Friday, September 14, 2018

'HARAPAN lebih dahsyat dari Umno'

Hariz Mohd
Diterbitkan 14 Sep 2018, 1:20 petang


MUKTAMAR | Tidak sampai lima bulan usia kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN), PAS mendapati pentabdiran di Putrajaya itu jauh lebih buruk berbanding zaman Umno memerintah.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi Awang banyak kelemahan disaksikan berlaku di bawah kerajaan HARAPAN sekarang.

Antara kebejatan dilakukan Putrajaya, menurut Abdul Hadi, melibatkan kes-kes mahkamah.

Katanya semasa Malaysia di bawah kuasa BN ada juga menteri-menteri besar yang dibawa ke mahkamah dan dibicarakan atas tuduhan rasuah.

Malah kata presiden PAS itu ada antara mereka yang disabitkan kesalahan dan dihukum penjara.

"HARAPAN memerintah baru berapa bulan, bawa kes (pemimpin mereka) ke mahkamah, diselesaikan begitu saja.

"Baru memerintah empat bulan sudah ada masalah, apatah lagi kalau 60 tahun," katanya kepada media selepas merasmikan konvensyen Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di Kuala Terengganu hari ini.

Abdul Hadi menjelaskan kelemahan HARAPAN itu berlaku ketika Islam sudah mengajar supaya berlaku adil kepada semua orang tanpa mengira bangsa atau agama.

"Jadi ini (kerajaan HARAPAN) lebih teruk daripada Umno lagi, lebih dahsyat... ini yang kita alami," katanya.

Untuk rekod sebelum menjadi kerajaan pusat, beberapa pemimpin HARAPAN didakwa di mahkamah atas pelbagai tuduhan, termasuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim - kini menteri kewangan - dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Bagaimanapun bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang baru-baru ini selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik tuduhan mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-