Wednesday, December 19, 2018

UMNO Langkawi terkubur esok?

Oleh Petah Wazzan Iskandar
Wazzan@nstp.com.my

ALOR SETAR: Lebih 100 ahli termasuk kepemimpinan kanan UMNO Langkawi dijangka umum keluar parti, esok, sekali gus menyaksikan Bahagian terbabit mungkin menjadi yang pertama dibubarkan di negara ini.

Sumber berkata, tindakan keluar parti beberapa pemimpin kanan Bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri menyebabkan keadaan kecoh pada peringkat UMNO Kedah dan Pusat apabila Langkawi disifatkan lubuk kekuatan UMNO.

Beliau berkata, pihaknya juga terkejut kumpulan terbabit akan diketuai bekas EXCO negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, yang disifatkan pemimpin dihormati di kawasan terbabit.

“Tindakan keluar parti ini turut mendapat tentangan bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, dikatakan musuh politik Tun Dr Mahathir Mohamad, yang terus mempertahankan kepemimpinan UMNO.

“Keputusan terbabit gagal dibendung kerana Mohd Rawi dan kepemimpinan sedia ada melihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) lebih dilihat melindungi orang Melayu dan Islam berbanding UMNO yang kini sudah tersasar perjuangan, dibelenggu masalah integriti dalam kalangan pemimpin dalam UMNO.

“Alasan terbabit menjadi asas kukuh kepada lebih 100 ahli UMNO Langkawi keluar parti, yang mana pemimpin UMNO Kedah tidak mampu memujuk mereka supaya terus kekal dalam UMNO,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kumpulan diketuai Mohd Rawi mahu mengadakan sidang media berhubung mahu keluar parti di sini esok, yang diedarkan kepada pengamal media di Kedah.

Minggu lalu, enam Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta termasuk Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Sebelum itu, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-