Wednesday, January 23, 2019

Kit Siang penipu mahu tutup isu, kata pemimpin PAS

Diterbitkan Hari ini 8:20 malam 


Pemimpin PAS tampil membidas Lim Kit Siang selepas veteran DAP itu mendakwa Abdul Hadi Awang "melobi" jawatan perdana menteri jika Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan menyifatkan Lim sebagai seorang penipu apabila menuduh presiden PAS berminat untuk jawatan berkenaan.

"PAS tidak pernah menamakan Abdul Hadi sebagai calon perdana menteri. Lim Kit Siang menipu dan membuat kesimpulan sendiri berdasarkan situasi genting ketika PRU Ke-13 yang lalu.

"Tindakannya juga adalah untuk menutup isu utama yang menunjukkan DAP bersikap rasis dan autokratik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi dalam catatan di Facebooknya mendakwa parti Islam itu tidak pernah menamakan mana-mana pemimpinnya sebagai calon perdana menteri atau "perdana menteri menanti".

Ia bagi menjawab dakwaan Kit Siang yang mendakwa PAS menuduh DAP sebagai rasis dan anti-Islam kerana enggan menyokong Abdul Hadi sebagai calon perdana menteri pada PRU ke-13.

Anggota parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa PAS licik apabila tidak mencadangkan nama Abdul Hadi secara terus, sebaliknya secara diplomatik mengangkat nama veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Taktik alih tumpuan PRK

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin pula mendakwa kenyataan Lim sebagai taktik mengalih tumpuan terhadap isu kesalahan DAP ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

"Penggunaan jentera dan kenderaan kerajaan ketika berkempen, ugutan terhadap calon BN serta Tok Batin, juga politik wang.
"Isu tersebut kini sedang menjadi bualan hangat rakyat yang tidak mampu lagi dibendung oleh PH hingga menimbulkan reaksi bantahan. Tidak cukup di media sosial, rakyat mula menzahirkan kemarahan mereka secara terang-terangan menolak PH.

"Akibat tiada arah, Lim menggunakan pendekatan lapuknya menyerang Abdul Hadi pula," katanya.

Beliau sedar jika PH tidak mampu mengalih kemaraan PAS mahupun BN dalam PRK ini, impak besar bakal melanda kerajaan PH.

"Agenda DAP menguasai PH dilihat bukan lagi satu rahsia. Keangkuhan DAP hanya mahu berkuasa dan cuba pula memaksa segala agensi termasuk rakyat untuk mengikut rentak dan telunjuk mereka," katanya.

Alergi penyatuan Melayu

Sementara itu Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Khairuddin Aman Razali pula mendakwa Lim cukup alergi dengan penyatuan orang Melayu dan agenda memartabatkan Islam.

"Jika dibiarkan alergi ini tanpa dirawat, Lim dan DAP boleh mati kerananya.

"Putusnya hubungan PAS dengan DAP selama ini pun kerana alergi ini. Sebab itu Lim mahu DAP hanya berkawan dengan parti-parti yang tiada atau tidak kuat aspirasinya untuk menyatukan orang-orang Melayu dan memartabatkan Islam sahaja.

"Namun, nampak hodoh dan bodoh betul pembohongan Lim yang mengatakan bahawa Presiden PAS pernah merayu untuk menjadi calon Perdana Menteri," selar Khairuddin

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-