Friday, October 19, 2018

Rahim Noor tolak cadangan mansuh hukuman mati

Khairil Ashraf
-October 19, 2018 8:50 AM

Rahim berkata, kewujudan peruntukan hukuman mati dalam undang-undang menjadi benteng yang mencegah manusia daripada membunuh. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor tidak bersetuju dengan langkah kerajaan mahu memansuhkan hukuman mati mandatori dan menggantikannya dengan hukuman penjara.

Beliau sebaliknya menegaskan perlu adanya ketetapan bahawa sekiranya seseorang itu membunuh, maka hukumannya mestilah bunuh juga.

“Kalau dia membunuh, maka hukumannya haruslah dibunuh atau kes serupa yang ada bersangkut paut dengan nyawa orang,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas kenyataan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong baru-baru ini yang berkata cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori akan digantikan dengan penjara minimum 30 tahun bagi semua kesalahan jika Parlimen meluluskannya.

Mengulas lanjut, Rahim memberikan contoh perasaan sesebuah keluarga yang salah seorang anggotanya dibunuh.

“Apa perasaan ibu, isteri atau anak seseorang yang dibunuh apabila mendengar mahkamah mendapati pelakunya bersalah tetapi tidak dijatuhi hukuman mati,” katanya.

Rahim bagaimanapun berkata, mungkin terdapat kes lain yang boleh dibahaskan hukumannya, seperti kes dadah yang memperuntukkan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 .

“Kalau kamu dituduh di bawah Seksyen 39B, hukumannya ialah mandatori mati. Mungkin ini boleh dibahaskan dan juga kes seperti itu,” katanya.

Rahim berkata, kewujudan peruntukan hukuman mati dalam undang-undang boleh menjadi benteng yang mencegah manusia daripada melakukan pembunuhan.

“Bila kerajaan hapuskan terus hukuman mati, jadi benteng pencegah itu turut terhapus dan kita hanya dapat bergantung pada kekuatan moral dan agama untuk menghalang kemungkinan jenayah itu daripada berlaku.

“Apa lagi benteng yang ada untuk kita mencegah manusia daripada membunuh?,” soalnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-