![](https://i.malaysiakini.com/1327/1cd717f12122cd4121d1c822e6563a26.jpeg)
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin mengingatkan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) supaya tidak mengeluakan kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan kaum pada himpunan yang diadakan di Kuala Lumpur esok.
"Elakkan daripada mengambil tindakan yang mengganggu ketenteraman awam atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyebabkan ketegangan dalam hubungan antara kaum.
"Pihak polis akan memantau perhimpunan ini untuk memastikan ia berlangsung dengan aman dan undang-undang negara dipatuhi.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.
Himpunan yang dinamakan sebagai Himpunan Jihad Perkasa itu diadakan bersempena mesyuarat dan persidangan agung tahunan pertubuhan itu.
Setiausaha agungnya, Syed Hasan Syed Ali berkata himpunan itu akan membangkitkan mengenai isu-isu semasa.
Muhyiddin dalam kenyataannya mengingatkan Perkasa mengenai insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield yang telah menyebabkan keresahan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan yang telah pun dapat dikawal pada masa ini," katanya.
Himpunan anjuran Perkasa itu diadakan seminggu sebelum perhimpunan Umno dan PAS bagi membantah usaha meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Kerajaan bagaimanapun memaklumkan telah membatalkan hasrat meratifikasi Icerd.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.