Showing posts with label PRK Cameron Highlands. Show all posts
Showing posts with label PRK Cameron Highlands. Show all posts

Sunday, January 27, 2019

PH kalah: Amaran rakyat kepada kerajaan

MyMetro
Aizat Sharif
cnews@nstp.com.my


KEKALAHAN Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah satu peringatan rakyat kepada Kerajaan Persekutuan supaya segera mengatasi masalah yang timbul masa ini.

Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kekalahan sulung parti berkenaan adalah gambaran bahawa banyak perkara asas terhadap rakyat perlu diperhalusi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kekalahan terbabit adalah sebagai peringatan supaya PH melihat semula keperluan dan luahan rakyat berkenaan isu yang berlaku.

“Walaupun kita tidak menang namun pelbagai maklum balas diterima dari masyarakat di sana berkaitan isu bantuan sara hidup, kos sara hidup, pembangunan jalan dan isu Orang Asli.

“Segala maklum balas berkenaan akan diperhalusi dan diperbaiki demi memperbaiki kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kongres Melayu Perlis di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra di Arau hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut menyangkal bahawa kekalahan PH adalah disebabkan faktor bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut sama berkempen untuk Barisan Nasional.

“Itu bukan faktornya kerana kami lihat kekalahan ini sebenarnya adalah isyarat pengundi Cameron Highlands yang mahukan kita memperbaiki perkhidmatan kita kepada masyarakat di negara ini,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 9:11 PM

BN guna sentimen kaum, agama punca PH kalah - Mujahid

Diterbitkan Hari ini 4:10 petang 


Kempen menggunakan sentimen perkauman dan agama oleh BN dengan kerjasama PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menjadi punca kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata sentimen dimainkan pakatan pembangkang itu jelas merupakan fitnah terhadap beliau dan kerajaan PH.

"Mereka menuduh saya tidak menjaga agama, jual Tabung Haji (TH) dan saya ikut telunjuk DAP. Semua itu fitnah.

"Ini jelas orang Melayu masih boleh dimainkan dengan sentimen-sentimen Melayu dan Islam dan secara keseluruhan kempen BN itu mencemar usaha kerajaan PH untuk mewujudkan Malaysia Baru," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Pongal di Parit Buntar hari ini.

Beliau mengulas kemenangan BN pada PRK Parlimen Cameron Highlands semalam apabila Ramli Mohd Noor daripada BN meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH M.Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee 276 undi.

Dr Mujahid, anggota Parlimen Parit Buntar berkata berikutan kemenangan BN pada PRK itu, pihaknya bimbang BN akan menggunakan sekali lagi sentimen perkauman dan agama pada PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih, Selangor dan Rantau di Negeri Sembilan.

- Bernama

Kejayaan UMNO-Pas tarik sokongan MCA, MIC di luar jangkaan – Guan Eng

MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
27 Januari 2019 11:19 AM

LIM GUAN ENG

PULAU PINANG 27 Jan. – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kejayaan UMNO dan Pas menarik MCA dan MIC menyokong kerjasama parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands adalah di luar jangkaan.

Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan itu, Guan Eng turut mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor atas kejayaan menjadi wakil pertama Orang Asli di Dewan Rakyat serta kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memimpin BN bagi PRK berkenaan.

Dalam masa sama, beliau turut menilai kegagalan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran untuk menang antaranya disebabkan peratusan undi penyokong PH yang menurun sebanyak 15 peratus.

Begitu pun, jelas beliau, meskipun tewas, PH masih berjaya mengurangkan majoriti undi UMNO-Pas iaitu daripada 4,184 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbanding 3,238 undi pada PRK semalam.

“Selain itu, undi calon PH juga berjaya ditambah kira-kira tiga peratus iaitu daripada 38 peratus pada PRU-14 kepada 41 peratus pada PRK semalam.

“Sudah tentu di sebalik kekecewaan kita tidak menang semalam, tetapi ini memberi galakan kepada kita untuk terus lawan dan mengambil iktibar daripada PRK ini bagi melihat bagaimana kita boleh perbaiki diri dan jentera kita pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Perpustakaan Digital, di Jalan Masjid Negeri, di sini hari ini.

Dalam PRK Cameron Highlands semalam, BN berjaya mengekalkan kerusi itu selepas Ramli memperoleh sebanyak 12,038 undi berbanding Manogran (8,800) manakala dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing 314 dan 276 undi. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kejayaan-umno-pas-tarik-sokongan-mca-mic-di-luar-jangkaan-guan-eng-1.830282#ixzz5dmwgIaXq
© Utusan Melayu (M) Bhd

'Rakyat tak boleh hidup hanya dengan kata-kata manis'

Diterbitkan Hari ini 1:23 tengahari


PRK CAMERON | Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan pusat belum menunjukkan kepada rakyat negara ini mengapa mereka harus mengundi PH.

Dalam keadaan begitu, kata Nik Nazmi, PH harus menjadikan Buku Harapan sebagai panduan dan memerlukan naratif jelas untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka masih layak untuk berkhidmat sebagai kerajaan.

"PRK Cameron Highlands telah berakhir. Keputusannya bukanlah seperti apa yang diharapkan oleh PH dan penyokong kita.

"Bagaimanapun, ia adalah keputusan rakyat dan kita mesti menghormati pilihan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama Nik Nazmi yang juga anggota parlimen Setiawangsa berkata PH dan penyokong gabungan itu tidak boleh tunduk kepada tekanan, sebaliknya mendapat kekuatan baru bagi menghadapi cabaran akan datang.

Katanya penggunaan retorik perkauman oleh pihak tertentu semasa kempen PRK berkenaan amat mendukacitakan.

"Pengundi Malaysia mesti bertanya pada diri sendiri: adakah negara atau mana-mana komuniti mendapat pembelaan sewajarnya dengan tindakan keji dan tidak bermoral sedemikian?" katanya.

Sambil meminta pihak berkuasa berkaitan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap retorik perkauman jika terbukti benar, beliau turut menegaskan PH perlu mejadi pihak yang utama perlu bertanggungjawab.

Katanya, kelemahan terbesar PH ialah tidak mampu mengungkapkan wawasan yang lebih baik untuk rakyat di Cameron Highlands dan seluruh negara.

"PH belum menunjukkan kepada rakyat Malaysia mengapa mereka harus mengundi kita untuk menikmati ekonomi yang lebih saksama dan inklusif.

"Kelompok B40 dan M40 di Malaysia tidak boleh hidup berdasarkan kata-kata manis semata-mata. Mereka memerlukan manfaat yang boleh diukur," katanya.

Ujar beliau, meskipun PH tidak boleh melaksanakan sepenuhnya dasar dalam manifesto, mesej yang harus dipaparkan ialah tumpuan kerajaan diberi kepada rakyat secara keseluruhan, bukan terhadap kelompok kecil.

Katanya PH akan gagal jika tidak dapat bercakap sebagai satu suara.

"Kita perlu mula menunjukkan prestasi kepada rakyat, terutamanya dari segi ekonomi," katanya.

'Kerjasama BN dengan PAS akan lebih kukuh'

Diterbitkan Hari ini 11:43 tengahari


Selepas kekalahan di PRK Cameron Highlands, Pakatan Harapan (PH) dijangka berdepan cabaran sama di PRK DUN Semenyih yang bakal diadakan 2 Mac ini.

Ini kerana beberapa tokoh Umno dan PAS sudah membayangkan kerjasama antara mereka dengan PAS akan lebih kukuh selepas kejayaan di PRK Cameron Highlands.

Antaranya bekas perdana menteri Najib Razak dalam satu hantaran Facebook hari ini.

"Saya menghargai sokongan (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang, (timbalannya) Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin dan ahli PAS yang membantu kemenangan rakyat di Cameron Highlands.

"Saya yakin kerjasama kami akan bertambah erat, semua ini demi masa depan Malaysia," katanya yang berkempen secara agresif dalam PRK Cameron Highlands.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi mengumumkan calon BN Ramli Mohd Nor menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran dengan majoriti 3,238 undi, jauh lebih tinggi berbanding PRU lalu iaitu 597 undi.

BN juga menang di semua 12 pusat daerah mengundi.

Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan berkata antara faktor kemenangan itu adalah kerjasama dengan PAS. Penganalisis juga berkata undi BN dan PAS tidak lagi pecah seperti PRU lalu.
Noraini Ahmad

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata keputusan semalam membuktikan pembangkang kini semakin kukuh.

"Tahniah buat semua teman yang berhempas pulas berkempen... Kepada rakan-rakan PAS, jazakallahu khairan kathiran di atas kerjasama dan keyakinan yang diberikan.

"Ayuh kita jadikan kemenangan penting ini sebagai permulaan yang baik kepada kemenangan seterusnya di PRK Semenyih," katanya lagi.

PRK Semenyih akan diadakan ekoran kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu.

Pada PRU lalu, Allahyarham mendapat 23,428 undi untuk menewaskan calon BN Johan Abdul Aziz (14,464), calon PAS Mad Shahmidur Mat Kosim (6,966) dan calon PSM S Arutchelvan (1,293).

Ini bermakna gabungan undi BN dan PAS dalam PRU itu ialah 21,430 - tidak jauh berbeza dengan undi PH.

Pada sidang media 22 Januari lalu, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata parti itu akan membuka bilik gerakannya dan menggerakkan kerjasama dengan Umno dalam PRK DUN itu, berdasarkan arahan pusat.

Suntikan semangat untuk BN dan PAS, pengajaran buat PH

Yasmin Ramlan
Diterbitkan Hari ini 9:26 pagi


ULASAN | Keputusan PRK Cameron Highlands semalam menunjukkan satu perkara dengan jelas - walaupun kerajaan pusat sudah bertukar tangan, para pengundi masih selesa bersama BN.

Seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya semalam, calon BN menang dengan 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan daripada DAP M Manogaran yang meraih 8.800 undi. Dua calon Bebas Salehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 dan 276 undi.

Ini merupakan PRK pertama yang tidak menyebelahi PH selepas Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.

Bukan itu saja, BN berjaya meningkatkan majoriti daripada 597 undi pada PRU ke-14 kepada 3,238 undi.

Gabungan itu juga menang di semua 12 pusat daerah mengundi.

PH berjaya meningkatkan undinya di kalangan Orang Asli tetapi ia ternyata tidak memadai.

Keputusan itu menunjukkan ada yang tidak kena dengan strategi kempen PH - antaranya adalah kesesuaian M Manogaran sebagai calon dan bagaimana gabungan itu menangani isu berkaitan Melayu.

Manogaran boleh dikatakan bertuah kerana tetap diberi peluang bertanding walau sudah dua kali tewas di kawasan parlimen itu.
Manogaran selepas keputusan diketahui
Bukan saja menteri-menteri berkempen untuknya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut ke Cameron Highlands sehari sebelum hari mengundi. Sesuatu yang tidak berlaku dalam PRK sebelum ini kecuali di Port Dickson.

Tetapi Manogaran dan jentera kempen PH di Cameron Highlands mensia-siakan kelebihan itu.

Dibandingkan dengan calon BN Ramli Mohd Nor, Manogaran tampak tidak memahami sentimen akar umbi.

Jurang beliau dengan penduduk di situ dilihat ketara melalui bahasa tubuhnya. Beliau kurang berbual dan beramah mesra ketika berkempen.

Manakala BN membuat percaturan tepat dengan mengorbankan MIC yang secara tradisi bertanding di kawasan itu dengan pertama kali meletakkan calon dari kalangan Orang Asli. Golongan itu membentuk hampir suku daripada jumlah pengundi di Cameron Highlands.

Bukan anggota mana-mana parti BN, Ramli tiada 'beban politik'. Sebagai bekas pegawai kanan PDRM, anak tempatan dari suku Semai itu boleh dikatakan dihormati penduduk.

Percaturan BN tepat

Satu lagi faktor yang membawa kepada kemenangan BN adalah isu yang dibawa kedua-dua gabungan kepada pengundi Melayu. Berbanding PH, isu yang disuarakan BN lebih disambut pengundi Melayu.

Ia sekali lagi menunjukkan keresahan orang Melayu pascaPRU ke-14 benar-benar wujud. Kerjasama antara PAS dengan BN - terutama Umno - menjadi medium utama keresahan itu disuarakan.

Dalam kempen, pembangkang bijak menyuntik isu dari perspektif kaum di kalangan pengundi Melayu di kubu kuat BN dan kubu PAS di Jelai, antaranya isu kematian pegawai bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dalam insiden rusuhan kuil Sri Maha Mariamman di Seafield.
Kehadiran di ceramah BN dan PAS di Jelai
PH sebenarnya mampu mengubah pandangan pengundi jika ia ditangani dengan berkesan.

Apa-apa pun, ia boleh dianggap sebagai amaran awal buat PH berkenaan perkara itu menjelang PRK DUN Semenyih nanti. Di sana, PH melalui Bersatu bakal berdepan kerjasama Umno dan PAS yang lebih erat.

Faktor Najib juga gagal ditangani dengan baik oleh pemimpin PH. Kedudukan bekas perdana menteri itu kini bukan lagi seperti sebelum PRU ke-14. Beliau bukan lagi mengemudi BN dan media sosial sedikit-sebanyak berjaya memulihkan imejnya.

Justeru tindakan menyerang Najib dan 1MDB yang dibuat segelintir pemimpin PH tidak memberi kesan yang sama lagi seperti dulu.

Antara Tanah Rata dan Jelai

Parlimen Cameron Highlands terdiri daripada dua DUN - Jelai dan Tanah Rata. Ramai yang tidak tahu bahawa jarak di antara dua DUN tersebut merupakan kira-kira 90 kilometer iaitu mengambil masa satu jam setengah perjalanan.

Keadaan Jelai panas terik, tidak sedingin Tanah Rata yang terkenal dengan ladang teh dan strawberinya.

Jelai - kawasan DUN Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail - pula dikenali dengan tembikai wangi dan ladang kelapa sawit yang dimiliki peneroka Felda.
Dalam PRK kali ini, pemimpin kanan PH kebanyakannya menumpukan perhatian di Jelai memandangkan ia merupakan kawasan majoriti Melayu dengan kira-kira 3,000 pengundi Felda.

Tetapi malangnya penduduk di sana belum dapat menerima Manogaran dengan terbuka. Janji PH untuk membangunkan Jelai yang agak ketinggalan tidak diendahkan.

Tanpa kemudahan asas dan lampu jalan raya di kawasan pedalaman, penduduk di situ nampaknya masih berpuas hati dengan BN yang sekian lama mentadbir negeri itu.

PRK kali ini pastinya menyuntik semangat yang sangat diperlukan oleh BN - dan juga PAS - sebagai pembangkang untuk beberapa tahun lagi.

Bagi PH pula, ia sebagai pengajaran tentang bagaimana menangani isu-isu Melayu dan beberapa kelemahan yang dikaitkan dengan pentadbirannya.

YASMIN RAMLAN ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

PAS: Allah beri petunjuk pada pengundi tolak PH

Diterbitkan 26 Jan 2019, 10:54 malam 


Presiden PAS Abdul Hadi Awang memanjatkan syukur kepada Allah kerana memberikan hidayah dan petunjuk kepada pengundi sehingga membawa kepada kemenangan BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands .

“Syukur kepada Allah dengan hidayah-Nya yang memberi petunjuk kepada pengundi untuk memilih calon beragama Islam bagi mewakili rakyat dan masyarakat majmuk di Parlimen Cameron Highlands,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Dalam hantaran yang sama juga, beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai satu perkembangan positif ke arah kerjasama blok pembangkang yang lebih baik.

Dalam PRK yang berlangsung hari ini, calon BN Ramli Mohd Nor menang dengan 3,238 majoriti undi selepas meraih 12,038 undi keseluruhan, manakala calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran meraih 8,800 undi.

Dua calon bebas yang bertanding pula, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing meraih 276 dan 314 undi. Kedua-dua mereka dijangka kehilangan deposit.

Selain itu, kata Hadi, kemenangan itu merupakan satu isyarat bahawa rakyat menolak PH dan budaya politik melampau yang dibawah oleh DAP.

Pandangan serupa turut dikongsi oleh Anggota Parlimen Kuala Nerus Dr Khairuddin Aman Razali dalam hantaran Facebook berasingan, di mana beliau menyifatkan kekalahan DAP sebagai satu “amaran besar” kepada PH agar tidak mempermainkan Islam, Melayu serta keperluan hidup rakyat marhaen.

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Mohamad Hasan tidak lupa memberi penghargaan kepada PAS atas kemenangan BN itu.

Katanya, gerak kerja dan kerjasama antara Umno dan PAS membuahkan hasil yang amat baik sehingga BN dapat mempertahankan kerusi di Cameron Highlands itu.

Saturday, January 26, 2019

BN menang bawa isu perkauman - M Manogaran

MyMetro
Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my

Manogaran (tengah) ketika sidang media selepas tewas pada PRK Parlimen Cameron Highlands. Foto Abdullah Yusof

CALON Pakatan Harapan (PH) yang gagal untuk kali ketiga dalam percubaannya merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran, mendakwa Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi berkenaan kerana memainkan isu perkauman.

Manogaran berkata, beliau sama sekali tidak menyalahkan pengundi kerana kegagalannya merampas kerusi berkenaan.

“BN main isu kaum, saya tak salahkan pengundi. Ini menjadikan kami lebih kuat kerana kami tidak memandang agama dan kaum,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Pilihan Raya PH di Cameron Highlands, hari ini.

Menurutnya, meskipun kalah beliau akan tetap meneruskan khidmatnya di Cameron Highlands dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang kempen berlangsung.

Manogaran turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan DAP dan PH yang memberikan peluang kepadanya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan dan berharap mereka dapat membantu dalam membangunkan Cameron Highlands.

“Kita perlu terus membantu penduduk. Saya komited untuk membantu kerajaan membawa pembangunan di sini,” katanya.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 9:50 PM

Ramli catat sejarah Orang Asli pertama jadi ahli parlimen

 Diterbitkan Hari ini 7:06 malam


PRK CAMERON HIGHLANDS | Calon BN Ramli Mohd Nor diumumkan secara rasmi sebagai pemenang pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Ia merupakan kemenangan pertama buat BN sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14, sementara Ramli mencatat sejarah sebagai Orang Asli pertama menjadi ahli parlimen.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan Ramli menang dengan 3,238 majoriti undi selepas meraih 12,038 undi keseluruhan.

Pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran meraih 8,800 undi.

Dua calon bebas yang bertanding pula, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing meraih 276 dan 314 undi. Kedua-dua mereka dijangka kehilangan deposit.

Peratus keluar mengundi adalah 68.79 peratus, yang merupakan jumlah paling tinggi dalam semua PRK sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Sementara bagi Manogaran, ini merupakan kekalahan kali ketiganya di Cameron Highlands. Ini merupakan kali pertama beliay bertanding sebagai calon parti pemerintah.

Ikuti liputan langsung Malaysiakini bagi keputusan PRK Cameron Highlands di laman khas ini.

Tak rasmi: BN menang di Cameron Highlands

 Diterbitkan Hari ini 7:06 malam


PRK CAMERON HIGHLANDS | Keputusan tidak rasmi menunjukkan calon BN, Ramli Mohd Nor memenangi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands.

Setakat pukul 7.00 malam, Ramli sudah meraih 11,320 undi, iaitu lebih separuh daripada kira-kira 22,000 yang keluar mengundi.

Calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran pula mendapat 6,942 undi.

[Berita lanjut menyusul]

Baju logo PH: Bersih gesa SPR lapor polis

Diterbitkan Hari ini 5:41 petang 


PRK CAMERON | Bersih mengkritik tindakan calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran memakai baju dengan logo gabungan itu di sebuah pusat mengundi pada pilihan raya kecil Cameron Highlands hari ini.

Malah, badan itu turut mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat laporan polis terhadap Manogaran.

Bersih berkata, walaupun Manogaran telah memohon maaf, namun sebagai seorang yang berpengalaman dalam pilihan raya dan seorang peguam, alasan diberikan beliau memakai baju itu dalam keadaan tergesa-gesa adalah tidak boleh diterima.

"Sebagai saksi mata pertama, kami meminta SPR membuat laporan polis kerana pelanggaran ini.

"Kami menyeru agar siasatan dan tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak polis dan Pejabat Peguam Negara," kata badan pemantau pilihan raya itu dalam satu kenyataan petang ini.

Bersih berkata, tindakan memakai logo parti dalam jarak 50 meter dari pusat mengundi adalah merupakan kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 26 (1) (g) yang boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Berbaju logo parti, Manogaran mohon maaf, akui 'tidak perasan'

Diterbitkan 10 minit yang lalu pada 26 January 2019
Calon PH M. Manogaran mengakui tidak perasan memakai baju berlogo parti tetapi tiada niat untuk mencabar akta SPR. 
Foto oleh Firdaus Latif

KUALA LIPIS, 26 Jan Calon Pakatan Harapan daripada DAP, M. Manogaran memohon maaf kepada semua pihak berhubung pemakaian baju berlogo parti ketika masuk ke perkarangan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sinderut pagi tadi.

Manogaran, 61, mendakwa beliau tidak perasan memakai baju berlogo parti itu kerana telah menjadi kebiasaan memakai baju rasmi serta tiada niat untuk mencabar akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya minta maaf, ini bukan satu isu, kita patuhi undang-undang, saya minta maaf atas perkara yang tidak disengajakan itu.

“Saya memang tidak perasan, sebab dua minggu saya pakai macam itu. ia tidak ada maksud tertentu dan saya tidak bercakap dengan pengundi, jadi ia bukan isu,” katanya ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan ke pusat pengundian di SK Betau petang ini.

Sebelum ini, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan telah menegur Manogaran dan berkata tindakan telah diambil terhadapnya dengan menyuruh beliau keluar dari kawasan mengundi.

Mengikut peraturan mana-mana individu tidak dibenarkan memakai logo parti dalam jarak 50 meter daripada pusat mengundi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai isu pemberian hamper kepada pengundi di suatu kawasan malam tadi yang telah tular di media sosial, Manogaran mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai isu terbabit dan akan menyiasat perkara itu.

“Saya berada di perkampungan Orang Asli malam tadi dan hanya diberitahu pagi ini. Saya perlu mengetahui perkara sebenar sebelum membuat sebarang kenyataan,” katanya.

 — Bernama

LANGSUNG: Cuaca baik, 15 peratus mengundi sehingga 9 pagi

Diterbitkan Hari ini 8:53 pagi


PRK CAMERON | Hari pengundian untuk pilihan raya kecil Cameron Highlands - yang dijangka menjadi pertandingan paling sengit sejak pilihan raya Teluk Intan pada 2014 - akhirnya tiba.

Pusat pengundian di seluruh kawasan itu akan dibuka pada pukul 8 pagi dan akan ditutup pada waktu yang berbeza sepanjang hari disebabkan oleh isu logistik, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

Masa penutupan terakhir untuk pusat mengundi ialah pada jam 5.30 petang, selepas itu Malaysiakini akan menampilkan liputan langsung keputusannnya.

Ikuti Malaysiakini kerana kami akan membawa kepada anda secara langsung laporan hari pengundian.

15 peratus telah keluar mengundi

10.30 am: Tanah Rata - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Azizan Harun menganggarkan 15 peratus daripada 31,639 pengundi yang layak telah keluer mengundi sehingga 9 pagi.

Setakat ini, cuaca kelihatan baik dan dijangka kekal.

Antara pengundi ialah presiden MyPPP M Kayveas.
10am - Sebanyak 15 peratus daripada 31,639 pengundi telah keluar mengundi setakat pukul 9 pagi bagi PRK Cameron Highlands - Pengerusi SPR

Bendera DAP muncul di kubu kuat PAS
9.20 am - Kampung Sungai Keledek: Jentera PH mencabut dan membawa turun bendera DAP yang tergantung di sekitar Sekolah Kebangsaan Sungai Keledek.

Selain bendera DAP, mereka juga mendapati bsnting yang menampilkan gambar calon PH M Manogaran dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sedangkan gambar yang sepatutnya merupakan Manogaran bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut jentera PH itu bendera dan bunting tersebut, pihak PH tidak mengetahui mengenai perkara tersebut dan ia dipercayai diletakkan pada lewat malam semalam.

Penyokong dari Barisan Nasional dilihat bersorak ketika jentera PH mencabut bendera dan bunting DAP itu.

Sungai Keledek adalah kubu kuat PAS. Parti itu memenangi 60 peratus di daerah pengundian ini semasa pilihan raya umum ke-14.

MP bantah 'pondok panas'

9.15am: Pos Mensun - Ahli Parlimen Klang Charles Santiago membantah sebuah pondok panas berhampiran pusat pngundian.
Selepas mengadu kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis, orang yang menjaga pondok itu beredar jauh dari situ.

"Mereka memberi tekanan kepada pengundi .. Ini akan menjadi pilihan raya yang sengit. Setiap undi penting," kata Santiago kepada Malaysiakini.

Pondok panas menjadi tempat tidak rasmi untuk pengundi menyemak sama ada mereka berada di pusat pengundian yang betul.
Bagaimanapun, pondok itu biasanya menjadi tempat kempen pada saat-saat akhir.

Setakat 9 pagi, kira-kira 20 peratus daripada 557 pengundi di Daerah Menswear telah hadir di pusat pengundian.

9.00am Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada kira-kira pukul 8.50 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Gahai hari ini.
Wan Rosdy yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai tiba pukul 8.40 pagi, mengundi bersama isterinya Datin Seri Burhah Mohammed di saluran satu.

'Proses pengundian lebih cepat daripada PRU14'

8.55am: Tanah Rata - Rash Pal Kaur (gambar), guru berusia 55 tahun yang telah mengundi enam kali di Cameron Highlands, berkata dia hanya menunggu 20 minit di SMK Sultan Ahmad Shah untuk mengundi.
"Ia (prosesnya) sangat lancar. Lebih cepat daripada semasa pilihan raya umum ke-14.

"Saya tidak perlu menunggu lama. Dalam masa 20 minit, telah selesai, "katanya kepada pemberita di pusat pengundian.

8.00am: Bertam Valley - Calon bebas Wong Seng Yee tiba di pusat pengundian SJK (C) Bertam Valley, di mana beliau akan mengundi.
Wong berkata beliau akan mengelak daripada berjabat tangan dengan pengundi dan pemberita untuk mengelak dilihat sebagai berkempen pada hari mengundi.

Kira-kira 50 orang sedang mengundi untuk menghantar undi mereka di stesen mengundi.

Perang mulut peraih undi BN-PH hangatkan Cameron Highlands

ARIF ATAN Foto: WAN ZAHARI WAN SALLEH
January 26, 2019 10:01 am

Dingin pagi di perkarangan pusat pengundian SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata sekitar jam 9 pagi tadi hangat seketika apabila berlaku perang mulut antara peraih undi BN dan PH.

Berada lebih 50 meter dari sekolah tersebut, kumpulan peraih BN tertumpu di hadapan Kompleks Pejabat Penghulu Tanah Rata manakala kumpulan penyokong PH di seberang jalan.
Peraih undi BN di hadapan Kompleks Pejabat Penghulu Tanah Rata manakala perayu undi BN di seberang jalan.

Kumpulan BN diberitahu datang dari Kuantan dan Kuala Lumpur manakala penyokong PH dari Pulau Pinang dan Perak selain sekitar Pahang.

Provokasi mula tercetus apabila salah seorang kumpulan BN berteriak, “awan biru pagi ini,” lantas disambut penyokong BN dengan sorakan termasuk “ong, ong, PH ada ong (untung).

Selain kata-kata sindiran seperti “kencing” dan “hancing” daripada kumpulan BN, seorang penyokong menyerbu kumpulan PH ketika media sedang merakam gambar.
Pengundi mula beratur seawal 7 pagi bagi membuang undi di SMK Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata

Seorang penyokong BN mahu dikenali sebagai Arshad, 25, berasal dari Pekan memberitahu, sindiran “awan biru pagi ini” sengaja mahu menguji kesabaran penyokong PH.

Sementara itu, seorang penyokong PH yang merupakan bekas anggota polis berkata, mereka tidak membalas provokasi peraih BN itu kerana tidak mahu perkara lebih buruk berlaku.

“Kita nama pun “raya”. Raih undi bukan mahu cari gaduh. Tindakan seorang ‘penyokong Najib’ (BN) itu datang kacau kumpulan kami (PH), nampak sungguh tidak cerdik,” kata penyokong Bersatu itu.

Walau bagaimanapun, keadaan masih terkawal dengan beberapa anggota polis bertugas menghampiri kedua-dua kumpulan sambil mengingatkan jangan menghalang lalu lintas.

Terdahulu, pada jam 8.40 pagi, dua kenderaan Hilux mengangkut keluar kumpulan pengundi Orang Asli yang telah membuang undi.
Pengundi Orang Asli dari Kampung Sungai Ubi diangkut oleh jentera BN sejurus membuang undi di SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata.

Mereka dilihat diuruskan jentera BN kerana sejurus kenderaan itu bergerak, teriakan “Hidup BN” kedengaran.

Hari ini, seramai 32,048 pemilih berdaftar boleh membuang undi dengan 34 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu, Cina (30 peratus), Orang Asli (22 peratus) dan India 14 peratus.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/perang-mulut-peraih-undi-bn-ph-hangatkan-cameron-highlands/

Rakyat perlu rasa malu terus sokong UMNO - Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis ramah mesra di Dataran Sungai Koyan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P078 Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan 3. 
- Foto Farizul Hafiz Awang

LIPIS: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat perlu berasa malu untuk terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya terkenal dengan bekas presiden kleptokratnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata bukan saja kedua-dua parti itu ditolak rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, malah bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa atas berpuluh tuduhan salahguna kuasa ketika pemerintahannya, turut ditolak anggota partinya sendiri.

“Dalam PRU-14, BN buat kali pertama ditolak kerana dipimpin seorang penyangak, satu dunia tahu dan panggil dia kleptokrat, itulah nama diberi kepada Najib.

“Tak malukah kita? (sokong Najib lagi). Sebab itu kita semua buang Najib daripada jadi perdana menteri dan UMNO pula buang Najib daripada jadi presiden parti,” katanya di hadapan ribuan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands di Sungai Koyan, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan calon PH bagi PRK berkenaan, M Manogaran.

Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden UMNO selama 22 tahun, turut menzahirkan keyakinan bahawa parti tertua negara itu bersama-sama parti komponen BN sudah tidak mempunyai masa hadapan dalam landskap politik negara.

Malah, dakwanya, ramai daripada anggota UMNO yang mahu menyertai BERSATU dan PH, termasuk Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang berjumpa dengannya dan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan BERSATU.

Sepatutnya, kata beliau, parti itu tidak perlu lagi meletakkan calon dalam PRK berkenaan.

“Toksah (tidak perlu) bertanding lagi, orang UMNO sendiri tolak UMNO, ramai minta nak masuk BERSATU dan PH sebab tak percaya lagi pada UMNO, ini apa lagi nak pilih orang UMNO, dah tak ada dah UMNO, yang ada parti penyangak.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kanan) dan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands M. Manogaran (kiri) pada program perjumpaan bersama warga Sungai Koyan di Dataran Sungai Koyan 1, hari ini. - Foto BERNAMA

"Jadi, buat apa nak pilih satu orang (calon BN, Ramli Mohd Nor), apa dia boleh buat? Biarlah dia Orang Asli, kita juga layan Orang Asli, tapi ini nak tipu Orang Asli, ambil Orang Asli jadi calon," katanya.

Ditanya mengenai gelaran Najib sebagai 'King of Troll', Dr Mahathir ketika ditemui pemberita sebaik selesai Solat Jumaat bersama jemaah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, berkata bekas Perdana Menteri itu hanya mencari simpati bagi mendapatkan sokongan semula daripada rakyat selepas berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah.

Beliau berkata tindakan anggota Parlimen Pekan itu dilihat sebagai antara usahanya untuk menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat kononnya beliau dianiaya

Dr Mahathir turut mengulangi, pemilihan Manogaran sebagai calon PH adalah tepat dan mendapat sokongan penuh daripada semua parti di bawah PH dan tidak timbul isu pemilihan calon berketurunan India itu tidak sesuai.

“Tepat, tepat, insya-Allah , bukan dia sorang saja, kita semua (di) belakang dia.

“Kadang-kadang di tempat lain orang India terpaksa sokong orang Melayu, di sini orang Melayu (pula) sokong orang India. Tetapi kita kalau tak sokong dia, tempat lain dia tak sokong kita, kita kalah la,” katanya.

"Saya nak merayu sama ada yg pakai baju merah (baju PH) atau yang tak pakai, sama ada Melayu, Orang Asli, India atau Cina, jangan sesekali undi BN atau calon UMNO, undilah PH...tunjuk kita sedar nasib kita di tangan kita, kalau silap undi, kita jadi mangsa, sebaliknya kalau undi PH nasib kita lebih terjamin," katanya.

PRK ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Manogaran, bekas pesara Polis Diraja Malaysia Ramli Mohd Nor mewakili BN dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani tempatan, Wong Seng Yee.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh dari BN pada PRU-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

 - BERNAMA

Friday, January 25, 2019

Jakoa mohon maaf berhubung papan tanda projek

Diterbitkan Hari ini 11:25 malam 


PRK CAMERON | Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengakui berlaku kesilapan berhubung pemasangan papan tanda mengenai projek pembangunan di beberapa perkampungan masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands.

Ketua Pengarah Jakoa, Ajis Sitin dalam satu kenyataan malam ini turut memohon maaf mengenai perkara itu.

"Jakoa ingin menjelaskan bahawa papan tanda projek tersebut merupakan satu kesilapan yang tidak disengajakan.

"Oleh yang demikian, pihak Jakoa telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada pihak kontraktor untuk menurunkan papan tanda yang tidak sepatutnya dinaikkan tersebut.

"Pihak Jakoa mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf berkenaan perkara tersebut dan akan memastikan bahawa perkara sedemikian tidak akan berulang di masa hadapan," katanya.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, papan tanda berlogo Jakoa dan lambang "Harapan Baru Malaysia" itu didirikan di Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong, Lembah Bertam.
Papan tanda tersebut menyatakan pembangunan itu membabitkan projek "baik pulih rumah" yang bertarikh 18hb Jan sehingga 17 Febr 2019.

Di Kampung Sungai Kabuk pula papan tanda itu menyatakan ia adalah projek "baik pulih tadika", namun tiada tarikh yang dipaparkan.

Beberapa penduduk Kampung Sungai Tiang dan Sungai Chohong memberitahu Malaysiakini, papan tanda tersebut hanya didirikan pada tengah hari tadi oleh beberapa lelaki tidak dikenali.

Terdahulu ketika dihubungi Malaysiakini Ajis mengesahkan papan tanda tersebut didirikan pihaknya.

Bagaimanapun Ajis enggan mengulas apabila ditanya kenapa projek berkenaan dibuat sewaktu kempen PRK berlangsung, dan beliau lalu mematikan talian.

Sementara itu dalam reaksi segeranya kepada Malaysiakini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berkata pihaknya telah mengarahkan papan tanda tersebut diturunkan.

MIC tuntut Dr M minta maaf pada kaum India

B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 10:00 malam


PRK CAMERON | Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad didesak meminta maaf kepada masyarakat India susulan jenaka beliau terhadap calon PH, M Manogaran, yang dirasakan berbaur perkauman.

Menurut Ketua Penerangan MIC, V Gunalan, Mahathir permohonan maaf itu diperlukan, terutama buat pengundi India di Cameron Highlands.

“Kami sangat kesal dengan jenaka rasis Mahathir yang jelas bersifat perkauman.

"Ini kali kedua beliau menghina kaum India selepas menggunakan perkataan keling semasa pilihan raya umum ke-14 dulu.

"Justeru, MIC menyeru beliau meminta maaf kepada kaum India," katanya ketika menghubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, perdana menteri ketika kempen untuk PH di Cameron Highlands hari ini berjenakan mengenai Manogaran.

“Tak nampak, gelap. Nampak rambut dia putih,” kata Mahathir berjenaka dalam satu ceramah di Felda Sungai Koyan, petang tadi.

Kata Gunalan kenyataan Mahathir itu yang berkata hanya boleh nampak rambut putih Manogaran kerana mukanya gelap bukan satu jenaka.

“Kami nak pengundi India Cameron Highlands menolak PH dan mengundi BN esok,” katanya.

Ambiga: Tunjukkan BN jalan keluar, PH berjuta kali lebih baik

Diterbitkan Hari ini 6:58 petang 


PRK CAMERON | Bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan menggesa pengundi 'menunjukkan jalan keluar' kepada BN pada pilihan raya kecil Cameron Highlands esok.

Ambiga, yang menggelarkan dirinya sebagai pengkritik utama Pakatan Harapan (PH) berkata, pentadbiran kerajaan pada masa ini adalah 'sejuta kali' lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Menulis di Twitter, Ambiga menyeru pengundi luar agar pulang ke Cameron Highlands bagi menunaikan kewajipan mereka.

"Baliklah pengundi luar. Tolonglah jadikan pilihan raya ini macam PRU, undi dan lawan! Inilah apa yang diharapkan calon-calon.

"Anda boleh memperbaiki kehidupan rakyat di Cameron Highlands jika anda membawa perubahan di sini," katanya.

Ambiga mengulas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang sebelum ini bahawa BN dijangka memenangi kerusi itu kecuali berlaku "keajaiban" dari pengundi luar.

Lim berkata kemenangan PH juga akan menghalang bekas perdana menteri Najib Razak membuat kemunculan semula dengan menggunakan pilihan raya kecil itu sebagai batu loncatan.

PH meletakkan calonnya, M Manogaran, yang bertanding di kerusi parlimen itu sebanyak kali ketiga manakala BN mempertaruhkan Ramli Mohd Nor, seorang warga tempatan dari suku Orang Asli Semai dan bekas pegawai kanan polis.

Terdapat dua lagi calon bebas bersaing dalam pilihan raya kecil itu

Mahathir turun bukan tanda nak kalah - Muhyiddin

Yasmin Ramlan
Diterbitkan Hari ini 11:24 tengahari 


Kunjungan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya kecil Cameron Highlands bukan bermaksud Pakatan Harapan (PH) menjangkakan akan tewas di kubu kuat BN itu.

Menurut Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, selepas pilihan raya umum lalu, rakyat khususnya penduduk Cameron Highlands ingin bertemu dengan Mahathir untuk mendapatkan mesej perdana menteri ketujuh itu.

"Lebih-lebih selepas PRU, mereka nak jumpa perdana menteri apa mesej yang nak disampaikan.

"Pengundi nak dengar. Jadi jangan sebab beliau turun, rasa seolah-olah kita nak kalah.

“Di Port Dickson pun Tun komited untuk bantu jentera PRK," katanya pada sidang media di bilik gerakan bersatu di Kuala Medang hari ini.

Naib presiden PH itu juga menjelaskan setiap pemimpin tertinggi tanpa mengira jawatan turun membantu untuk PRK yang ditandingi PH.

"Tapi PRK ini, PH di mana setiap pemimpin yang tertinggi pun komited dengan usaha untuk bantu supaya kita menang dalam pilihan raya.

"Insya-Allah di Semenyih nanti bukan perdana menteri tapi semua pemimpin parti berjawatan atau tak akan membantu," katanya.

Untuk rekod, Mahathir tidak turun berkempen pada tiga PRK sebelum ini iaitu PRK DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Thursday, January 24, 2019

Kenyataan Kit Siang tentang kerakyatan Orang Asli amat memalukan.


January 24, 2019 rhg

KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN  pemimpin DAP, Lim Kit Siang mengenai taraf kerakyatan Orang Asli amatlah memalukan dan memperlihatkan kedunguan pemimpin itu selama ini.

Janjinya untuk membantu Orang Asli mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia juga membuktikan bahawa DAP selama ini tidak tahu mengenai kedudukan Orang Asli dan tidak pernah ambil tahu akan mereka.

DAP menganggap masyarakat Orang Asli sama dengan pendatang asing dari China, India, Indonesia dan negara lain, yang memerlukan mereka memohon taraf Pemastautin Tetap (PR) terlebih dahulu sebelum diberikan kewarganegaraan.

Sungguh daif pemikiran Kit Siang dan pemimpin lain parti itu mengenai Orang Asli, termasuklah calonnya di Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands.

Kenyataan bodoh ini akan selamanya menjadi bahan tertawa politik apabila penggiat media sosial sudah mula menempelak Kit Siang dan DAP.

Bagaimanapun, apa yang pasti ialah tindakan beliau memperkecil-kecilkan kedudukan Orang Asli di Malaysia dan menyamakan mereka dengan kaum pendatang. Kami ingin bertanya, siapa lebih dahulu berada di Malaysia ini, Orang Asli atau kaum kerabat Kit Siang?

Sama ada sedar atau tidak, ia meremehkan dan menghina Orang Asli yang selama ini hanya mendapat pembelaan daripada Barisan Nasional. Dapatkah Kit Siang menafikan perkara ini?

Kit Siang perlu lebih banyak belajar mengenai Malaysia, terutama suku kaumnya sebelum membuat sebarang kenyataan bagi mencerminkan DAPlah pejuang Orang Asli.

Berapa kalikah Kit Siang dan pemimpin DAP lain mengunjungi masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands dan tempat lain? Apa bantuan yang pernah dihulurkan kepada mereka selain mendabik dada sebagai pejuang hak mereka?

Makin banyak beliau dan pemimpin DAP bercakap, makin banyak kesilapan yang mereka lakukan. Daripada itu, eloklah jika Kit Siang ada ‘proof reader’nya sendiri!

Jabatan Komunikasi Strategik
Penerangan UMNO Malaysia

24 Januari 2019

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-