Showing posts with label pesta arak. Show all posts
Showing posts with label pesta arak. Show all posts

Saturday, October 13, 2018

Jalan ke masjid ditutup, ke pesta arak dibuka!

NOR AINNA HAMZAH
12 OKTOBER 2018

Annuar Musa

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa meluahkan kebimbangannya apabila melihat pemimpin Islam hari ini menjadi semakin permisif dan liberal termasuklah dalam isu penganjuran pesta arak 'Oktoberfest 2018'.

Annuar berkata, kerajaan dilihat semakin condong kepada nilai-nilai tajaan parti tertentu dalam kerajaan.

Menurutnya, sedikit demi sedikit nilai Islam terhakis kerana lemahnya dalam tawar-menawar politik.

“Kita terlalu bergantung kepad talian hayat yang dikuasai orang lain… Jalan untuk penduduk nak ke masjid ditutup tapi untuk pesta arak jalan diguna dan dibuka.

“Pemerintah tidak perlu membenar dan menggalakkan apa jua bentuk pesta bagi perkara yang dilarang oleh agama atau budaya kita di Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial Facebooknya, malam tadi.

Annuar berkata, pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi komentarnya tentang kenapa tidak menentang pesta arak berkenaan.

“Seperti biasa tulisannya simple dan logic pada pemikiran orang biasa. Banyak perkara yang saya bersetuju dgn PM walau saya adalah ahli parlimen parti pembangkang. Namun dalam soal pesta arak ini ini saya berbeza pendapat

“PM menjadikan alasan antara lain Oktoberfest ini tradisi khasnya bagi orang Jerman. Kalau pun benar begitu, perlu kita ingat, Jerman adalah sebuah negara yg penduduknya majoriti bukan Islam dan Islam tidak terpahat dalam perlembagaan negaranya,” katanya.

Menurutnya, Jerman juga bukan negara yang dipimpin oleh orang Islam.

“Sementara kita negara pimpinan orang Islam dan Islam itu agama bagi persekutuan. Perlu difahami, Islam melarang minuman arak kerana ia dianggap “khamr”atau sesuatu yang memabukkan.

“Orang yang mabuk sudah pasti memudaratkan dirinya dan juga orang lain… bila disebut festival sudah pasti ia dilakukan di tempat awam dan terbuka,” katanya.

Menurutnya, kesan langsung atau tidak langsung pada orang lain sudah tentu ada.

“Sebagai pemerintah, pimpinan bertanggungjawab pada semua rakyat pimpinannya dan bertanggungjawab juga kepada ALLAH SWT.

“Tidak wajar dilihat, diberi galakan atau dorongan oleh pemerintah dalam apa jua bentuk sekalipun. Boleh saja ada pesta tanpa seolah membudayakan amalan yang memudaratkan, baik arak mau pun khamr yang lainnya,” tegasnya.

Penganjuran 'Oktoberfest 2018' di Mid Valley mendapat bantahan banyak pihak namun ia tetap dibenarkan berlangsung kerana tidak melanggar undang-undang.

Pada 2017, penganjur membawa 250 jenama arak berbeza dari 43 syarikat pengusaha arak (breweries) untuk memenuhi citarasa pengunjung.

Sunday, April 15, 2018

Pengumuman calon PH Pahang meriah sajian arak

Posted By Admin
Apr 15, 2018 

HEBAT… Mereka belum lagi berjaya menguasai Malaysia namun beginilah gambaran keadaan yang bakal berlaku jika Pakatan Harapan (PH) diterajui DAP mampu berkuasa kelak: Pesta Arak!

Suasana itu bukan asing dan terbaharu tetamu yang hadir pada majlis pengumuman calon gabungan pembangkang berlogo PKR bagi Parlimen Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar turut disajikan dengan minuman keras.

Hidangan air dianggap ibu segala dosa maksiat bagi umat Islam itu dapat disaksikan jelas secara terbuka sepanjang majlis tersebut meriah berlangsung di Restoran Golden Empire Palace, Tanjung Lumpur, Kuantan semalam.

Pada majlis dihadiri Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan pemimpin DAP Selangor, Teng Chang Kim itu, seramai 11 calon PH diperkenalkan dengan mewakili satu lambang bersama PKR termasuk tujuh orang calon beragama Islam.

Pengumuman itu dilakukan oleh Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman. Antara dicalonkan ialah Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Indera Mahkota.

Penganjur seakan-akan biadab tidak hormati calon beragama Islam dan sebahagian penyokong mereka terdiri daripada orang Islam yang hadir apabila kelihatan setiap meja disajikan mewah dengan botol minuman keras.
Ini mengingatkan pendedahan yang pernah dibuat oleh bekas staf PetroSaudi, Xavier Justo kepada wartawan The Straits Times dari Singapura ketika ditahan dalam penjara Thailand beberapa tahun lepas atas jenayah komersial.

Menerusi wawancara eksklusif itu, Justo menyatakan editor portal The Sarawak Report, Claire Brown dan beberapa tokoh pembangkang merancang rai kejayaan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan acara pesta arak.

Kini belum pun PH berjaya menumbangkan BN, baru sahaja program pengumuman calon, mereka sudah rai majlis itu dengan hidangan arak. Nampak sangatlah paling berkuasa dalam PH ketika ini bukanlah pemimpin Melayu.

Sebaliknya pemimpin yang diketahui berfahaman Evangelis dari DAP dan PKR. Biarpun yang datang merasmikan majlis itu ialah Rafizi, seorang Melayu; tetapi arak di atas meja sudah diatur geng Evangelis dari DAP dan PKR.

Ternyata golongan itu semakin biadab dan berani hina syiar Islam sebagai agama Persekutuan. Justeru usah biarkan blok pembangkang ini meraikan kemenangan dengan arak pada Pilihan Raya Umum kali ini. 

Monday, October 16, 2017

Selepas bebas, Zamihan diangkat sebagai 'pejuang', bantah pesta arak di Johor

FMT Reporters
October 16, 2017

Pegawai Jakim itu menghantar mesej 'perjuangan' di samping diangkat sebagai pejuang kebenaran oleh penyokongnya walaupun dilabel 'angkuh' oleh Sultan Johor.
PETALING JAYA: Walaupun dibidas Sultan Johor sebagai “angkuh” dan “tin kosong”, Zamihan Mat Zin kembali aktif dengan pelbagai muat naik di Facebook beliau, termasuk membantah penganjuran pesta arak di Johor, sambil diangkat sebagai “pejuang Islam” oleh penyokongnya.

Pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang baru-baru ini disiasat berhubung kritikannya terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memuat naik pelbagai mesej “perjuangan” selepas dibebaskan Sabtu lalu.

Zamihan, 41, yang mengetuai NGO beliau, Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), ditahan berhubung ceramahnya di sebuah masjid di Shah Alam pada 7 Oktober, yang menyelar Sultan Ibrahim kerana menghalang dasar sebuah kedai dobi di Muar, Johor untuk hanya berurusan dengan orang Islam.

Zamihan juga mengundang kecaman kerana menyifatkan orang bukan Islam tidak bersih sehinggakan pakaian mereka tidak boleh dicampur aduk dengan pakaian penganut Islam.

“Kita ini negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua sumpah, wallahi, wabillahi… nak buat dobi ‘for Muslims only’ pun tak boleh, kita kata jumud, kita kata Taliban,” kata Zamihan seperti dipetik rakan video ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Selepas klip tersebut viral di Youtube, Zamihan menuduh beberapa media memutar belit ucapannya, walapun memohon ampun kepada Sultan Johor beberapa jam sebelum ditahan di bawah Akta Hasutan.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim membidas pegawai Jakim itu dan mengarahkan pihak berkuasa agama negeri tidak berurusan dengan Jakim.

“Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak,” menurut ucapan Sultan Ibrahim di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat pada Sabtu.

“Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia, selepas ini juga saya mengarahkan JAINJ tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim,” tambahnya, merujuk Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Kenyataan keras Sultan Johor itu bagaimanapun tidak menghalang pelbagai muat naik di Facebook Zamihan, mengangkat penceramah agama yang terkenal dengan gayanya menghentam tokoh agama lain itu sebagai “pejuang akidah” yang difitnah.

Bantah pesta arak Johor

Pada hari sama dibebaskan, Facebook Zamihan memuat naik sokongan terhadap usaha membantah sebuah pesta arak di Johor.

“Kita akan bersatu mempertahankan Islam. Inilah isu yang besar wajib kita tangani, selamat berjuang kepada pertubuhan Islam yang menegakkan kebenaran,” menurut kiriman yang didahului dengan perkataan “[Admin]”.

Ia merujuk laporan sebuah portal berita mengenai memorandum dikemukakan sebuah kumpulan dikenali Majlis Ayahanda Johor, membantah penganjuran pesta arak secara tertutup di sebuah hotel di Johor Bahru, hujung minggu lalu.

Ia menerima sokongan penyokong Zamihan yang meninggalkan pelbagai komen, termasuk beberapa kenyataan dilihat mempersoalkan pendirian Sultan Johor berhubung kedai dobi “mesra Islam”. Mereka mempersoalkan mengapa layanan berbeza kepada pesta arak tesebut, yang sebelum ini dibantah PAS dan kumpulan Islam lain, dan dibatalkan permitnya oleh polis atas alasan keselamatan.

“Pesta arak takpe kerana utk perpaduan… dobi mesra Muslim tak bleh kerana boleh rosakkan perpaduan rakyat… kena fhm dan hadam elok-elok wahai umat Islam,” tulis pengguna Facebook Mohd Noor Bin Idris.

“Tin kosong takda arak. Tin tak kosong ada arak,” tulis seorang lagi, Subri Mohamad.

Selasa lalu, Majlis Raja-Raja mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” termasuk kontroversi dobi “mesra Muslim” sebagai tindakan yang bersifat keterlaluan, boleh menjejaskan keharmonian, dan membawa implikasi lebih mendalam sekiranya bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

‘Cekal berjuang’

Sejurus selepas pembebasannya, muat naik pertama Zamihan melahirkan dukacita atas kematian seorang tokoh guru agama di Kelantan.

“Insyallah Ayahanda, ana (saya) tetap cekal menyambung delegasi perjuangan akidah ini!” tulisnya.

Ia disusuli dengan amaran Zamihan untuk melawan kumpulan berfahaman Ahmadiah, yang difatwakan sesat dan di luar ajaran Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Awas, akan dibanteras sehabisnya golongan liberal dan ‘kelompok’ yang sentiasa bersama mereka,” katanya, sambil memuat naik poster perhimpunan tahunan Jemaah Ahmadiah Muslim Malaysia, dan mengajak orang ramai “sebarkan bantahan” terhadap program tersebut.

Petang semalam, sasarannya dihalakan terhadap golongan LGBT, walaupun tidak menyebut secara khusus siapa dimaksudkannya.

“Umat Islam kena peka tentang keadaan isu semasa berkaitan ancaman budaya barat. Mari kita bersama memberikan kesedaran kepada umat Islam di Malaysia,” katanya dalam muat naik yang juga didahului perkataan “[Admin]”.

Monday, October 9, 2017

BN Selangor gesa tiga Exco Pas nyatakan pendirian berkaitan pesta arak


Tiga Exco Pas di Selangor diminta menyatakan pendirian tegas mengenai penganjuran pesta arak di negeri itu.

Malah Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui DAP dan PKR juga turut digesa agar akur dengan desakan ramai pihak yang tidak membenarkan penganjuran Pesta Arak Better Beer Festival 2017 di negeri itu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Pas di negeri itu harus melihat dengan jelas DAP beriya-iya mempertahankan pesta berkenaan untuk terus diadakan.

“Sedangkan Pas yang merupakan sekutu rapuh Pakatan Rakyat di Selangor ujarnya dalam kerajaan negeri terus ditekan dan Pas sendiri dilabel ‘mabuk’ apabila menyatakan pendirian membantah pesta berkenaan.

“Rakyat Selangor terus keliru dengan apa yang berlaku, sedangkan Pas melalui struktur pentadbiran kerajaan negeri mempunyai tiga wakil dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Justeru, mengapa tiga Exco Pas ini tidak menyatakan pendirian keras dalam membantah pesta berkenaan dalam mesyuarat Exco dan memberi tekanan kepada Menteri Besar yang beragama Islam?” Soalnya dalam kenyataan.
Tiga exco Pas di Selangor (dari kiri) Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, Datuk Iskandar Samad dan Zaidy Abdul Talib.

Tiga exco Pas di Selangor itu ialah Datuk Iskandar Abdul Samad (Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar);Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi) dan; Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Justeru, dalam mendepani isu yang membabitkan kesucian agama Islam serta sensitiviti umatnya di Selangor ini, Umno-BN ujar beliau lagi, mahu tindakan konkrit diambil oleh kerajaan negeri yang diberi mandat oleh rakyat.

“Kami tidak membantah keperluan dan hak rakan bukan Islam untuk mengambil minuman beralkohol namun apa yang dikesali adalah, mengapa ia perlu dianjurkan secara ‘pesta’ dan diberi liputan meluas seolah-olah tidak menghormati agama Islam yang diiktiraf sebagai agama negeri dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

“Jangan berterusan mengusik sensitiviti Umat Islam di negeri ini kerana pendirian kami jelas bahawa sebarang tindakan yang cuba menyentuh syiar Islam perlu dihentikan tidak kira apa jua pegangan politik.

“Jika mahu minum dan menganjurkan pesta seumpamanya, adakan di lokasi tertutup dan tidak perlu diangkat menjadi satu pesta yang pasti akan menjurus kepada perlakuan maksiat dan masalah sosial yang lain.

Mat Nadzari yang jua Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu berkata jika kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menjelaskan Bukit Aman ada menerima maklumat risikan yang terdapat ancaman keselamatan terhadap pesta berkenaan, seharusnya tiada pihak yang menyokong pesta berkenaan.

“Jadi, mengapa penganjur pesta berkenaan terus mendapat sokongan kerajaan negeri?,” soalnya lagi.

Sebagai rekod Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan polis tidak akan membenarkan penganjuran Better Beer Festival 2017 termasuk Centro Mall German Food & Be­verages Festival ekoran wujudnya ancaman militan berkaitan dengan acara tersebut.

Bagaimapaun kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR dalam kenyataannya dipetik berkata, penganjuran pesta arak bukanlah satu isu di Selangor dengan alasan sebelum ini kerajaan negeri pernah memberi kelulusan kepada penganjurannya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-