Friday, January 11, 2019

Topeng kaki rasuah

MyMetro
Irwan Shafrizan Ismail dan
Mohd Iskandar Ibrahim dan
Hashini Kavistri Kannan
cnews@nstp.com.my
DR Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR).
 FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Putrajaya: Kerajaan memutuskan untuk memasukkan peruntukan baharu undang-undang mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari (beneficial ownership) ke dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu bagi membolehkan SPRM mengenal pasti pemilik sebenar sesuatu kepentingan dalam sesuatu proses siasatan dijalankan.

“Ini kerana ada yang menggunakan nama orang lain, tetapi dimiliki orang lain. Jadi, kita buat undang-undang supaya dapat cekup pemilik sebenar. Ia bagi mengenal pasti pihak yang betul-betul terbabit.

“Kita mahu mendapat pemunya benefisiari. Walaupun mengguna nama lain kita tetap akan jumpa dan boleh dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) 1/2019 semalam.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, antara bidang strategik dibincangkan ialah penekanan dalam bidang pendidikan bagi melahirkan generasi yang berintegriti dan berakhlak mulia.

“Kita ingin semai budaya nilai hidup baik dalam kalangan masyarakat Malaysia dan ini perlu bermula dari kecil.

“Jadi, Kementerian Pendidikan perlu beri penekanan dengan menyemai nilai mulia dalam perkembangan sahsiah pelajar bagi menangani rasuah,” katanya.

Selain itu Dr Mahathir berkata, kerajaan melaksanakan pre-budget statement dan Kajian Separuh Tahun bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan sebagai langkah menambah baik pengurusan belanjawan.

Katanya, ia bagi memastikan ketelusan maklumat berkaitan hutang dan liabiliti negara serta meminimumkan off-budget dalam perbelanjaan kerajaan mulai tahun ini.

“Sebagaimana yang berlaku dalam kerajaan sebelum ini mekanisme off-budget ini menyumbang kepada skandal kewangan seperti 1MDB dan Special Purpose Vehicle (SPV). Justeru Kerajaan kini berusaha untuk meminimakan off-budget,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat turut memutuskan untuk menambah baik proses perolehan, kriteria pemilihan dan penilaian perunding serta pemantauan projek.

“Kriteria wajib lulus diwujudkan di mana perunding mesti berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan Lembaga Profesional bagi memastikan mereka berkelayakan serta berintegriti tinggi,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan komited membabitkan negara secara lebih aktif dalam jawatankuasa standard antarabangsa ISO/TC309 bagi Governance of Organizations.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 10:46 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-