Anwar dalam sidang media selepas Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018) di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah Anwar, yang lebih penting adalah kejadian itu dijadikan pengajaran kepada mereka yang berkuasa agar tidak menyalahgunakan kuasa.

Berhubung pelantikan Rahim sebagai fasilitator, Anwar berkata beliau menghormati bidang kuasa perdana menteri berhubung perkara itu.

"Kita perlu beri ruang kepadanya (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk memutuskan yang difikir sebaiknya terbaik," katanya.

Nurul Izzah sebelum ini mengkritik pelantikan Rahim melalui Twitter.

"Saya tegas menentang pelantikan seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah, ketika matanya ditutup dan tangannya digari - serta dibiarkan terlantar tanpa rawatan perubatan selama beberapa hari.

"Kemudiannya, berbohong kepada seluruh dunia mengenai lokasi dan nasib mangsa. Malu ke atas mereka yang melakukan kekejaman itu," katanya.

Rahim menjawab kenyataan Nurul Izzah dengan berkata "tidak relevan" untuk mengaitkan pelantikannya sebagai fasilitator dengan kejadian lebam Anwar.

Beliau juga menambah bahawa "apa yang berlalu sudah berlalu," dan percaya kerajaan memilihnya berdasarkan peranannya ketika rundingan damai dengan Parti Komunis Malaya pada 1989.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-