Showing posts with label P Waytha Moorthy. Show all posts
Showing posts with label P Waytha Moorthy. Show all posts

Thursday, October 27, 2022

Waytha isytihar sokong BN menjelang PRU15

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 27, 2022 12:14 PM
Bekas menteri perpaduan, P Waytha Moorthy menyatakan sokongannya kepada BN menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15 bulan depan.

Waytha yang juga presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) berkata sokongan tersebut diberikan kepada BN selepas permintaannya untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tidak diendahkan.

Menurut Waytha, dia dan rakan-rakannya dari Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) berkempen untuk membantu PH menang pada 2018.

“Selepas MAP ditubuhkan, malah selepas pentadbiran PH digulingkan, kami (MAP) memohon untuk dimasukkan ke dalam gabungan itu, untuk menyumbang sumbangan kami kepada masyarakat India.

“Tetapi dua tahun kemudian, walaupun berulang kali kemas kini dan (membuat) panggilan telefon, kami masih belum mendapat jawapan,” katanya dalam video yang disiarkan di Facebooknya, malam tadi.

Waytha mendakwa setiap kali pihaknya membawa isu itu kepada Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution, dia hanya memberi jaminan bahawa perkara itu akan dibincangkan di peringkat majlis tertinggi, tetapi masih belum ada sebarang keputusan.
Saifuddin Nasution
“Setiap kali saya menghantar mesej kepadanya berhubung perkara ini, yang saya dapat hanyalah tanda biru (di WhatsApp), tetapi mesej Hari Raya saya sentiasa mendapat balasan.

“Daripada ini, saya mendapat mesej bahawa PH tidak mahu kita,” katanya.

Waytha mendakwa alasan di sebalik penolakan itu ialah pengerusi PH Anwar Ibrahim memandang MAP sebagai parti berasaskan kaum, yang tidak diperlukan dalam gabungan itu.

Menurut Waytha, tiada pemimpin India sejak kemerdekaan negara itu telah melakar pelan hala tuju yang menyeluruh untuk kemajuan masyarakat India.

“Tetapi di Hindraf, kami berjuang untuk hak kami, pembangunan kami, tetapi kami tidak boleh terus berjuang (di jalanan) selama-lamanya.

"Kita memerlukan pemimpin India yang dipercayai untuk 'menyampaikan' perjuangan yang dibuat. Parlimen memerlukan pemimpin seperti itu," katanya.

Mengenai sokongannya kepada BN, Waytha berkata dia bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang akan memberinya kuasa bagi membantu masyarakat India.

Katanya, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan juga telah berjanji kepadanya bahawa "kepimpinan baharu" gabungan itu akan bekerjasama dengan MAP untuk membantu masyarakat India yang "diabaikan".

Waytha seterusnya mewajarkan bekerjasama dengan BN pada masa gabungan itu dipandang rendah oleh kaum India.

Dia mengatakan pemimpin pembangkang, termasuk Anwar sendiri, bekas pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, dan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin, semuanya bekas pemimpin BN.

“Adakah semua pemimpin ini ‘dibersihkan’ selepas mereka keluar dari BN?

"Apa yang saya cuba katakan ialah, kita perlu mencapai kematangan politik. Kita tidak perlu menyusahkan siapa yang menjadi perdana menteri, yang penting ialah sama ada hak kita dijaga."

"Sebagai minoriti, Waytha berkata satu-satunya cara orang India dapat memastikan hak dan kepentingan mereka dijaga, adalah dengan menyertai gabungan yang betul.

"Kami fikir PH adalah kawan kami, dan mereka akan memberi kami peluang (untuk memperjuangkan perjuangan kaum India). Saya juga telah membuktikan diri saya (semasa dalam kabinet PH)

"Pada saya sekarang, nama PH atau BN tidak penting lagi. Saya cuma mahu hak masyarakat saya dijaga."

Selain itu, Waytha turut menafikan bahawa kerjasamanya dengan BN adalah untuk survival politiknya.

Waytha juga sekali lagi mengulangi bahawa sudah tiba masanya rakyat menjauhi protes jalanan dan memperjuangkan hak mereka melalui saluran yang betul.

Tuesday, December 25, 2018

Lebih 1,000 berarak di Klang tuntut keadilan untuk Adib

Faiz Zainudin
-December 25, 2018 6:12 PM

Penunjuk perasaan keluar dari Masjid Bandar Diraja Klang untuk menyertai perarakan 1,000 orang menuntut keadilan untuk Adib.

KLANG:  Lebih 1,000 orang berarak dari Masjid Bandar Diraja Klang ke Dataran Seni Klang petang tadi menuntut keadilan untuk anggota bomba yang meninggal dunia selepas cedera dalam keganasan di kuil Seafield, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tunjuk perasaan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) berarak sejauh 500 meter bermula 5.10 petang, selepas solat Asar, solat jenazah ghaib dan tahlil beramai-ramai.

Penunjuk perasan melaungkan “Hidup Islam” dan “Hidup Melayu” sambil mendesak kerajaan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.

Adib tercedera dalam rusuhan penganut Hindu yang tidak mahu kuil tersebut dipindahkan. Beberapa kereta terbakar dan kompleks One City yang terletak berdekatan dirosakkan perusuh

“Kita nak tuntut keadilan buat Adib dan minta Waytha dipecat,” kata Setiausaha Geras, Wan Asshima Kamaruddin kepada penunjuk perasaan sebelum berarak.

Geras mengemukakan 7 tuntutan dalam tunjuk perasaan hari ini, selain keadilan untuk Adib dan pemecatan menteri dan exco berkenaan

.
Penunjuk perasaan di Dataran Seni Klang mendengar ucapan daripada Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed, yang lengkap berpakaian tradisional Melayu.

“Kita juga mahu kerajaan menguatkuasakan Akta Kontrak Sosial kepada generasi akan datang serta meminta mana-mana individu mahupun menteri tidak sesekali menghina agama Islam sebagai agama rasmi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, kita juga meminta kerajaan negeri mahupun pusat mengambil tindakan kepada mana-mana rumah ibadat yang wujud secara haram supaya perkara yang sama seperti di Seafield tidak berulang.

“Kita juga meminta jangan ada cubaan menghina kedudukan raja-raja Melayu serta penjawat awam di negara ini. Geras juga menolak ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” kata Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed.

Kumpulan itu turut melancarkan tabung bantuan untuk keluarga anggota bomba itu.

Tunjuk perasaan hari ini menyusuli satu himpunan di Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat, di mana 200 orang berearak mendesak Putrajaya memecat Waytha.

Waytha dan Ganabatirau dikritik orang ramai kerana reaksi mereka terhadap keganasan yang menyusuli pertikaian antara kumpulan-kumpulan penganut Hindu dan pemaju tentang pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 26 dan 27 November lalu.

Adib meninggal dunia selepas mengalami kecederaan dalam rusuhan yang menyaksikan beberapa kenderaan terbakar dan kompleks One City berdekatan dirosakkan perusuh.

Waytha dibidas kerana menuduh polis lambat mengawal keadaan apabila kuil diserang sekumpulan orang pada pagi 26 November. Ganabatirau pula dikecam kerana didakwa, pada peringkat awal, menyalahkan orang Islam atas keganasan di kuil berkenaan.

Waytha juga didakwa gagal meredakan ketegangan kaum yang menyusuli kejadian itu.

Sementara Kula pula dikecam penunjuk perasaan kerana menyertai sidang media menuduh pihak berkuasa lambat bertindak.

Thursday, December 20, 2018

Sedar kuasa rakyat, PM belum putuskan nasib Waytha

20 December 2018

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata apabila sebuah kerajaan mengalami ketidakpercayaan, ia akan ditolak rakyat.Foto oleh Hari Anggara

KUALA LUMPUR, 20 DisPerdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum memutuskan sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy perlu meletak jawatan sebagaimana gesaan banyak pihak akibat kegagalan beliau mengendurkan ketegangan kaum berhubung rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Dr Mahathir berkata rakyat bebas untuk menyatakan pandangan mereka mengenai hal tersebut.

“(Tetapi) terpulang pada saya untuk memutuskan, saya belum putuskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Siri Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad Institiut Pengurusan Malaysia (MIM) di sini malam tadi.

Ditanya sama ada beliau selesa dengan prestasi Waytha Moorthy sebagai menteri, Dr Mahathir berkata, “Saya rasa OK (dengan prestasinya).”

Waytha Moorthy adalah menteri bertanggungjawab bagi Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Semalam, laporan media melaporkan sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyerahkan memorandum kepada Dr Mahathir, yang juga pengerusinya, mendesak supaya Waytha Moorthy disingkirkan sebagai menteri.

Dalam isu lain, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa mereka yang keluar Umno tidak akan mengambil alih Bersatu.

Katanya bekas ahli Umno tersebut hanya boleh berada pada jawatan mereka sehingga pemilihan (parti) yang akan datang.

“Tidak boleh, mereka semua boleh memegang jawatan sehingga pemilihan yang akan datang,” katanya.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, Kerajaan Pakatan Harapan akan menggandakan usaha mereka dalam menyempurnakan janji-janji yang dibuat terutamanya berkaitan janji pilihan raya.

Katanya, apabila sebuah kerajaan mengalami ketidakpercayaan, ia akan ditolak dan rakyat akhirnya akan melakukan apa sahaja untuk menyingkirkannya.

“Adalah amat penting sekali bagi kerajaan dipercayai rakyat dan memenuhi janji-janjinya.

“Bila adanya kegagalan mendapatkan kepercayaan rakyat, kerajaan yang paling kuat sekalipun akan tumbang.

“Kerajaan sekarang amat menyedari hal ini, memang janji-janji telah dibuat sebelum kita mendapat kuasa,” kata beliau.

Beliau berkata Pakatan Harapan, ketika itu, masih sebagai pembangkang, membuat janji dengan jangkaan mereka akan kalah.

“Janji-janji itu adalah untuk kerajaan yang berkuasa, jadi jika mereka menang mereka akan mendapati janji itu sukar untuk dipenuhi.

“Nasib baik atau tidak bernasib baik kami menang dan kini kami perlu menggandakan usaha kami untuk memenuhinya.

“Tentu sekali kadang kala janji itu sukar untuk dipenuhi tetapi sama ada sukar atau tidak seseorang itu mestilah menunjukkan ia cuba melakukan yang terbaik untuk memenuhinya.

“Sesebuah kerajaan hanya boleh terus diberi kuasa jika ia boleh dipercayai, kita mesti penuhi apa yang telah kita janjikan,” kata beliau. 

Bernama

Wednesday, December 12, 2018

ICERD: Kerajaan cuba kelirukan rakyat



Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa cuba menipu dan mengelirukan rakyat berhubung isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr, Shamsul Anuar Nasarah berkata, rumusan itu dibuat selepas kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy semalam yang mengesahkan akan komitmen Malaysia untuk menandatangani enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD.

Jelas Shamsul Anuar, ini bermakna ICERD lambat-laun akan diratifikasikan juga satu yang sekali gus menjadi hakikat yang perlu disedari oleh orang Melayu dan penduduk beragama Islam di negara ini.

“Waytha Moorthy menegaskan bahawa meratifikasikan ICERD tetap menjadi janji manifesto PH yang akan ditunaikan juga. Ini selaras dengan janji Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, baru-baru ini. “UMNO bersama-sama Pas dan lebih 500,000 rakyat Malaysia dari seluruh negara yang mengadakan Himpunan Aman Daulat 812, menolak ICERD kerana jelas menjejaskan kepentingan Islam, orang Melayu bumiputera, anak negeri dan pelbagai kepentingan kaum termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Shamsul Anuar, janji kerajaan untuk tidak meratifikasi ICERD kini sah sebagai satu helah untuk memikat hati rakyat, khasnya orang Melayu.

Katanya lagi, Waytha Moorthy sebagai menteri yang menjaga portfolio perpaduan juga seharusnya menyedari bahawa Malaysia sudah aman dan hak semua kaum diiktiraf dan ICERD tidak diperlukan di negara ini.

“Kami ingin mendesak kerajaan agar membuat pendirian tegas di dalam perkara ini. Selagi tidak dimasukkan ke dalam hansard Parlimen secara rasmi, selagi itulah manusia sejenis dengan Waytha Moorthy akan menggunakannya untuk kepentingan politik perkauman. “Harus diingat, UMNO bukan sahaja menentang ICERD untuk kepentingan Melayu dan Islam malah meliputi pribumi Sabah dan Sarawak. Ini sudah diperjelaskan berulang kali tetapi Waytha Moorthy sengaja tidak mahu memahaminya,” katanya.

- UTUSAN ONLINE.

Sunday, December 2, 2018

Polis siasat Waytha Moorthy, Ganabatirau

MyMetro

Muhyiddin beramah mesra bersama anggota polis yang bertugas semasa melawat Kuil Sri Mariamman, USJ 25. FOTO Sairien Nafis

BERNAMA

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis berhubung siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy dan Exco Kerajaan Negeri Selangor V Ganabatirau.

Ia susulan kenyataan dikatakan berbaur hasutan dan perkauman yang dikeluarkan kedua-dua ahli politik berkenaan berhubung isu kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di sini, pada Isnin lepas.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis akan menyiasat sesiapa yang mengeluarkan kenyataan tidak benar.

“Jika dia ada keluar kenyataan, tengoklah sama ada benar ia berbaur perkauman dan seumpamanya.

“Kita tengok kenyataan itu betul atau tidak, kalau ada asas-asas yang kukuh maka polis boleh bertindak,” katanya kepada pemberita selepas melawat kuil berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai kemusykilan sesetengah pihak mengapa masih belum ada tindakan terhadap Waytha Moorthy dan Ganabatirau sedangkan polis telah menahan pengendali laman blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papa Gomo di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang semalam kerana membuat kenyataan berbaur perkauman dan hasutan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor memaklumkan telah membuka empat kertas siasatan dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung insiden yang berlaku di kuil berkenaan susulan laporan polis yang diterima mengenai penularan berita di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:06 PM

Thursday, November 29, 2018

RAKYAT BERHAK BERSUARA, TAPI KAMI BERKUASA – TUN M

By watan
on November 28, 2018


Sebelum mendapat kuasa pada PRU14, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan rakyat sebagai kuasa penentu kepada sesebuah kerajaan.

Namun, selepas menang PRU14 Perdana Menteri itu berkata, rakyat berhak bersuara, namun kuasa penentu ada pada mereka.

Kenyatan Mahathir itu merujuk kepada petisyen bagi mendesakkan kerajaan menggugurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Wathya Moorthy.

Katanya, mana-mana pihak boleh menuntut untuk melucutkan jawatan sebarang menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi hanya beliau selaku perdana menteri yang berhak untuk menentukannya.

“Itu hak mereka, hak kita (pula) menentukan,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan demi desakan pelbagai pihak yang menuntut supaya Waytha Moorthy dipecat.

Gerakan Pengundi Sedar (GPS) baru-baru ini melancarkan petisyen tandatangan di atas talian Change.org yang mahu Waytha Moorthy dipecat atas beberapa faktor, antaranya kerana didakwa memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Ini berdasarkan susulan rakaman video dan kenyataannya sebagai pengerusi Hindraf lebih sedekad lalu yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap etnik minoriti, terutamanya kaum India.

Wartawan Watan-Online

Monday, November 26, 2018

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy hubungi TKPN

MyMetro
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my

LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy hari ini menghubungi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim untuk menyampaikan kegusaran masyarakat susulan rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, panggilan itu dibuat selepas pihaknya menerima pelbagai video dan muat naik Facebook berhubung insiden itu.

“Menteri membangkitkan keprihatinan masyarakat terhadap kekerasan yang menjadi ancaman terhadap pelanggaran keamanan dan kedamaian masyarakat berbilang kaum dan pelbagai agama serta aspek kebebasan beragama.

“Insiden ini mendapat perhatian Menteri apabila ada mangsa yang cedera serta harta hak milik kuil dibakar yang menyebabkan ketegangan emosi di kalangan orang ramai. Ada juga dakwaan yang masih belum sahih ditularkan.

“Justeru, Timbalan Ketua Polis Negara sudah menjanjikan siasatan menyeluruh akan dijalankan," katanya.

Beliau juga meminta rakyat Malaysia untuk bertenang sehingga siasatan penuh dijalankan terhadap insiden berkenaan seterusnya memastikan kedaulatan undang-undang.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 18 kenderaan dibakar dalam kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil terbabit menjadi punca pergaduhan dalam kejadian awal pagi tadi itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dalam satu sidang media kemudian memaklumkan rusuhan yang berlaku tidak membabitkan unsur perkauman, sebaliknya hanya perselisihan faham antara dua kumpulan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta menghentikan status atau mesej tular yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu perkauman.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan ketenteraman awam berhubung isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tiada unsur perkauman kata polis

Bergaduh sampai 18 kenderaan terbakar


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 12:59 PM

Friday, November 23, 2018

Mahathir pertahan Waytha Moorthy



Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berhubung video tular mengenai wawancaranya di Belanda kira-kira 10 tahun lalu.

Malah Perdana Menteri ber­kata, rakyat sebaliknya perlu memberi peluang kepada beliau dalam menjalankan tugasnya sebagai anggota Kabinet.

“Bagi dia peluang. Kita semua ada latar belakang. Tak kan sebab dulu saya UMNO saya tidak boleh masuk Pakatan Harapan? Masa itu dia (Waytha Moorthy) amat kecewa dan buat kenyataan dengan cuba tunjuk pada orang asing bahawa Malaysia tiada keadilan.
“Dia kini tidak pegang apa lagi yang dikatakan dahulu. Dulu pun orang panggil saya maha­zalim, tapi kini mahazalim jadi pe­mimpin,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dekat sini hari ini.

Beliau mengulas video Waytha Moorthy yang tular dan mendakwa kononnya Malaysia melakukan pelanggaran hak asasi manusia termasuk mendiskriminasikan kaum India dalam pelbagai perkara termasuk hak beragama.

Dalam pada itu Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, petisyen yang menggesa Waytha Moorty meletak jawatan bukan satu keperluan dan arahan daripada beliau.

“Rakyat boleh buat petisyen, tetapi petisyen bukan penentu arahan untuk sesiapa meletak jawatan,” ujarnya.

Utusan

Wednesday, November 21, 2018

'Tak perlu kempen selamatkan jawatan saya'

Diterbitkan 21 Nov 2018, 6:20 petang


Walaupun mendapat tekanan susulan pendiriannya mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata tidak terdapat keperluan untuk kempen menyokong beliau dilancarkan dalam talian.

Menteri perpaduan itu juga berkata beliau komited untuk melindungi Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat, dari latar belakang, tanpa mengira kaum dan agama, atas sokongan yang ditunjukkan kepada saya sejak beberapa hari lalu mengenai isu Icerd.

"Bagaimanapun, saya ingin menyatakan tidak timbul keperluan untuk mengadakan petisyen dalam talian menyokong saya kekal berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial.

"Saya juga tidak mahu kempen dalam talian yang bersifat peribadi untuk menjaga kedudukan menteri yang diamanahkan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad," katanya pada suatu hantaran di facebook.

Dikritik sebab kenyataan Icerd

Beliau juga yakin rakyat Malaysia akan terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan, di tengah-tengah perbincangan isu Icerd.

Beliau membuat kenyataan itu selepas suatu petisyen yang menggesa Waythamoorthy terus mempertahankan jawatan menteri telah mendapat lebih 17,000 tandatangan.

Petisyen ini dilancarkan untuk menentang satu lagi kempen yang menuntut Waythamoorthu meletak jawatannya berhubung isu Icerd.

Petisyen yang mendesak menteri tersebut dilaporkan telah mengumpulkan lebih dari 100,000 tandatangan setakat ini.


Waythamoorthy mendapat kritikan daripada pembangkang serta NGO, selepas mengumumkan kerajaan berhasrat untuk meratifikasi Icerd pada suku pertama 2019.

Pengkritik berpendapat menandatangani konvensyen PBB ini melanggar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keistimewaan diberikan kepada bumiputera.

Hal ini walaupun Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin, Suhakam dan Majlis Peguam memberi jaminan mempersetujui Icerd tidak akan bertentangan dengan perlembagaan.

ICERD: PM kena jawab di Parlimen

Published on November 21, 2018


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menjelaskan isu berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Parlimen bagi mengelakkan isu ini terus mengelirukan rakyat.

Ketua Umno Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, jika benar mahu isu ICERD ini reda, biar Mahathir yang menjawab dan menjelaskannya di Parlimen.

“Waytha (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy) memang gagal. Jawapan beliau di Parlimen mengelirukan rakyat. Lagi pun ada perbezaan pendirian antara PM dengan menteri.

“Di sidang Apec (Persidangan Ekonomi Asia Pasific), Tun M kata ICERD mustahil dilaksanakan kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan. Ia memerlukan majoriti 2/3. Tetapi Waytha kata tidak perlu. Ia tidak melibatkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

“PM cakap lain, Waytha lain, Anwar lain, Ketua Pemuda AMK lain dan menteri agama pun cakap lain.

“Apakah PM sengaja membiarkan isu ini dipolimikkan sebagai escapism? Hanya akan terjawab kalau PM yang cakap di Parlimen dan beri kata dua kepada Waytha supaya hentikan “Roadshow kosultasi” yang mahu dilaksanakan,” katanya dalam perkongsian di akaun Facebooknya semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mustahil laksana ICERD?]

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Kerajaan jamin tidak mansuh Artikel 153]

Mohd Puad berkata, rakyat juga tertanya-tanya apa muslihat Tun Mahathir lantik Waytha sebagai Menteri jaga perpaduan? Mustahil PM tidak tahu tuduhan palsu Waytha di Belanda itu.

“Di Parlimen Waytha menjelaskan, kenyataan di Belanda itu ditujukan kepada Kerajaan BN dulu. Bukankah daripada 61 tahun pemerintahan BN itu, Tun M menjadi PM selama 22 tahun dan tiga tahun sebagai TPM.

“Waytha kena lebih spesifik, berapa banyak kuil yang dirobohkan dan berapa ramai orang India yang dipaksa memeluk Islam selama 22 tahun Tun M menjadi Perdana Menteri.

“Ada ke tak ada? Apa tindakan Waytha, sejak PH memerintah Selangor dari 2008, hampir 22 buah kuil Hindu telah dirobohkan. Apakah itu diskriminasi kaum?

“Kalau PM tidak buat arahan Full stop (noktah) kepada ratifikasi ICERD, dibimbangi ramalan ahli nujum wanita daripada Thailand kononnya akan berlaku rusuhan besar di Kuala Lumpur bulan Disember nanti akan menjadi kenyataan?,” katanya lagi.

Source: SH Nasional

Dakwaan Moorthy gugat kredibiliti Malaysia di mata dunia

Published on November 21, 2018 
by webadmin

ALOR SETAR – Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Bersatu memandang berat kenyataan Senator P Waytha Moorthy kerana mampu mengugat kredibiliti Malaysia ketika menghadiri satu seminar bersama ahli-ahli Parlimen Belanda di Eropah pada tahun 2011.

Exconya, Muzzammil Ismail berkata, dakwaan Moorthy yang kini merupakan Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial dilihat seolah-olah menggambarkan wujudnya pencabulan hak asasi yang kronik terutama kepada kaum India yang beragama Hindu di negara ini..

Menurutnya, senator itu dalam video berdurasi 2 minit 39 saat mendakwa orang India yang beragama Hindu dipaksa masuk Islam hanya kerana mahu bekerja di sektor awam dan 10,000 kuil telah dimusnahkan.

Beliau juga mendakwa anak – anak kaum India yang cemerlang dinafikan hak untuk belajar dan mendapat biasiswa di Universiti Awam Malaysia manakala berbillion ringgit telah dibelanjakan hanya untuk menaikkan ekonomi kaum Melayu.

“Biro dalam hal ini ingin mendesak beberapa perkara antaranya mahu kerajaan menjalankan siasatan dengan memanggil Moorthy untuk membuat penjelasan berhubung dakwaan pencabulan hak asasi yang kronik di Malaysia seperti didakwa.

“Moorthy juga wajib menarik balik segala kenyataan fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Muzzammil berkata, sebarang kenyataan berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) juga tidak lagi boleh dikeluarkan Moorthy kerana hanya akan mengundang provokasi dan krisis keyakinan rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Jelasnya, Kepimpinan Armada Bersatu juga secara keseluruhannya memandang serius polemik sentimen perkauman.

“Kami akan berusaha mempertahankan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebaik mungkin terutama perkara-perkara yang mengundang campur tangan pihak asing,” katanya.

Source: SH Edisi Utara

Tuesday, November 20, 2018

Panggil Waytha Moorthy, bergantung pada siasatan

Published on November 20, 2018 


KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, namun itu bergantung kepada keadaan dan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak.

“Sama ada kita akan panggil beliau atau tidak, itu bergantung pada siasatan. Kita akan teliti semua laporan yang ada untuk siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hari ini, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat laporan polis terhadap Waytha Moorthy yang dikatakan bertegas menyokong untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Malah, Waytha Moorthy juga dikatakan mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai kedudukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini dilihat boleh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kaum bumiputera dan mencetuskan ketegangan kaum.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dewan kecoh, pembangkang bidas Moorthy isu ICERD]

Semalam, Waytha Moorthy terus didesak meletakkan jawatan susulan kenyataannya yang tular dalam video yang tular baru-baru ini dan telah berterusan membangkitkan kemarahan rakyat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lagi desakan Waytha Moorthy letak jawatan]

Exco Pendidikan Armada Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, lebih dikesalkan apabila menteri itu langsung tidak menunjukkan rasa kesal atau membuat permohonan maaf.

Source: SH Nasional

Lucutkan kerakyatan Moorthy

Published on November 20, 2018


IPOH – Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat mendesak agar kerakyatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dilucutkan.

Naib Ketuanya, Mohd Hamzah Mat Hamdan, tindakan itu disifatkan wajar kerana kenyataan tular yang dibuat menteri kabinet itu tidak menggambarkan situasi sebenarnya yang berlaku di Malaysia.

Beliau berkata, tindakan tegas harus diambil ke atas mana-mana individu yang cuba merosakkan hubungan kaum di negara ini.

“Kita juga meminta agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat beliau sebagai menteri di atas kenyataan melampau itu.

“Perkara ini tidak boleh dianggap remeh dan harus dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam, di sini.

Katanya, kerajaan selama ini tidak meminggirkan kaum India malah peruntukan dan subsidi turut diterima tanpa diskriminasi.

Dalam pada itu katanya, pemimpin Hindraf itu perlu disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Source: SH Nasional

ARMADA BERSATU gesa Waytha Moorthy letak jawatan

Oleh Saadiah Ismail
saadiah_ismail@bh.com.my

MOHD Ashraf Mustaqim Badrul Munir - Foto MAHZIR MAT ISA

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, meletak jawatan atas tindakannya yang membangkitkan kemarahan rakyat.

Gesaan melalui Biro Pendidikan ARMADA itu turut meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Waytha Moorthy yang disifatkan mengkhianati Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
P Waytha Moorthy - Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

EXCO ARMADA, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata Waytha Moorthy bukan saja hilang ‘locus standi’ bagi membicarakan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), malah perlu memohon maaf atas perlakuannya.

Beliau berkata, ARMADA memandang serius kenyataan pernah dibuat oleh Waytha Moorth yang didakwa menampakkan ‘wajah sebenarnya’ yang tidak berpegang pada tunjang kedaulatan negara.

“Tuduhan beliau bahawa penganut Hindu ‘dipaksa’ meninggalkan agama Hindu di negara ini, adalah sangat berat, berunsur hasutan dan bertentangan dengan praktik Perlembagaan Persekutuan, malah mampu mencetus ketegangan serantau domestik dan antarabangsa.

“Perkara 3 mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan dan penganut lain bebas mempraktikkan sama ada dari segi adat serta kepercayaan, dihormati setiap kaum di Malaysia, terutama Melayu Bumiputera di tanah pusaka ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ashraf Mustaqim berkata, kenyataan rasmi Waytha Moorthy menerusi kapasiti HINDRAF, baru-baru ini, juga seolah-olah tidak menunjukkan rasa kesal, jauh sekali tanda permohonan maaf.

“Malah, beliau cuba berbohong menyatakan bahawa video temu bual yang tular itu dilakukan sekitar 2007, sedangkan beliau menyebut ‘over last 54 years since independent’ yang bermaksud video itu dipercayai terhasil sekitar 2011 mengambil kira Malaysia merdeka pada 1957.

“Beliau juga berdolak-dalik dalam cubaan menyelamatkan diri dengan menyalahkan kezaliman rejim UMNO-Barisan Nasional (BN), sedangkan apa yang diperkatakannya sendiri dalam video itu jelas suatu falasi (tanpa sedikit pun merujuk kepada UMNO),” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, pula berkata Waytha Moorthy seharusnya lebih peka dan sensitif dalam isu ICERD kerana menimbulkan perasaan tidak senang memandangkan ia menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Justeru, saya menggesa Menteri untuk menarik balik kenyataan berbaur perkauman dan mengguris hati serta meminta maaf kepada rakyat.

“Langkah ini perlu sebagai tanda tanggungjawab beliau selaku Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga perpaduan di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kenyataan berbeza oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa mustahil untuk kerajaan melaksanakan kandungan ICERD, turut menimbulkan kekeliruan berhubung pendirian sebenar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Monday, November 19, 2018

‘ORANG KUAT’ MAHATHIR ANGGAP MOORTHY PENGKHIANAT

By watan
on November 19, 2018


‘Orang kuat’ Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa tindakan diambil terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang dianggap pengkhianat kepada negara apabila cuba mengaib dan mencemarkan nama baik negara.

Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata Moorthy sudah berbohong dan membuat kenyataan palsu untuk mempengaruhi negara luar membenci Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dan suara dalam video berdurasi 2 minit 39 saat yang tular membabitkan menteri berkenaan.

“Bagaimana seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh mengaibkan nama negara ke seluruh dunia dengan membuat kenyataan palsu yang berupa hasutan itu.

“Ini adalah pengkhianatan yang cukup dahsyat kepada bangsa dan negara! Waytha Moorthy harus ditangkap serta didakwa mengikut Akta SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012).

“Penyangak ini bersifat perkauman tanpa asas, ini akan membinasakan seluruh bangsa dan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin video lama Moorthy tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.

Selain itu, Khairuddin mahu kerajaan supaya tidak berkompromi mengenai isu ini kerana Moorthy seorang individu berpengaruh.

“Negara luar berkemungkinan percaya pada kenyataan fitnah itu kerana beliau adalah sebahagian daripada anggota Kabinet.

“Kerajaan Malaysia tidak pernah menzalimi bangsa lain di negara kita. Seluruh rakyat diajar untuk menghormati hak bangsa lain,” katanya.

Wartawan Watan-Online

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-