-November 13, 2018 7:36 PM
Mohd Anwar Mohd Nor berkata, tindakan menderhaka negara harus dipandang serius kerana anggota tentera sepatutnya taat kepada raja dan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa kerajaan mengekalkan hukuman mati terhadap anggota tentera yang mengkhianati negara seperti termaktub di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.
Presidennya, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata tindakan menderhaka negara harus dipandang serius kerana anggota tentera sepatutnya taat kepada raja dan negara.
“Akta Tentera 1972 saya rasa elok diteruskan, kalau ada mereka yang menderhaka kepada negara dan sebagainya, macam insiden di Lahad Datu, Sabah, mereka itu tidak boleh ada hukuman lain, kita tetapkan supaya masih (laksana) hukuman mati.
“Itu saya cadangkan ia tidak dimansuhkan. Kalau kita sudah menderhaka, iaitu menjadi dalang negara, saya rasa memang kita tidak boleh setuju dan terima. Hal ini kerana ia sudah menceroboh negara dan membabitkan keselamatan negara,” katanya kepada FMT hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata, Kabinet memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan dimansuhkan.
Katanya, keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu, turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bulan lalu, Liew dilaporkan berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan menggantikan hukuman mati dan tumpuan diberikan kepada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan melaksanakan hukuman penjara seumur hidup.
Ketika ini, terdapat 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.
Mengikut Seksyen 38 (1)(a) hingga (j) Akta Angkatan Tentera 1972, anggota tentera yang disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tentera kerana mempunyai niat membantu musuh, boleh dikenakan hukuman mati atau hukuman lain yang diperuntukkan akta itu.
Antara kesalahan itu adalah menyerahkan aset kapal atau kapal udara kepada musuh, memberi senjata, peluru atau benda lain yang boleh membantu musuh, meninggalkan pos kawalannya, berkhidmat atau membantu musuh ketika menjadi tawanan perang dan melindungi musuh yang bukannya tawanan perang.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.