Tuesday, October 16, 2018

DAP iktiraf sistem parlimen tanpa raja-raja, dakwa Razlan

Diterbitkan 16 Okt 2018, 10:50 malam


Bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii mendakwa teguran DAP kepada pemimpinnya yang menerima darjah kebesaran sebagai bukti parti itu tidak mengiktiraf sistem raja berperlembagaan.

Malah Razlan berkata perlembagaan DAP sendiri tidak langsung menyatakan sokongan terhadap sistem raja berpelembagaan.

"Jelas DAP adalah sebuah parti yang mengiktiraf sistem pentadbiran berpalimen tanpa raja-raja.

"Itu sebab sekian lama pemimpin DAP dilarang memegang gelaran yang dianugerahkan oleh Raja-Raja Melayu kepada mereka," dakwa Razlan dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Penolong Bendahari Kebangsaan DAP Datuk Ngeh Koo Ham hari ini berkata semua wakil rakyat DAP dikehendaki merujuk sebarang pemberian darjah kebesaran kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu sebelum memutuskan untuk menerima atau sebaliknya.

Ia katanya selari dengan dasar parti itu yang menyatakan anggota hanya boleh menerima gelaran selepas menyempurnakan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Mesyuarat CEC semalam diadakan susulan beberapa pemimpin parti itu dianugerahkan darjah kebesaran dari Melaka dan Sabah.

Mereka ialah pemimpin Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok View dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Wong Fort Pin yang menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk bersempena ulang tahun ke-80 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob Jumaat lalu.

Tiga lagi pemimpinnya dari Sabah menerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) dari Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin iaitu Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong, naib pengerusi Frankie Poon dan ADUN Sri Tanjung, Jimmy Wong.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke pula menyifatkan mereka yang menerima anugerah tanpa merujuk kepada kepimpinan DAP sebagai tidak menghormati parti itu.

"DAP mengiktiraf kepentingan gelaran dan anugerah sebagai cara untuk menghargai sumbangan tokoh-tokoh dalam masyarakat.

"Oleh itu DAP menasihati wakil rakyatnya dan ahli majlis untuk menerima penghormatan ini selepas mereka bersara daripada perkhidmatan, mungkin selepas mereka memberi sumbangan besar kepada masyarakat," katanya.

Mengulas lanjut, Razlan berkata tindakan wakil-wakil rakyat dari Melaka dan Sabah itu menenerima gelaran berkenaan secara langsung mengiktiraf sistem Raja Berpelembagaan di negara ini.

"Ini telah memberi tamparan hebat kepada perjuangan sebenar DAP.

"Alasan untuk mendapat gelaran selepas pencen ataupun perlu mendapat kebenaran CEC adalah dusta dan hanya mahu menjaga hati rakyat Malaysia buat sementara waktu," dakwanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-