Sunday, March 10, 2019

Pemimpin DAP jangan buat kenyataan ekstrem - Sheikh Omar

Oleh Ifwan Tun Tuah
ifwan@bh.com.my

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali (kiri) dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming. 
- Foto Zain Ahmed/Muhaizan Yahya

JOHOR BAHRU: Pemimpin DAP diminta supaya tidak membuat kenyataan keterlaluan berkaitan isu politik dan agama.

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, berkata sebagai pemimpin parti yang sudah menjadi kerajaan, mereka perlu berhati-hati dalam membuat ulasan mengenai isu semasa, termasuk membabitkan dasar, politik dan rakyat.

“DAP sebagai sebuah parti yang menjunjung semangat Perlembagaan dan menjadikan demokrasi asas perjuangan, harus mengambil pendekatan lebih sederhana dalam setiap pandangan.

“DAP tidak menyokong mana-mana aliran atau pandangan ekstrem dan sebagai pemimpin rakyat, kita harus menolak daripada bersikap sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming, sebagai berkata Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya kerjasama UMNO dan PAS membentuk kerajaan.

Mengulas lanjut, Sheikh Omar berkata, pemimpin DAP bukan hanya mewakili kaum Cina, sebaliknya rakyat merentasi sempadan bangsa dan agama.

“DAP sering dituduh sebagai parti cauvinis, justeru (pemimpin) dengan hujah ekstrem tidak membawa DAP ke mana-mana, sebaliknya meletakkan parti pada kedudukan paling sukar untuk mengubah imej yang dimomokkan selama ini.

“Kita tidak mahu dimomokkan dengan ejekan komunis oleh musuh politik, kita juga tidak wajar melabel pihak lain sebagai Taliban. Kita harus matang dan keluar daripada perangkap pemikiran cetek dan jahil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama PAS dengan UMNO tidak menyalahi amalan demokrasi, justeru tidak wajar disamakan dengan politik Taliban.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-