Sunday, September 2, 2018

'Umno tidak perlukan Anwar Ibrahim'

Shakira Buang | Diterbitkan 2 Sep 2018, 8:37 pagi


Menyifatkan Umno sebagai parti keramat orang Melayu, setiausaha agungnya Tan Sri Annuar Musa berkata parti itu tidak memerlukan Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata untuk kelangsungannya selepas tidak lagi memegang kuasa.

"Baru-baru ini, Anwar Ibrahim keluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan bekerjasama dengan Umno. Kirim salam kepada Anwar Ibrahim.

"Umno tidak pernah perlukan Anwar," katanya ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Melayu di Pasir Salak, Perak malam tadi.

Annuar mengulas kenyataan ketua umum PKR itu seperti dilapor Berita Harian yang menolak dakwaan beliau akan mengadakan kerjasama dengan parti lamanya selepas menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Anwar berkata tanggapan itu mungkin muncul selepas beliau dilihat tidak terlalu keras mengkritik Umno.

Dalam ucapannya, Annuar berkata Umno tidak akan mati walaupun bekas pemimpin tidak lagi bersama parti itu, seperti Anwar dan Mahathir.

“Umno tidak mati walaupun Mahathir meninggalkan parti, Umno tidak mati walaupun lebih 20 tahun tanpa Anwar. Kita akan tetap berdiri tegak selagi ada anak muda Melayu.

"Allah menjadi saksi, hari ini Umno bukan sahaja tidak mati malah tampil lebih perkasa,” katanya yang juga anggota parlimen Ketereh.
Annuar sebaliknya berkata Mahathir dan Anwar yang sebenarnya akan memerlukan parti lama mereka satu masa nanti demi survival politik.

"(Mahathir) tak boleh berbangga dengan BERSATU yang baru berusia tak sampai dua tahun. (Anwar) tak boleh berbangga dengan PKR (kerana) yang melahirkan mereka adalah Umno," katanya lagi.

Dalam wawancara itu lagi, Anwar berkata tanggapan itu mungkin muncul selepas ada pihak mahu melihat orang Melayu bersatu dari segi politik, namun beliau kekal berpandangan Umno perlu menjadi pembangkang yang baik.

Tiada reformasi selagi Melayu berpecah

Mengulas lanjut, Annuar berkata sebarang usaha reformasi yang dilaungkan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan berjaya selagi orang Melayu tidak bersatu.

"Anwar menjanjikan reformasi apabila mengambil alih kerajaan, (Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli berjanji untuk hebatkan reformasi.

"Kita kirim salam kepada mereka kerana tidak mungkin ada reformasi selagi tiada penyatuan di kalangan orang Melayu.

"Datanglah Mahathir atau Anwar atau sesiapa saja, kita tidak mungkin dapat buat apa-apa (pembaharuan) selagi hidup kita berpecah. Dan (perpecahan) berpunca daripada pemimpin Melayu sendiri yang mengejar kuasa," katanya lagi.

Himpunan Kebangkitan Melayu diadakan pada hari sama kerajaan mengadakan Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara di ibu kota.

Antara yang hadi pada himpunan itu adalah Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-