Wednesday, January 23, 2019

Tiada hiasan babi, tiada masalah, kata pengusaha pusat beli belah

Robin Augustin
-January 23, 2019 11:19 AM

Imej babi tidak kelihatan pada hiasan dan dekorasi Tahun Baru Cina di pasar raya sekitar Lembah Klang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:  Persatuan yang mewakili lebih 200 pusat membeli-belah di negara ini memuji kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad bahawa tiada larangan terhadap penggunaan gambar babi di tempat awam untuk sambutan Tahun Baru Cina akan datang.

Bercakap kepada FMT, penasihat Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Chan Hoi Choy berkata kenyataan Khalid mencerminkan ketertiban “Malaysia baru”.

Bagaimanapun, katanya, ahli PPK kekal menghormati sensitiviti budaya dan “mengamalkan dasar berkecuali” dalam pemilihan tema untuk hiasan perayaan.

Chan, yang juga ketua eksekutif Sunway Malls dan Theme Parks, mengakui anggota masyarakat Cina secara umum lebih suka menggunakan tanda zodiak yang sesuai dalam mengalu-alukan tahun baru, tetapi beliau berkata “ia tidak selalunya perlu”.

Untuk sambutan akan datang, katanya, “penggunaan elemen kebudayaan lain adalah meluas”.

Beliau bercakap mengenai “kreativiti luar kotak” dalam menentukan tema hiasan dan memberikan contoh keputusan Sunway Malls untuk memberi penghormatan kepada 5 suku Cina yang membentuk 90% komuniti Cina Malaysia.

Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia PK Leong juga menyambut baik kenyataan Khalid.

“Tetapi hotel biasanya mengelak daripada menggunakan gambar babi atau anjing dalam apa jua keadaan kerana kami menghormati sensitiviti rakyat,” katanya kepada FMT.

“Bagaimanapun, saya harap dari masa ke semasa orang ramai akan menangani salah faham penggunaan gambar babi sebagaimana menggalakkan penggunaan daging babi,” katanya. “Dalam budaya Cina, haiwan zodiak hanya simbolik tenaga pada tahun tersebut.”

Zodiak Cina menggunakan haiwan berbeza setiap tahun dalam kitaran 12 tahun. Tahun ini adalah giliran babi.

Khalid sebelum ini memberitahu FMT, tiada larangan ke atas hiasan babi sempena Tahun Baru Cina di tempat awam.

“Adakah lukisan babi juga haram?” katanya apabila ditanya sama ada kerajaan akan mengharamkan imej haiwan tersebut untuk menghormati tabu Melayu.

Tinjauan FMT pusat membeli-belah di sekitar Lembah Klang mendapati gambar babi tidak kelihatan dengan jelas pada hiasan Tahun Baru Cina.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-