Tuesday, November 20, 2018

'Wajib tentang ICERD' - Hadi

MyMetro
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@nstp.com.my

PRESIDEN PAS, Abdul Hadi Awang ketika memberi ceramah sempena Sambutan Ambang Maulidur Rasul Peringkat negeri di Masjid Abidin. 
FOTO Rozainah Zakaria

PRESIDEN PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar beberapa individu beragama Islam di negara ini yang secara terang-terangan menyokong cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau yang juga Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia berkata, umat Islam wajib menentang ICERD yang menurutnya meletakkan Islam pada kedudukan sama dengan agama lain, bukannya menyokong cadangan meratifikasi konvensyen itu atas alasan kesamarataan.

“Malangnya ada orang Islam yang tak faham atau buat-buat tak faham... nak berjuang atas nama persamaan, nak menjadikan Islam ini sama dengan agama lain, ini tidak boleh.

“Kita mesti menentang kerana orang Islam wajib mengatakan Islam itu betul. Kita beri hak kepada agama lain, tak ganggu tapi nak kata agama lain betul juga macam Islam tak boleh. Ini sempadan yang kita tak boleh langgar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah pada majlis Tausiyah Perdana Ambang Maulidur Rasul 1440H/2018 di Masjid Abidin (Masjid Negeri) di Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan EXCO kerajaan negeri.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, dalam konteks negara ini, adalah tidak adil untuk meratifikasi ICERD.

“Kita kena faham, adil adalah bila meletakkan sesuatu kena pada tempat, bukan persamaan (contohnya) ibu bapa yang ada anak 10 orang tak sama dengan yang ada anak tiga orang, tak boleh atas nama adil kita beri sama banyak.

“Orang Islam Bumiputera dalam keadaan ketinggalan, kemudahan belajar lemah diatur penjajah dulu, yang bukan Islam diletak di bandar menguasai perdagangan, industri, pelabuhan dan macam-macam dan dalam kedudukan yang lemah ini (keistimewaan) nak dihapuskan atas nama persamaan, ini tidak betul,” katanya.

Untuk rekod, walaupun menurut Artikel 1(1), ICERD tidak meletakkan agama dalam definisi diskriminasi kaum, namun Artikel 5(d)(vii) ICERD mengiktiraf kebebasan pemikiran, kesedaran dan agama sebagai hak yang perlu diberi tanpa diskriminasi berasaskan kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 November 2018 @ 8:32 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-