-November 25, 2018 7:52 AM
![](https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2018/11/tun-mahathir-mohamad-bernama-251118-2.jpg)
Dr Mahathir berkata, selain pegawai kerajaan, beliau juga mempengerusikan mesyuarat Khazanah Nasional melibatkan perbincangan dasar dan pendekatan kerajaan. (Gambar Bernama)
LANGKAWI: Beberapa lagi siri perjumpaan akan diadakan untuk memperkenalkan dasar kerajaan baru dan peranan yang perlu dimainkan oleh jentera kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi.
Katanya, perjumpaan beliau bersama pegawai-pegawai tinggi kerajaan di sini malam tadi merupakan inisiatif kedua dilaksanakan semenjak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara.
“Sebenarnya mereka sudahpun membaiki jentera pentadbiran kita, tetapi hari ini mereka menyatakannya (kepada saya) secara bertulis (dengan mengemukakan memorandum) agar semua pihak tahu matlamat kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan itu yang dihadiri seramai 207 orang pegawai tinggi kerajaan.
Menurutnya, selain perjumpaan malam tadi, beliau turut mempengerusikan mesyuarat Khazanah Nasional yang melibatkan perbincangan tentang dasar dan pendekatan kerajaan melibatkan syarikat milik kerajaan berkenaan.
Kata beliau, dasar berkenaan akan turut melibatkan syarikat di bawah kepentingan Khazanah Nasional, termasuk Malaysia Airlines Berhad.
Menyentuh keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Dr Mahathir berkata, keputusan itu memang dibuat awal dan tiada kaitan dengan perkembangan politik semasa negara, khususnya yang berkaitan dengan pilihan raya kecil Rantau.
“Daripada awal lagi saya menyatakan negara kita punya penduduk berbilang bangsa dan agama dan perkara (tentang ICERD) adalah rumit untuk diratifikasikan,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, rakyat Malaysia dengan jelas menunjukkan mereka tidak akan dapat menerima ratifikasi ICERD ini berikutan komposisi kaum yang wujud dalam negara.
“Bukan sebab politik, tetapi kita (enggan meratifikasikan ICERD kerana) patuh kepada kehendak rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.