Saturday, March 30, 2019

SPR seru lapor polis agihan kupon percuma di Rantau

Faiz Zainudin
-March 29, 2019 10:07 PM


SEREMBAN:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa laporan polis dibuat berhubung isu pemberian kupon makanan percuma kepada pelajar di 5 buah sekolah sebelum hari penamaan calon PRK DUN Rantau.

Timbalan Pengerusi Azmi Sharom berkata, laporan polis akan memastikan tindakan dapat diambil jika perbuatan itu menyalahi undang-undang.

“Jikalau ada sesiapa yang rasa bahawa ini adalah satu kesalahan, kami galakkan dan nasihatkan buat satu laporan polis supaya tindakan boleh diambil kepada sesiapa saja yang buat kesalahan,” katanya kepada media selepas meninjau Pusat Penamaan Calon di SJK (C) Bandar Seri Sendayan hari ini.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Miri, Michael Teo yang dilapor memberi sumbangan kupon makanan percuma kepada 300 murid di 5 buah sekolah sekitar Rantau.

Azmi berkata, sebarang bentuk jamuan makanan dan minuman sebelum, semasa dan selepas pilihan raya adalah salah bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Masalahnya kita tidak ada definisi dalam undang-undang ini tentang bilakah sebelum, semasa dan selepas.
“Ini satu ‘grey area’ tetapi kalau kita lihat di United Kingdom mereka telah menyatakan bahawa “sebelum” itu adalah apabila kita sudah tahu akan ada pilihan raya.

“Tetapi SPR tidak boleh beri satu jawapan yang nyata. Ini sesuatu untuk ditentukan oleh mahkamah,”katanya,

SPR menyasarkan jumlah keluar mengundi 13 April ini sebanyak 70%.

Kerusi DUN Rantau diisytiharkan kosong pada 26 Februari lalu, selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan penyandangnya, Mohamad Hasan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya untuk mengadakan pilihan raya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-