Wednesday, November 21, 2018

Dakwaan Moorthy gugat kredibiliti Malaysia di mata dunia

Published on November 21, 2018 
by webadmin

ALOR SETAR – Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Bersatu memandang berat kenyataan Senator P Waytha Moorthy kerana mampu mengugat kredibiliti Malaysia ketika menghadiri satu seminar bersama ahli-ahli Parlimen Belanda di Eropah pada tahun 2011.

Exconya, Muzzammil Ismail berkata, dakwaan Moorthy yang kini merupakan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial dilihat seolah-olah menggambarkan wujudnya pencabulan hak asasi yang kronik terutama kepada kaum India yang beragama Hindu di negara ini..

Menurutnya, senator itu dalam video berdurasi 2 minit 39 saat mendakwa orang India yang beragama Hindu dipaksa masuk Islam hanya kerana mahu bekerja di sektor awam dan 10,000 kuil telah dimusnahkan.

Beliau juga mendakwa anak – anak kaum India yang cemerlang dinafikan hak untuk belajar dan mendapat biasiswa di Universiti Awam Malaysia manakala berbillion ringgit telah dibelanjakan hanya untuk menaikkan ekonomi kaum Melayu.

“Biro dalam hal ini ingin mendesak beberapa perkara antaranya mahu kerajaan menjalankan siasatan dengan memanggil Moorthy untuk membuat penjelasan berhubung dakwaan pencabulan hak asasi yang kronik di Malaysia seperti didakwa.

“Moorthy juga wajib menarik balik segala kenyataan fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Muzzammil berkata, sebarang kenyataan berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) juga tidak lagi boleh dikeluarkan Moorthy kerana hanya akan mengundang provokasi dan krisis keyakinan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Jelasnya, Kepimpinan Armada Bersatu juga secara keseluruhannya memandang serius polemik sentimen perkauman.

“Kami akan berusaha mempertahankan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebaik mungkin terutama perkara-perkara yang mengundang campur tangan pihak asing,” katanya.

Source: SH Edisi Utara

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-