Wednesday, January 23, 2019

Guna aset kerajaan untuk kempen tetap dihukum, kata Wan Azizah

Faiz Zainudin
-January 23, 2019 6:00 PM


CAMERON HIGHLANDS:  Kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) daripada hukuman jika didapati bersalah mengunakan aset kerajaan bagi tujuan kempen, kata Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan perdana menteri berkata, satu siasatan lengkap akan dijalankan berikutan isu penyalahgunaan jentera milik kerajaan oleh seorang timbalan menteri yang menimbulkan kontroversi dalam pilihan raya kecil Cameron Highlands.

Katanya, perkara tersebut sudah jelas dan selaras dengan dasar PH mengenai penggunaan jentera kerajaan.

“Kalau betul dan terbukti bersalah, ia tetap salah. Kita sudah beri peringatan sebelum ini.

“Kita cuba untuk elakkan semua bentuk kontroversi, macam kami bertiga hari ini ambil cuti dan datang dengan kenderaan sendiri,” katanya, merujuk kepada dirinya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Timbalan Menteri Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad.

“Cuma disebabkan kami ada jawatan lain, ada polis mengiringi kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama penduduk Kampung Keledek hari ini.

Pada Ahad, tersebar satu video memaparkan kenderaan milik Jabatan Perhutanan Pahang digunakan untuk kempen PRK.

Kerajaan Pahang berkata sebuah kenderaan pacuan 4 roda (4WD) yang dipinjamkan kepada seorang timbalan menteri disalahgunakan oleh PH untuk kempen PRK Cameron Highlands.

FMT diberitahu laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu.

Tak boleh guna ucapan tanpa kebenaran

Sementara itu, Wan Azizah turut ditanya mengenai isu teks ucapan yang dibacakan bagi pihaknya di satu majlis pelancaran projek jalur lebar berkelajuan tinggi semalam.

Pejabat timbalan perdana menteri dalam kenyataan berkata ia tidak pernah meluluskan ucapan itu atau mewakilkan kepada mana-mana orang untuk membacakan teks tersebut.

Wan Azizah hari ini dia enggan melayan dakwaan penganjur yang mendakwa pihaknya sudah pun mendapatkan kebenaran setiausaha politiknya untuk membolehkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon membaca teks itu.

“Saya sudah keluarkan kenyataan. Dia penganjur boleh mempertikaikan atau cakap apa sahaja. Tapi bila saya tak datang, tak bolehlah pakai kenyataan saya,” katanya.

Beliau juga enggan memberitahu sama ada tindakan akan dikenakan terhadap penganjur.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-