Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Tuesday, February 12, 2019

Keputusan PM tidak babitkan Anwar dalam majlis ekonomi, kata Azmin

Shakira Buang 
Diterbitkan Hari ini 3:51 petang


Keputusan pelantikan anggota Majlis Tindakan Ekonomi yang tidak membabitkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim adalah keputusan penuh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali.

“Ini keputusan yang diambil oleh perdana menteri, tetapi saya yakin dalam proses perbincangan untuk dapatkan input dan maklum balas, kita perlu terlibat dengan banyak kepentingan termasuk anak muda, komuniti ekonomi, kerana kami memerlukan lebih banyak input.

“Ini hanyalah sebuah jawatankuasa kecil untuk mengumpulkan semua info daripada pihak yang berkepentingan supaya kami dapat mengadakan mesyuarat pertama dan menetapkan parameter, dan di sana kami akan turun ke bawah serta berbincang dengan pihak yang terlibat,” katanya.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR disoal wartawan mengapa Anwar selaku bekas menteri kewangan dan bakal perdana menteri tidak dilantik menganggotai majlis ekonomi itu yang dibentuk untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Beliau sebelum itu hadir pada Majlis Ramah Mesra sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Hokkien Malaysia di Subang Jaya, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri semalam berkata, itu bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

Matlamat utamanya adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, majlis berkenaan juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah.

Seramai 16 pemimpin dilantik menyertai Majlis Tindakan Ekonomi termasuk Dr Mahathir dan Azmin tetapi nama Anwar tercicir daripada senarai tersebut.

Awal hari ini, Penasihat Khas Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin menulis dalam blog beliau, The Scribe, bahawa penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi oleh Dr Mahathir mempunyai maksud tersirat.

Dakwanya, perdana menteri merasakan kabinet tidak memadai untuk menangani isu-isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

Antara tokoh yang menganggotai majlis itu ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan tokoh perbankan, Tan Sri Tay Ah Lek

No comments:

Post a Comment

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-