Saturday, October 13, 2018

Jalan ke masjid ditutup, ke pesta arak dibuka!

NOR AINNA HAMZAH
12 OKTOBER 2018

Annuar Musa

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa meluahkan kebimbangannya apabila melihat pemimpin Islam hari ini menjadi semakin permisif dan liberal termasuklah dalam isu penganjuran pesta arak 'Oktoberfest 2018'.

Annuar berkata, kerajaan dilihat semakin condong kepada nilai-nilai tajaan parti tertentu dalam kerajaan.

Menurutnya, sedikit demi sedikit nilai Islam terhakis kerana lemahnya dalam tawar-menawar politik.

“Kita terlalu bergantung kepad talian hayat yang dikuasai orang lain… Jalan untuk penduduk nak ke masjid ditutup tapi untuk pesta arak jalan diguna dan dibuka.

“Pemerintah tidak perlu membenar dan menggalakkan apa jua bentuk pesta bagi perkara yang dilarang oleh agama atau budaya kita di Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial Facebooknya, malam tadi.

Annuar berkata, pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi komentarnya tentang kenapa tidak menentang pesta arak berkenaan.

“Seperti biasa tulisannya simple dan logic pada pemikiran orang biasa. Banyak perkara yang saya bersetuju dgn PM walau saya adalah ahli parlimen parti pembangkang. Namun dalam soal pesta arak ini ini saya berbeza pendapat

“PM menjadikan alasan antara lain Oktoberfest ini tradisi khasnya bagi orang Jerman. Kalau pun benar begitu, perlu kita ingat, Jerman adalah sebuah negara yg penduduknya majoriti bukan Islam dan Islam tidak terpahat dalam perlembagaan negaranya,” katanya.

Menurutnya, Jerman juga bukan negara yang dipimpin oleh orang Islam.

“Sementara kita negara pimpinan orang Islam dan Islam itu agama bagi persekutuan. Perlu difahami, Islam melarang minuman arak kerana ia dianggap “khamr”atau sesuatu yang memabukkan.

“Orang yang mabuk sudah pasti memudaratkan dirinya dan juga orang lain… bila disebut festival sudah pasti ia dilakukan di tempat awam dan terbuka,” katanya.

Menurutnya, kesan langsung atau tidak langsung pada orang lain sudah tentu ada.

“Sebagai pemerintah, pimpinan bertanggungjawab pada semua rakyat pimpinannya dan bertanggungjawab juga kepada ALLAH SWT.

“Tidak wajar dilihat, diberi galakan atau dorongan oleh pemerintah dalam apa jua bentuk sekalipun. Boleh saja ada pesta tanpa seolah membudayakan amalan yang memudaratkan, baik arak mau pun khamr yang lainnya,” tegasnya.

Penganjuran 'Oktoberfest 2018' di Mid Valley mendapat bantahan banyak pihak namun ia tetap dibenarkan berlangsung kerana tidak melanggar undang-undang.

Pada 2017, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat pengusaha arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-