Sunday, December 2, 2018

PAS sambut baik siasatan kes Tabung Haji

N Faizal Ghazali
Diterbitkan 2 Dis 2018, 5:29 petang


PAS menyambut baik sekiranya salah guna kuasa atau kes rasuah dilaporkan dan disiasat demi mengembalikan integriti negara, kata timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun, kata Tuan Ibrahim, PAS juga menganggap seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"PAS mengalu-alukan sebarang laporan salah guna kuasa atau rasuah oleh mana-mana pihak demi mengembalikan integriti sebuah negara.

"PAS berpegang kepada kaedah seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan ia bersalah," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Lembaga Tabung Haji semalam yang membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi agensi itu yang juga Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Laporan juga dibuat terhadap bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Haji, Ismee Ismail dan Johan Abdullah.

Turut dinamakan dalam laporan polis itu ialah barisan pengurusan kanan iaitu Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Rozaida Omar, penasihat undang-undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian menegaskan, budaya menghukum seseorang sebelum perbicaraan bertentangan dengan prinsip keadilan dalam Islam.

"Kita mengharapkan satu siasatan secara adil dan saksama mesti diberi agar semua yang melakukan kesalahan dihadapkan ke muka pengadilan.

"Sementara yang tidak bersalah dapat dibela dan bersalah dapat dihukum," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-