Monday, January 7, 2019

Kementerian lulus hampir RM20 juta untuk prototaip kereta nasional ke-3

Bernama
-January 7, 2019 8:04 PM


KUALA LUMPUR:  Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) meluluskan dana bernilai hampir RM20 juta untuk menarik minat pelabur swasta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ke-3.

Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata dana diperoleh daripada beberapa geran sedia ada untuk memangkinkan pembangunan projek kereta nasional berkenaan.

“Ideanya ialah kita menjadi pemangkin kepada projek kereta nasional baharu itu.

“Saya tidak membangunkan projek kereta nasional yang ke-3, saya memudahkan untuk mewujudkan persekitaran bagi projek kereta nasional baharu itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lestari: Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Bumiputera hari ini.

Program Lestari merupakan kerjasama antara MED dan Petronas untuk memantapkan usaha pembangunan usahawan Bumiputera dalam kalangan syarikat vendor Petronas.

Katanya, kementerian juga menyenarai pendek beberapa vendor untuk membangunkan prototaip kereta nasional itu.

Sementara itu, Redzuan berkata kerajaan akan melancarkan program yang menggantikan Skim Latihan 1Malaysia secara rasmi selewat-lewatnya bulan depan.

Katanya, program baru itu diberi nama Professional Training and Education for Graduating Entrepreneurs atau Protege.

“Kami telah memulakan program baharu itu tetapi kami belum melancarkannya secara rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Redzuan membayangkan pengembangan skop kementerian bagi merangkumi skop pelaburan dan perdagangan.

Katanya, cadangan tersebut disampaikan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberikan respons positif.

“Bagi saya, pembangunan usahawan tidak lengkap tanpa pelaburan dan perdagangan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-