Monday, October 22, 2018

Gesa tarik balik penangguhan projek masjid baharu

Published on October 22, 2018
in Nasional by webadmin

KUANTAN – Kerajaan digesa menarik semula penangguhan projek pembinaan masjid baharu terutamanya di negeri Pahang.

Setiausaha Pas Pahang, Roslan Zainal Al-Ahamadi berkata, ia kerana projek berkenaan sebahagian besarnya telah diluluskan kerajaan terdahulu setelah melalui proses penilaian yang munasabah.

Menurutnya, di Lipis sahaja sekurang-kurangnya tiga masjid telah diluluskan untuk dibina baharu susulan bangunan sedia ada terlalu uzur dan tidak sesuai lagi menampung keperluan ahli kariah.

“Bagaimanapun proses pembinaan bangunan baharu masjid-masjid ini terhenti sejak berlakunya perubahan kerajaan pada PRU14 lalu.

“Masjid tersebut ialah Masjid Kampung Mentara Baru di Merapoh, Masjid Kampung Seberang Jelai di Padang Tengku, dan Masjid Kampung Aur Gading,”katanya.

Roslan berkata, walaupun masjid-masjid itu pernah dibaikpulih namun kondisinya tidak lagi kondusif untuk kegunaan jemaah.

“Diharapkan dengan adanya bangunan masjid yang baharu, akan menjadi pemangkin menyuburkan pembangunan sosial di kawasan berkenaan,”katanya.

Beliau yang juga Timbalan Yang dipertua Pas Lipis turut menggesa agar projek pembinaan masjid berkaitan dapat dimulakan seberapa segera, sebagai manifestasi kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Selain pembinaan bangunan masjid yang baharu, kerajaan pusat bersama kerajaan negeri juga digesa menambahbaik kebajikan pegawai masjid dengan menambah bilangan pegawai dan imbuhan sewajarnya,”katanya.

Source: SH Nasional

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-