Monday, December 10, 2018

KIT SIANG PERLEKEH HIMPUNAN DAULAT 812

By watan 
on December 10, 2018


Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang seolah-olah tidak berpuas hati dengan kejayaan Himpunan Daulat 812 apabila bertindak memperlekehkan himpunan tersebut yang didakwa sebagai memalukan negara.

Menurutnya himpunan kesyukuran yang asalnya untuk menolak agenda ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) itu menjadi bahan ketawa negara-negara Islam lain seluruh dunia.

“Sejak semalam, Malaysia telah menjadi bahan ketawa orang Islam di seluruh dunia, kerana 99 peratus daripada 1.9 bilion Muslim seluruh dunia menetap di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD, termasuk 55 daripada 57 negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

“Felo Penyelidikan UKM, Dr. Denison Jayasooria dalam sebuah artikel telah mengulas ratifikasi ICERD oleh negara-negara OIC, termasuk Arab Saudi, Indonesia, Turki, Mesir, Iran, Palestin, dan membuat kesimpulan tidak ada satu pun daripada negara itu menentang ICERD atas nama Islam,” ujar beliau melalui kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga penasihat DAP berkata Himpunan Daulat 812 yang dimobilisasi oleh PAS, UMNO serta badan bukan kerajaan itu cuba menolak sebuah Malaysia baharu yang menghormati hak rakyat untuk berhimpun.

“Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak pernah mengiktiraf, menghormati dan mengangkat hak perlembagaan dan demokratik rakyat Malaysia untuk bersuara dan berhimpun secara aman, seperti yang dilihat berlaku dalam lima perhimpunan yang dianjurkan Bersih dari 2007 hingga 2016.

“Pun begitu, terdapat satu masalah besar, pihak penganjur Anti-ICERD di Kuala Lumpur tidak mahu sebuah Malaysia Baharu, yang lahir pada hari penuh bersejarah iaitu pada 9 Mei 2018.

“Pihak penganjur Anti-ICERD hadir untuk memusnahkan, dan bukannya mencipta, sebuah Malaysia Baharu,” ujar beliau.

Kit Siang dalam kenyataan memaklumkan bahawa ratifikasi ICERD perlu ditangguh dan akan diteruskan apabila kerajaan berjaya meyakinkan semua kaum untuk menerima konvensyen tersebut.

“ICERD juga tidak menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong apatah lagi menyebabkan pemansuhan sistem Kesultanan Melayu.

“Oleh sebab ini, Malaysia tidak harus meratifikasi ICERD sehingga majoriti kaum dan agama di Malaysia selesa dengannya, menyokong dan memahami apa yang dibawa itu tidak mengancam kepelbagaian kaum, agama atau Perlembagaan Persekutuan, namun satu langkah ke hadapan dalam mempromosi hak asasi manusia,” katanya.

Sebagai info, 36 daripada 38 buah negara pengamal sistem monarki di dunia telah meratifikasi ICERD termasuk United Kingdom pada 1969, Norway 1970, Sweden 1971, Denmark 1971, Belanda 1971, Jordan 1974, Belgium 1975, Jepun 1995, dan Arab Saudi pada 1997.

Wartawan Watan-Online

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-