Thursday, November 15, 2018

Ratifikasi ICERD: Kerajaan jamin tiada pemansuhan Perkara 153

Adam Abu Bakar
-November 15, 2018 12:57 PM

P Waytha Moorthy berkata kerajaan akan mendapatkan pandangan perundangan dari dalam dan luar negara berhubung ICERD tahun depan.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy memberi jaminan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan dimansuhkan sekiranya kerajaan bersetuju meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Waytha berkata, komitmen Malaysia terhadap konvensyen di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah bersifat realistik, praktikal, boleh dipatuhi dan tidak bercanggah dengan aspirasi Perlembagaan Persekutuan khususnya yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, serta kepentingan sah kaum lain.

“Isu-isu berkaitan ICERD tidak mendapat penjelasan jelas dan menyeluruh rakyat sehingga menimbulkan kebimbangan dan kerisauan. Maka kerajaan akan mengambil pendekatan aktif pada suku tahun pertama 2019 untuk mengadakan konsultasi bagi mendapatkan pandangan perundangan baik dari dalam mahupun luar negara dan pandangan intelektual dengan khalayak ramai.

“Langkah konsultasi perlu dilaksanakan bagi mendapat persetujuan berhubung konvensyen berkenaan, sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad meratifikasi ICERD. Selain itu, tidak ada had masa oleh kerajaan untuk proses konsultasi,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada sesi soalan tambahan, Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) pula mencadangkan kerajaan menumpukan kepada usaha menyelesaikan masalah sosio ekonomi rakyat, menurutnya soal meratifikasi ICERD bukanlah perkara utama sekiranya ia akan menimbulkan porak-peranda kepada masyarakat.

Bagaimanapun, Waytha menjelaskan, ICERD menjadi perbincangan dan perbahasan hangat kerana terdapat pihak yang menimbulkan keresahan kepada mereka yang tidak memahami intipati ICERD.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak berubah dan tidak akan mendiskriminasikan mana-mana kaum selepas ratifikasi ICERD dilakukan.

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran akan mengerahkan ahli dan rakyat untuk mengadakan protes sekiranya rakyat menyalahgunakan Parlimen untuk mengesahkan ICERD yang tidak adil kepada orang Islam dan Bumiputera.

Hadi juga mengingatkan kerajaan bahawa Perlembagaan Persekutuan sudah cukup memberi hak kepada semua rakyat.

Pada masa sama, PKR juga menggesa kerajaan tidak tergesa-gesa meratifikasi ICERD. Menurut Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, kerajaan perlu mendengar pendapat semua pihak berkaitan sebelum membuat keputusan muktamad mengenai ICERD.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-