Suara Tanpa Sempadan
Abdul Mursyid
December 1, 2018
PUTRAJAYA – Kerajaan memandang serius kenyataan tanpa usul periksa dan tidak bertanggungjawab dibuat oleh Presiden Hindu People’s Party (Hindu Makkal Katchi), Arjun Sampth mengenai insiden perbalahan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata, kenyataan berniat jahat itu, bertujuan mengeruhkan hubungan baik dua hala antara Malaysia dan India.
“Melalui perbincangan di antara Kementerian Luar dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mridul Kumar, beliau (Mridul) memberikan jaminan bahawa kerajaan India menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil oleh Malaysia bagi menangani isu ini dan tidak akan mencampuri urusan dalaman kerajaan Malaysia,” katanya.
Pada 28 November lalu, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India menerima memorandum daripada Arjun yang secara dasarnya mengutuk insiden perbalahan di kuil Sri Maha Mariamman dengan menyatakan bahawa seramai 200 pengganas Islam membuat serangan ke atas kuil serta penganut Hindu yang cuba mempertahankan kuil itu.
Memorandum itu mendakwa kerajaan Malaysia bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahkan kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden terbabit.
Hindu Makkal Katchi adalah sebuah parti politik kecil berhaluan kanan dan ekstremis di daerah Tamil Nadu, India.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika di Parlimen menyatakan dengan jelas bahawa insiden perbalahan itu adalah kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.
Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menahan 30 individu yang terbabit dengan insiden perbalahan itu.
– BH
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.