Wednesday, February 27, 2019

PRK Rantau: PAS beri laluan, sokong BN

Diterbitkan Hari ini 2:15 tengahari


PAS akan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pemangku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha berkata keputusan itu berdasarkan persefahaman yang dicapai kedua-dua parti sebelum ini untuk saling membantu.

“Kemungkinan besar Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan) sendiri akan pertahankan kerusi itu. Dalam hal ini, PAS memberi laluan kepada calon BN untuk bertanding (di DUN Rantau),” katanya kepada pemberita di Seremban.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Richard Malanjum pada 18 Feb lalu menolak rayuan Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau sebagai terbatal dan tidak sah.

Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada PRK bagi DUN Rantau untuk diadakan.

Sementara itu, ditanya pemberita mengenai kemungkinan PAS dan Umno akan bergabung, Rafiei yang juga Anggota Jawatankuasa PAS Pusat berkata ia bergantung kepada keputusan pimpinan pusat.

“Setakat ini kerjasama dahulu dan kerjasama itu sudahpun bermula… tapi kerjasama itu dalam bentuk parti dengan parti, soal gabungan itu kita serah kepada pimpinan pusat,” katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-