Showing posts with label laporan polis. Show all posts
Showing posts with label laporan polis. Show all posts

Friday, August 30, 2024

Polis terima satu laporan persenda pakaian wanita Muslim

bharian.com.my
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@bh.com.my
 
Hantaran dimuat naik pemilik akaun, Ryan Azzaro yang memaparkan wanita mengenakan burqa iaitu pakaian berwarna hitam terjun ke kolam. - Foto tular

KUALA TERENGGANU: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung hantaran di Facebook yang didakwa mempersendakan pakaian yang menjadi syariat wanita Muslim.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata laporan yang dibuat Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu di Balai Polis Kuala Terengganu itu diterima pihaknya jam 3.35 petang semalam.

Setakat ini, tiada laporan berkait isu sama dibuat di daerah lain dan pihaknya akan membuat permohonan segera kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mendapatkan pemilik sebenar akaun Facebook yang bernama 'Ryan Azzaro' itu.

"Siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak menjadikan isu 3R (agama, kaum dan raja) sebagai satu sentimen politik, gurauan serta usikan dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang berbuat demikian," katanya.

Azli berkata, berdasarkan laporan diterima pihaknya sebelum ini, pengadu melihat satu hantaran di Facebook yang menggunakan nama 'Ryan Azzaro' yang mengandungi imej dihasilkan menggunakan teknologi AI menunjukkan seorang wanita berpurdah sedang melakukan aksi melompat ke kolam renang dengan kapsyen " Wellcome to Afganu " kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Beliau berkata, pengadu merasakan kiriman itu memperlekehkan simbol agama Islam dan dasar kerajaan Negeri Terengganu yang tegas mempertahankan pematuhan syariat khusus berkaitan aurat dalam sukan.

Menerusi laporan itu, katanya, pengadu mengatakan hantaran itu berbaur penghinaan terhadap agama Islam yang secara tidak langsung menjejaskan keharmonian masyarakat negara ini.

"Pengadu beranggapan hantaran itu dibuat ekoran arahan Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang atlet wanita menyertai acara terjun dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 kerana pakaian tidak mematuhi syariah.

"Pengadu memaklumkan tindakan suspek bukan saja mencabar keputusan kerajaan negeri malahan menyentuh sensitiviti agama yang bertentangan dengan kempen 3R yang sedang ditekankan kerajaan Persekutuan.

"Hantaran dibuat suspek iaitu wanita memakai purdah sedang membuat terjunan ke kolam, melanggar prinsip kempen 3R kerana ia menyentuh isu agama dengan menghina simbol keagamaan yang dipakai oleh wanita Islam," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sebuah hantaran memaparkan wanita mengenakan burqa iaitu pakaian berwarna hitam yang menutup seluruh badan sedang membuat aksi terjunan.

Hantaran itu dipercayai mengaitkan kontroversi penyertaan dua penerjun wanita beragama Islam mewakili Terengganu pada SUKMA di Sarawak yang tidak mendapat kebenaran kerajaan negeri.

Laporan polis penyalahgunaan peruntukan kerajaan hari ini

harakahdaily.net
August 30, 2024
Meor Naqiuddin (tengah) dalam sidang media di Kuala Lumpur pada hari ini, 30 Ogos 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)

KUALA LUMPUR: “Kerajaan secara jelas cuba menyalahgunakan peruntukan kewangan untuk diberikan kepada Skuad Sabil Umno.

”Setiausaha Kerja Armada Bersatu Malaysia, Meor Naqiuddin Shamsudin berkata, Skuad Sabil Umno merupakan organ politik Umno dan bukannya sebahagian daripada anggota penguatkuasaan kerajaan.

“Jadi, mengapa kerajaan perlu memberikan peruntukan kewangannya kepada skuad tersebut sedangkan mereka bukannya anggota kerajaan?

“Perkara ini saya lihat sendiri dalam satu rakaman ucapan yang tular di media sosial oleh Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM1) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai elaun Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang akan diberikan kepada squad tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang Media di hadapan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN) Zahin Zainal.

Menurut Meor lagi, Skuad Sabil juga tidak mempunyai kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah akta seperti badan unit beruniform kerajaan lain.

Tambah beliau, mereka bukannya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Kita harus faham kerajaan membayar kesemua unit beruniform ini melalui cukai-cukai yang rakyat bayar.

“Mengapa nak gunakan duit kita sebagai rakyat untuk membayar Squad Sabil sedangkan mereka hanyalah komponen parti politik Umno semata-mata?

“Ini merupakan sesuatu yang amat jelas berlakunya penyalahgunaan wang rakyat oleh pihak kerajaan itu sendiri,” jelasnya.

Sehubungan itu, Meor menyatakan Squad Sabil seharusnya dibiayai oleh parti Umno itu sendiri dan bukannya dengan wang kerajaan.

Kata beliau lagi, ini kerana mereka hanya mengendalikan kerja-kerja melibatkan parti Umno sahaja dan bukannya kerajaan persekutuan khas.

“Oleh yang demikian, saya percaya pengumuman tular yang dibuat oleh TPM1 merupakan salah di sisi undang-undang dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa.

“Maka, saya mengharapkan supaya PDRM membuat siasatan secara terperinci mengenai perkara ini,” katanya. 

Isu SD: Pemuda Bersatu lapor polis, dakwa Zahid tipu Agong

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 30, 2024 
Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir hari ini membuat laporan polis terhadap Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Akmal Zahin merujuk dakwaan Ahmad Zahid bahawa dia mempunyai semua 30 akuan berkanun (SD) ahli parlimen BN yang menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, sebaik selepas PRU15.

“Ahmad Zahid mengakui telah menghantar surat ke Istana Negara selepas ahli Parlimen mereka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin dan kekal neutral.

“Jelas Ahmad Zahid menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong ketika itu(Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan ini merupakan satu kesalahan jenayah serius,” katanya yang juga pengarah Pilihan Raya Pemuda PN kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid Hamidi
Isu SD kembali diperkatakan selepas Muhyiddin yang juga pengerusi PN membangkitkan perkara itu dalam satu ceramah ketika PRK Nenggiri sebelum ini.

Pada 21 Ogos lalu, Muhyiddin berkata dia telah menyerahkan 115 SD yang menyokongnya kepada polis untuk siasatan.

Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan daripada setiausaha sulit kepada Al-Sultan Abdullah

SD itu dikatakan dikumpul sejurus selepas PRU15, yang berakhir dengan Parlimen tergantung.

Sehari kemudian, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tampil menjelaskan 10 SD daripada ahli Parlimen BN itu tidak sah.

Mengulas lanjut, Akmal Zahin berkata Bersatu menggesa Zahid disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan (Akta 574).

“Kita juga minta polis siasat sebab pada 22 November 2022, Agong menitahkan 30 ahli Parlimen BN menghadap secara individu pada jam 10.30 pagi di Istana Negara. Namun yang berlaku bukan 30 ahli parlimen tetapi tiga sahaja yang datang,” dakwanya.

Justeru, dia berharap polis dapat menyiasat jika terdapat sebarang arahan daripada Ahmad Zahid yang melarang mereka daripada menghadap dan menyatakan pendirian mereka dalam soal pelantikan perdana menteri.

Isu elaun Skuad Sabil

Selain itu, satu lagi laporan polis turut dibuat Pemuda Bersatu berhubung salah guna kuasa Zahid selaku Menteri Kemahuan Desa dan Wilayah ketika mengumumkan pemberian elaun kepada Skuad Sabil.

Setiausaha kerja Pemuda Bersatu Meor Naqiuddin berkata Zahid tidak sepatutnya menggunakan duit rakyat untuk pihak yang melakukan kerja parti politik.

“Kalau begitu, mana-mana badan beruniform sukarela, seperti Unit Amal PAS patut dapat jugalan elaun. Tetapi kerana Zahid menteri yang jaga Angkatan Pertahanan Awam (APM), dia guna kuasa itu untuk beri keuntungan kepada skuad (Sabil) yang di bawah Umno.

“Ini semua duit pembayar cukai. Kita nak tahu apa asas untuk melayakkan Skuad Sabil diberi elaun guna dana kerajaan,” katanya lagi.

Meor juga tidak menolak pihaknya akan turut membuat laporan kepada SPRM berhubung perkara itu.

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 Sabtu lalu, Zahid mengumumkan Skuad Sabil akan menjadi sebahagian daripada APM dan diberikan elaun.

Bagaimanapun, pengumuman itu mencetuskan pertikaian dalam kalangan pembangkang yang mempersoalkan bagaimana jentera politik Umno boleh diberikan elaun menggunakan dana kerajaan.

Wednesday, August 28, 2024

Isu 3R: Pemuda PAS Terengganu buat laporan polis esok

harakahdaily.net
August 28, 2024
Dewan Pemuda PAS Terengganu bakal membuat laporan polis pada esok, 29 Ogos 2024 berhubung isu pengguna di platform Facebook, Ryan Azzaro memuat naik gambar atlet wanita yang diselubungi kain hitam yang menunjukkan aksi acara terjun papan anjal.

KUALA NERUS: Dewan Pemuda PAS Terengganu akan membuat laporan polis pada esok, 29 Ogos (Khamis) jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berhubung isu 3R (Raja, Agama dan Kaum)

Isu berkenaan menjadi tular apabila pengguna di platform Facebook, Ryan Azzaro memuat naik gambar atlet wanita yang diselubungi kain hitam yang menunjukkan aksi acara terjun papan anjal dan menulis kapsyen, ‘Welcome to Afganu!’

Hal ini jelas berkait rapat dengan isu baru-baru ini bahawa Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) tampil memohon maaf atas kesilapan menghantar atlet wanita beragama Islam ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tanpa pengetahuan Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Justeru, Pemuda PAS Kuala Nerus berkata, orang Islam tidak boleh membiarkan dan tidak boleh duduk diam begitu sahaja apa jua isu yang mempermainkan dan mempersendakan Islam.

“Semakin hari semakin menjadi-jadi golongan yang mempermainkan agama Islam kerana mereka merasakan mempunyai kabel yang besar untuk berselindung di sebalik akaun palsu.

“Kami berharap pihak polis membuat siasatan terperinci bersama agensi berkaitan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dalang sebenar menghina Islam ini,””katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Justeru, beliau berharap agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pelaku sekiranya tidak ditangani akan mengganggu keharmonian dalam negara dan akan menjadi lebih serius jika dibiarkan berterusan.

Terdahulu, Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan bahawa penyertaan atlet wanita Terengganu dalam acara terjun di SUKMA 2024 tidak mendapat kelulusan rasmi daripada kerajaan negeri.

Hishamuddin berkata, pada dasarnya, pihaknya tetap berpegang kepada kod etika berpakaian atlet Muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri sebelum ini.

Malangnya, penyertaan atlet wanita tersebut berlaku tanpa pengetahuan atau kebenaran beliau.

Sunday, August 11, 2024

Kafir harbi: Tiga pemimpin Melayu DAP buat laporan polis

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 11, 2024 4:36 PM
Tiga ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP yang beragama Islam tampil membuat laporan polis terhadap dua individu yang melabel parti itu sebagai ‘kafir harbi’.

Ketiga-tiga mereka - Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan, dan Young Syefura Othman - hadir di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini bagi memebuat laporan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita, Young Syefura berkata laporan itu dibuat berdasarkan video daripada ucapan yang disampaikan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri.

“Ini (kafir harbi) adalah kenyataan terang-terangan yang jelas membahayakan keselamatan kita, dan merosakkan reputasi kita sebagai pemimpin Islam DAP,” kata Ahli Parlimen Bentong itu.

Selain daripada video pertama, dia memetik satu lagi video Adun Rembia Jailani Khamis yang juga membuat dakwaan yang sama terhadap DAP.

“Disebabkan kenyataan sedemikian mungkin jika saya keluar bersendiri di suatu tempat, seseorang boleh membuat keputusan untuk bertindak terhadap saya.

“Jadi itu bahaya. Walaupun ia dibuat dalam ceramah politik, mereka tetap perlu bertanggungjawab,”katanya.

Menghuraikan definisi ‘kafir harbi’, Sheikh Umar berkata dari segi sejarah ia merujuk kepada kerajaan bukan Islam yang menentang orang Islam yang tinggal di kawasan yang sama atau kawasan lain.

“Mereka (bukan Islam) berpotensi mengancam nyawa orang Islam, atau mengisytihar perang.

“Maka ketika itulah ulama Islam muncul dengan perbezaan ‘kafir harbi’ dan lain-lain,” katanya.

Tetapi dalam konteks semasa di Malaysia tambahnya, kita mempunyai Perlembagaan Persekutuan yang diterima oleh semua termasuk semua parti politik.

“Jadi label ‘kafir harbi’ adalah keji, sangat berbahaya dan boleh menyemai benih kebencian,” tegas bekas Adun Paloh itu.

Semalam, Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri Annuar Musa mengesahkan seorang ahli PAS dari Bachok, yang membuat ucapan berkenaan, telah "digantung" daripada berkempen selama tiga hari.

Dia bagaimanapun menegaskan PAS tidak perlu memohon maaf kepada DAP.

Dalam kenyataan berasingan, gabungan reformasi pilihan raya, Bersih berkata ucapan sedemikian boleh dilihat sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954.

“Bersih mengingatkan semua pihak, khususnya yang berada di Nenggiri, supaya bersederhana dalam kempen politik mereka,” kata Bersih.

Saturday, August 10, 2024

Gelar DAP ‘kafir harbi’, sayap Pemuda lapor polis

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-10 Aug 2024

Ketua Pemuda DAP Gua Musang gesa polis siasat kenyataan tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
Ketua Pemuda DAP Gua Musang Nor Amin Shafiq Ismail (memegang laporan polis) di IPD Gua Musang hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: DAP Gua Musang membuat laporan polis berhubung kenyataan menggelar parti itu ‘kafir harbi’, dalam suatu ceramah sempena PRK Nenggiri baru-baru ini.

Ketua Pemuda Nor Amin Shafiq Ismail menggesa polis menyiasat kenyataan tersebut di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau permusuhan atas alasan agama.

Laporan polis itu berdasarkan suatu video memaparkan seorang individu menggelar DAP ‘kafir harbi’, yang tular di media sosial.

Amin menyifatkan kenyataan itu berbahaya, dan tindakan itu boleh merosakkan perpaduan dan mengancam keharmonian.

“Ia menggunakan agama sebagai alat politik, sesuatu yang dilarang dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita yang majmuk.

Kenyataan ini juga berpotensi menimbulkan ketegangan dan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berlainan agama dan bangsa, katanya dalam kenyataan, selepas laporan dibuat di IPD Gua Musang.

Amin menyeru pimpinan anak muda pelbagai parti untuk turut mengecam kenyataan itu dan membuat laporan polis agar tindakan undang-undang dapat diambil.

Semalam, beberapa pemimpin Melayu DAP menuntut permohonan maaf susulan video tular memaparkan seorang individu menggelar parti itu ‘kafir harbi’ dalam sebuah ceramah sempena PRK Nenggiri pada Khamis lalu.

Perikatan Nasional kemudian merehatkan seorang ahlinya daripada kempen PRK Nenggiri selama tiga hari, bagi memastikan keadaan kembali tenang susulan kontroversi itu.

Terdahulu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata melabelkan seseorang warganegara dengan gelaran ‘kafir harbi’ akan membawa implikasi buruk dan dahsyat.

Saturday, September 16, 2023

Laporan polis terhadap pembebasan Zahid, dakwa wujud salahguna kuasa

agendaily.com
16/09/2023
Gerakan Selamatkan Himpunan Malaysia buat laporan polis terhadap kerajaan campuran.

Gerakan Selamatkan Malaysia membuat laporan polis hari ini bagi mendesak siasatan berhubung kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh kerajaan campuran sebelum ini.

Laporan itu dibuat Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bertujuan bagi menyiasat kerajaan campuran diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa campur tangan dalam membebaskan anak muridnya yang berdepan 47 kes rasuah di mahkamah.

Menurutnya, asasnya bagi melihat kronologi kes Zahid dari awal pendakwaannya sehingga pelantikan Peguam Negara baharu.

“Banyak perkara meragukan, kita sebagai rakyat rasa ini adalah satu perbuatan yang ada berlaku manipulasi dari segi perundangan eksekutif dan lain-lain.

“Sebab itu kita buat laporan polis untuk perkara ini disiasat, siapa dari awal yang terlibat, bukan sahaja Zahid, tetapi termasuklah Peguam Negara lama dan baharu serta timbalan pendakwa raya kanan yang dilucutkan daripada kes ini serta sesiapa sahaja yang dirasakan polis perlu siasat,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Sabtu.

Katanya, ini adalah konsep yang besar membabitkan banyak perjuangan rakyat dan untuk membetulkan keadaan dalam negara dari segi pentadbiran, tata kelola serta penyalahgunaan kuasa.

“Himpunan ini ada tiga tuntutan iaitu pertama mendakwa Zahid.

“Kedua, kita mahu bebaskan SPRM dan juga Jabatan Peguam Negara daripada kuasa eksekutif dan yang ketiga ialah keadilan kepada semua orang,” ujarnya.

Zahid berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Beliau diberikan penghakiman DNAA pada 4 September lalu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.

Keputusan itu menimbulkan kemarahan yang meluas, dengan Jabatan Peguam Negara berkata hakim memutuskan berdasarkan alasan kukuh yang dikemukakannya kepada mahkamah.

Wednesday, November 23, 2022

Akar umbi UMNO lapor polis cubaan kedua Zahid tipu Agong

agendaily.com
23/11/2022
Bekas Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Sekumpulan akar umbi UMNO hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan dakwaan menipu Yang di-Pertuan Agong selepas tular surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM).

Laporan itu dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya petang ini oleh wakil akar umbi UMNO itu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang juga bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya.

Beliau yang ditemui media di luar balai polis berkenaan berkata laporan itu dibuat susulan surat yang tersebar di media sosial dan dikongsi bekas Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa, yang mengatakan 30 ahli Parlimen (MP) BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Katanya surat itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan didakwa surat itu adalah merupakan hasil daripada keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam (22 November 2022).

“Bagaimanapun setelah diteliti didapati bahawa Dewan Tertinggi BN tidak membuat apa-apa keputusan menyokong mana-mana pihak dan mengambil pendirian berkecuali.

“Malam tadi Dewan Tertinggi BN ada buat mesyuarat tetapi tiada keputusan memihak dan berlaku kekecohan. Jadi hari ini, surat itu dibangkitkan oleh Tan Sri Annuar, sebagai cubaan menipu Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tun Faisal berkata beliau juga diberitahu bahawa Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woo mengesah ketulenan surat itu, tetapi menafikan isi kandungan bahawa 30 MP BN menyokong Anwar.

Sebab itu, katanya beliau membuat laporan polis supaya siasatan cubaan menipu dan menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Kali pertama Zahid melakukannya dulu (2020) kita tak buat laporan polis, tetapi ini adalah kali kedua dan laporan polis dibuat supaya sekurang-kurangnya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Wednesday, August 31, 2022

Pegawai Abdul Latiff lapor polis terhadap dakwaan Rafizi isu LCS

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 31, 2022 8:31 AM
Seorang pegawai kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Ini selepas Rafizi mendakwa Abdul Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh yang terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek kapal tempur pesisir (LCS).

Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai khas Abdul Latiff, Sayed Ahmad Mu'izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap mengulangi dakwaannya meskipun menteri itu sudah memberi penjelasan.

“Saya diarahkan dan sesungguhnya percaya bahawa fitnah dan tohmahan tersebut dicipta untuk merosakkan nama baik Abdul Latiff untuk tujuan politik dengan menimbulkan kebencian dan kemarahan orang awam terhadap Abdul Latiff dan menyemarakkan keresahan rakyat.

"Penyiaran dan komunikasi elektronik (oleh Rafizi) tersebut adalah sumbang, palsu, mengancam, dan bersifat jelik untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut, dan mengganggu Abdul Latiff," katanya dalam laporan itu.

Katanya, dia percaya Rafizi telah melakukan kesalahan fitnah jenayah di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan, ugutan jenayah di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, penghinaan dengan sengaja dengan niat untuk mencetuskan pecah keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Laporan itu yang dibuat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi malam tadi, menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak terhadap Rafizi dan mereka yang bekerja dengannya melakukan jenayah yang didakwa.

Antara lain, Sayed Ahmad mengulangi dakwaan menteri bahawa Rafizi mengelirukan orang ramai dengan memetik draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya.

Dia berkata ini tidak mengendahkan penafian yang terkandung dalam laporan yang menyatakan bahawa juruaudit tidak dapat menilai kebenaran dakwaan yang dibuat oleh orang yang terlibat dalam projek itu.

"Rafizi berbohong kerana dia kononnya bersandar kepada laporan forensik yang menyatakan Zainab Mohd Salleh adalah isteri kedua Abdul Latiff sedangkan laporan forensik tidak menyatakan sedemikian," katanya.

Laporan aufit forensik dinyah klasifikasi

Sebelum ini, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd menyah klasifikasi laporan audit forensik LCS, selepas diarahkan oleh kabinet untuk berbuat demikian. Ia kini disiarkan di laman web Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Laporan itu menyatakan bahawa Abdul Latiff Ahmad adalah pasangan (spouse) kepada Zainab Mohd Salleh.

Zainab dikaitkan dalam laporan itu kerana didakwa melakukan penipuan pembayaran. Bagaimanapun, butirannya tidak jelas kerana banyak bahagian laporan itu telah disunting.

Rafizi menegaskan bahawa pasangan yang dirujuk dalam laporan itu merujuk kepada bekas timbalan menteri pertahanan.

Abdul Latiff bagaimanapun menafikannya.

Pada 26 Ogos, Abdul Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS, dan keluarganya tidak mempunyai sebarang kontrak pertahanan semasa menjadi timbalan menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013.

Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh, dan sebarang tindakan orang itu tidak ada kena mengena dengannya.

Dia menuduh Rafizi mengelirukan rakyat dengan memetik laporan "draf" untuk menyokong dakwaannya, mendakwa wujudnya laporan lain yang dikeluarkan oleh firma audit yang sama yang tidak menyebut hubungan suami isteri.

Sunday, August 28, 2022

Hina mahkamah, SPRM, Agong:Amanah buat laporan polis terhadap Ahmad Zahid esok

satuberita.my
By Admin
-August 28, 2022

PARTI Amanah Negara (Amanah) akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok.

Menurut Biro Mobilisasi Amanah, laporan itu akan dibuat kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong.

“Perbuatan itu dilakukan ketika Ahmad Zahid ketika berucap dalam Taklimat Khas Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur(WTCKL), semalam.

“Merujuk ucapan penuh Presiden UMNO pada Taklimat Khas Presiden UMNO, beliau telah menghina dan memfitnah institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh itu satu laporan polis berhubung isu ini akan dibuat pada jam 11 pagi secara serentak di seluruh negara,” jelasnya menerusi hantaran dalam Facebook hari ini.

Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO semalam, dilaporkan bekas peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd mengkritik institusi mahkamah.

Selain itu, ucapan-ucapan pemimpin UMNO antaranya Ahmad Zahid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyentuh berkaitan kes Najib itu.

Tuesday, August 3, 2021

Kula buat laporan salah laku polis, minta siasatan bebas

FMT Reporters
-August 3, 2021 1:17 PM


PETALING JAYA: Bekas menteri sumber manusia, M Kula Segaran membuat laporan polis setelah dihalang memasuki pekarangan Parlimen semalam.

Laporan itu menyusuli laporan yang dibuat Ahli Parlimen lain, iaitu Akmal Nasir (Johor Bahru) dan P Prabakaran (Batu) atas dakwaan sama di Balai Polis Dang Wangi.

Kula berkata, tindakan polis menyekat jalan masuk ke Parlimen adalah salah.

“Semalam, ketika negara melihat dengan kecewa dan dunia memperhatikan (kita), polis menyekat jalan-jalan menuju Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

“Bagaimanapun, anggota-anggota polis ini, ketika ditanya, tidak dapat memberitahu kami kenapa mereka menyekat (jalan masuk ke) Parlimen di bawah peruntukan undang-undang mana. Jelas sekali, arahan ini datang daripada individu dalam kedudukan yang memegang kuasa.

“Kekecohan itu memalukan kerana Parlimen tidak diprorog, yang bermaksud kami berhak pergi ke Parlimen dan mengurus sebarang perkara yang kita mahu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan Speaker Dewan Rakyat kerana membisu mengenai perkara ini.

“Di mana Speaker, mengapa beliau diam? Paling tidak, Speaker seharusnya bersuara supaya semua dapat mendengarnya,” kata beliau.

“Polis tidak sepatutnya menjadi pihak yang menyiasat perkara ini,” katanya sambil menambah, “mereka tidak boleh ditugaskan untuk menyiasat salah laku dan kesilapan mereka sendiri”.

“Tentunya mereka tidak boleh menjadi hakim, juri dan pendakwa dalam hal ini,” katanya.

Beliau mendesak kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat salah laku yang terjadi semalam dan menyediakan Kertas Putih mengenainya.

“Seruan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) menjadi sangat penting sekali lagi seperti dalam senario ini.

“Isu konflik dan kepentingan diri boleh ditangani. IPCMC juga mengukuhkan keyakinan terhadap pasukan polis dan mendorong kepada siasatan yang lebih bebas dan telus,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen pembangkang berarak ke Parlimen dalam protes meminta peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, mereka tidak berjaya memasuki pekarangan Parlimen kerana anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) menghalang jalan masuk ke situ.

Saturday, April 10, 2021

Menteri Umno gesa Zahid segera buat laporan polis

Sabtu, 10 Apr 2021 10:20 AM MYT

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli parti di peringkat akar umbi dilihat masih keliru dengan isu berkenaan. 
— Foto Bernama

MELAKA, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu segera membuat laporan polis berhubung dakwaan isu rakaman audio perbualan antara beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengelak sebarang spekulasi yang mungkin timbul daripada perkara berkenaan.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli parti di peringkat akar umbi dilihat masih keliru dengan isu berkenaan, yang dilihat boleh memberi imej negatif kepada Umno.

“Kalau percepat laporan polis ia akan memadam kesangsian (dalam kalangan ahli akar umbi) kerana sekarang ada ahli yang kata ya (ia berlaku), ada ahli yang kata tidak.

“Kalau dah keluar dapatan (tulen atau tidak audio), tiada lagi isu berkaitan audio (selepas ini),” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bangkit 15 di sini semalam.

Baru-baru ini, satu rakaman audio perbualan antara dua individu dengan suara menyamai Ahmad Zahid dan Anwar, yang didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung Umno, tersebar di sosial media.

Ditanya mengenai gesaan segelintir pihak dalam Umno yang mahu Ahmad Zahid berundur daripada jawatan nombor satu parti berkenaan, Ismail Sabri berkata setiap ahli berhak untuk mengeluarkan pandangan masing-masing.

“Setiap ahli berhak untuk mengeluarkan pandangan masing-masing dan kita tidak pernah halang ahli daripada bersuara.

“Dari dahulu lagi ahli bersuara. Apa pandangan mereka kita perlu dengar dan kita tidak pernah tutup mulut sesiapa untuk bersuara,” katanya.

Ketua Polis Negara hari ini menasihatkan kedua-dua pemimpin tersebut untuk membuat laporan polis berhubung rakaman audio perbulan itu, sekiranya benar diri mereka difitnah.

 — Bernama

Tuesday, May 5, 2020

KKM buat laporan polis berhubung fitnah berkaitan isu kontrak RM30 juta

Oleh MALAYSIA DATELINE
May 5, 2020 8:53 pm

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini membuat laporan polis berhubung fitnah yang mendakwa lima pegawai Menteri dan Kementerian itu telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan hari ini KKM berkata, laporan tersebut dibuat di Balai Polis Putrajaya.

“Fitnah itu dibuat menerusi penulisan di beberapa akaun Facebook termasuk di akaun Facebook ‘Teuku Shafiz Rullah’, ‘STEADYAKU47’, dan akaun Twitter ‘Fadzilah Mamat@Fadzilahmamat’,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, posting di Facebook dan kicauan di Twitter berkenaan mendakwa SPRM telah menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian itu.

Katanya lagi, posting itu antara lain mendakwa ‘Menteri Kesihatan juga terlibat’ dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak RM30 juta.

“KKM melahirkan rasa kesal terhadap fitnah tersebut.

“Sehubungan itu, KKM berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.

“KKM juga memohon kepada netizen supaya menghentikan perkongsian tersebut,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil beberapa syarikat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mendapat kontrak secara tidak layak bagi menyediakan kelengkapan makmal yang dianggarkan bernilai RM30 juta.

Sumber SPRM berkata, ia turut termasuk sebuah syarikat pembinaan yang didakwa memperolehi projek pembinaan makmal Kementerian Kesihatan.

Menurut sumber itu, siasatan kini terarah kepada proses pelantikan kontraktor bagi setiap perolehan untuk memastikan ianya dilaksanakan tanpa rasuah, salah guna kuasa dan perlu mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan.

Metro melaporkan, pada 30 April lalu, peguam Wee Choo Keong meminta KKM bersikap telus berhubung kontrak perolehan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak layak, yang membabitkan usaha melawan Covid-19.

Beliau mendakwa syarikat itu adalah sebuah syarikat pemaju hartanah tetapi mendapat kontrak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan dan kemudian untuk membekalkan PPE.

Saturday, April 25, 2020

Mukhriz nafi arah laporan polis terhadap Ebit Lew

FMT Reporters
-April 25, 2020 5:33 PM

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir dan pendakwah bebas Ebit Lew.

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir menafikan tuduhan pihaknya atau wakil pejabatnya membuat laporan polis yang membawa kepada siasatan terhadap pendakwah bebas Ebit Lew.

Mukhriz berkata, beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak untuk membuat laporan tersebut.

“Saya kesal dengan tularan meluas di media sosial yang mengaitkan saya dan Pejabat Menteri Besar Kedah dengan tohmahan kononnya dermawan dan tokoh motivasi Ustaz Ebit Lew disoal-siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman susulan laporan yang difailkan oleh seorang pegawai saya.

“Siasatan dalaman juga mendapati tidak ada pegawai saya, pentadbiran mahupun politik, membuat laporan polis, walaupun atas kapasiti peribadi.

“Pihak saya turut difahamkan polis bertindak dalam bidang kuasa yang dibenarkan untuk memanggil Ustaz Ebit Lew memberikan apa-apa keterangan yang diperlukan bagi maksud tertentu walaupun tiada laporan difailkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mukhriz berkata pihaknya sedang mempertimbang untuk menyaman mana-mana pihak yang membuat tuduhan tersebut termasuk di media sosial yang menyebabkan namanya dan pentadbiran kerajaan negeri tercemar.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa pentabiran kerajaan negeri Kedah tidak menyekat mana-mana pihak yang membuat kebajikan demi kesejahteraan masyarakat, asalkan ia mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan, termasuk peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan serta panduan penjagaan kesihatan bagi mengelak jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Lew yang bermurah hari membantu rakyat negeri jelapang padi itu.

Semalam, Lew mengumumkan menghentikan bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan ketika PKP dikuat kuasakan, tetapi beliau akan terus membantu golongan tidak berkemampuan dengan memindahkan wang ke akaun mereka.

Beliau berbuat demikian selepas dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman semalam berhubung laporan pihak mempertikaikan bantuannya.

Lew sebelum ini aktif membantu individu memerlukan sejak PKP bermula 18 Mac lalu, termasuk memberikan pelbagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan.

Beliau turut berkongsi catatan di Facebook mengenai kunjungannya ke sebuah rumah usang dan kotor dengan seorang lelaki warga emas ditemui terlantar, tetapi ada pihak mempersoalkan peranan pihak berkuasa seperti kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah serta masyarakat sekeliling dalam membantu keluarga itu.

Katanya, beliau menggunakan wang sendiri sebanyak RM1 juta untuk membantu golongan memerlukan dan petugas barisan hadapan.

Tuesday, February 18, 2020

G25 buat laporan polis terhadap Hadi esok

FMT Reporters
-February 18, 2020 12:46 PM

Hadi Awang.

PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 akan membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi Awang esok berhubung kenyataan presiden PAS itu, yang pernah mengatakan mereka lebih bahaya daripada militan Al Maunah.

Setiausaha Eksekutif Jasmin Zulkifli dalam satu pemberitahuan hari ini memaklumkan G25 akan ke Balai Polis Dang Wangi pada pagi esok “atas kenyataan yang dibuat terhadap kumpulan itu oleh Hadi”.

G25 menjadi sasaran presiden parti Melayu-Islam terbesar itu susulan penerbitan laporan “Administration of Matters Pertaining to Islam” oleh kumpulan itu pada 11 Jan lalu, untuk menangani isu-isu berkaitan pentadbiran Islam, terutama untuk mencerahkan undang-undang kurang jelas yang memberi kesan dalam penerapan syariat dalam dasar pentadbiran awam.

Laporan itu menarik perhatian kepada isu undang-undang menghukum murtad yang menurutnya tidak konsisten dengan Perlembagaan, penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dikatakan tidak mengikut Perlembagaan, dan penubuhan Majlis Tanah Negara walaupun tanah bawah bidang kuasa negeri, dan mencadangkan pindaan-pindaan berkaitan.

Hadi bagaimanapun membidas G25 dan pengikutnya lebih berbahaya daripada Al Maunah dan memberi ancaman kepada akidah umat Islam kerana pemikiran mereka tidak berpandukan syariat daripada ajaran dan kitab suci agama itu.

Presiden PAS itu kesal pihak berkuasa membiarkan perbincangan oleh kumpulan yang “bodoh dan bebal” berhubung hal ehwal Islam, dan perbincangan mengenai Islam tidak boleh dibiarkan kepada kumpulan itu, yang disifatkan sebagai “makhluk perosak”.

Monday, January 20, 2020

Syed Saddiq lapor polis dakwaan sertai parti dadah

FMT Reporters
-January 20, 2020 10:39 AM

Syed Saddiq.

PETALING JAYA: Pihak menteri belia dan sukan akan membuat laporan polis berhubung penularan cerita mendakwa menteri itu menyertai parti dadah dan akan mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dimaklumkan berkenaan penularan cerita itu oleh sebuah blog yang mendakwa beliau turut berada di lokasi sama mereka yang ditahan polis di Puchong baru-baru ini tetapi pulang lebih awal sebelum serbuan dibuat.

Syed Saddiq menepis dakwaan itu sebagai cerita tidak benar dan memburukkannya namanya.

“Maklumat tidak benar ini juga telah ditularkan oleh pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyangkal dakwaan ada cubaan melobi projek-projek besar kementerian, menekankan pencapaian kementeriannya dalam Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam (PSCR) yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia “semakin cemerlang”.

“Kementerian berjaya memperbaiki tangga PSCR dari 8 kementerian paling berisiko rasuah kepada tangga 16 paling kurang risiko rasuah dan salah laku,” katanya.

Syed Saddiq berkata satu laporan polis akan dibuat dan akan merujuk kepada tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang menyebarkan berita tidak benar, terutama berkaitan integriti kementeriannya.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pula mengesahkan penahanan 17 individu, termasuk 6 wanita di sebuah kondominium di Jalan Puchong awal pagi semalam, atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.

17 individu ditahan polis di sebuah pangsapuri di Jalan Puchong, Kuala Lumpur pada awal pagi 13 Jan atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan aktiviti perjudian.

Polis juga mengesahkan seorang VVIP terbabit kes dadah susulan spekulasi seorang Adun ditahan dalam tangkapan itu.

Tuesday, September 3, 2019

DAP buat laporan polis terhadap Ridhuan Tee

N Faizal Ghazali
Diterbitkan Hari ini 8:16 malam


DAP Kelantan tampil membuat laporan polis terhadap penceramah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman dan menghina kaum Cina.

Pengerusi DAP negeri, Chua Chin Hui berkata, dalam satu rakaman video, penceramah itu telah mengeluarkan kenyataan yang boleh "menggugat" keharmonian kaum di negara ini.

"Melalui rakaman itu beliau antaranya berkata, 'orang Cina tiada agama', 'agama orang Cina adalah wang', 'orang Cina menyifatkan (tulisan) Jawi sebagai taugeh' dan 'orang Cina sentiasa sindir orang Melayu'," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, Chua bersama seorang anggota jawatankuasa DAP negeri membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 11 pagi.

Kata Chua, laporan tersebut dibuat selepas pihaknya tidak berpuas hati dengan kenyataan dikeluarkan Ridhuan itu.

"Kenyataannya itu seperti cuba memecahbelahkan perpaduan kaum di Malaysia. Jadi kita harap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Saturday, August 17, 2019

Tak risau dengan laporan polis, pengkritik sedia hadapi Zakir

News | Diterbitkan Hari ini 12:10 tengahari 


Empat individu mengalu-alukan laporan polis yang dibuat terhadap mereka oleh pendakwah Dr Zakir Naik.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, Anggota Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Sates Muniandy dan bekas duta besar Dennis J Ignatius tidak risau dengan laporan polis itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramasamy percaya bahawa peguam Zakir mungkin akan menghantar notis undang-undang terhadap pengkritiknya kerana "memfitnah" Zakir di media.

“Saya tidak sabar menunggu notis undang-undang yang dihantar untuk mengancam saya (dengan saman ) fitnah.

“Penentangan saya terhadap Zakir bukan bersifat peribadi tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia yang mahukan keharmonian serta bebas daripada hasad dengki dan kebencian,” katanya sambil menjelaskan dirinya bersedia menghadapi pendakwah itu di mahkamah.

Dalam laporan polis yang di buat semalam, pendakwah warga India itu menuduh empat individu itu, termasuk Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran telah memfitnah dirinya dengan kenyataan dan artikel.

Ini berkaitan ucapannya di Kelantan pada 8 Ogos lalu, yang dianggap tidak menghormati warga Malaysia beragama Hindu.

Charles menerusi kenyataan di Facebook semalam berkata akan bekerjasama dengan pihak polis.

“Saya akan buktikan bahawa saya tidak memfitnah Zakir, saya seorang warganegara Malaysia dan seorang wakil rakyat. Saya bertindak demi menjaga kepentingan negara, rakyat, perpaduan kaum dan keselamatan negara,” katanya.

Sementara itu, Satees pula dipetik Malay Mail berkata tidak akan melarikan diri seperti pendakwah tersebut dan akan memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis.

"Polis boleh menyiasat, dan mengemukakan pertuduhan terhadap saya, jika terdapat unsur jenayah dalam kenyataan saya.

"Tetapi saya tidak akan lari ke India atau negara lain, dan bersembunyi di belakang (presiden India Narendra) Modi atau yang lain, untuk menunjukkan diri menjadi mangsa.

"Kami akan menghadapi tindakan undang-undang di tanah air kami. Tidak seperti orang yang membuat laporan itu ," kata Adun DAP itu.

Untuk rekod, Zakir dikehendaki di India atas pertuduhan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Ignatius yang juga bekas diplomat pula berkata dia mempertahankan kritikannya terhadap pendakwah itu dan akan akan bekerjasama dengan pihak polis.

Semalam, polis Bukit Aman telah menyoal siasat Zakir mengenai kenyataannya tentang warga Malaysia daripada kalangan orang Cina dan rakyat beragama Hindu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut berkata kerajaan akan menarik balik status penduduk tetap (PR) Zakir sekiranya siasatan polis mendapati pendakwah itu melakukan sesuatu yang menjejaskan ketenteraman negara.

[Baca berita penuh]

Thursday, June 13, 2019

Giliran Haziq pula buat laporan polis

News | Diterbitkan Hari ini 5:05 petang


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz hari ini membuat laporan polis dengan niat untuk menyangkal tuduhan yang dilemparkan terhadapnya yang dibuat oleh "netizens, cybertroopers, (Adun Gombak Setia) Hilman Idham serta yang lain-lain."

Beliau juga memetik kebimbangan terhadap keselamatannya sebagai alasannya.

Menurut gambar laporan polis yang dihantar oleh Haziq di laman Facebook hari ini, laporan dibuat di balai polis Kelana Jaya. Pihak polis ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan laporan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Haziq semalam mendakwa dirinya memang terlibat dalam aksi seks yang dirakamkan dalam sebuah video bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali. Walau bagaimanapun, Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR menafikan dakwaan itu.

Dalam laporan polisnya, Haziq mengulangi tuduhan dari kenyataan terdahulunya, bahawa Azmin menghantar setiausaha politiknya, Hilman Idham untuk berjumpa dengannya di sebuah restoran di Putrajaya.

Katanya, Hilman memaksanya untuk menafikan bahawa diri dalam video yang tular itu dan memintanya untuk berbohong.

Haziq juga mendakwa dirinya diancam, diugut dan dimanipulasikan.

Hilman ketika ditemui hari ini mengakui berjumpa dengan Haziq di restoran itu, tetapi enggan mendedahkan butirannya. Beliau sekadar berkata perkara itu akan disiasat oleh pihak polis.

Azmin semalam menyifatkan apa yang berlaku sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Beliau juga berkata Haziq yang juga adalah etiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri industri utama, Shamsul Iskandar Md Akin telah diperalatkan dalam penyebaran rakaman video semburit yang dikaitkan dengannya.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menolak video berkenaan yang didakwanya sebagai palsu, dan berkata bahawa mereka di sebaliknya mempunyai motif politik.

Sunday, June 2, 2019

Gambar usung kavadi: Mujahid buat laporan polis

By Mohd Zaini Samsu Hadi
- 2 Jun 2019

Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Mujahid Yusof membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa memfitnahnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, pemilik akaun laman sosial itu yang menggunakan nama Shamsul Faisal Abdul Wahab telah memuat naik gambar yang disunting dengan meletakkan wajahnya.
Menurut Mujahid, beliau yakin pemilik akaun Facebook itu berbuat demikian dengan tujuan untuk memburukkan maruahnya.

“Terkini saya ditunjukkan seorang pengguna Facebook bernama “Shamsul Faisal Abdul Wahab” yang memuat naik gambar yang diedit dengan meletakkan wajah saya yang saya yakin dengan tujuan memburukkan maruah saya.

“Inilah bahana budaya takfiri yang sudah semakin menjadi-jadi dengan wujudnya satu golongan yang sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama secara melampau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya miliknya.

Dalam pada itu, Mujahid turut memberitahu, satu laporan kepada pihak berwajib telah dibuat berhubung perkara itu.

Mujahid yang kecewa dengan perkara itu berkata, bulan Ramadan yang merupakan bulan penyuburan taqwa dan iman telah dicemari apabila ada yang rakus memfitnah serta memburukkan maruah orang lain dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas.

Dalam hantaran pada akaun di Facebook terbabit pemiliknya telah memuat naik posting “Perayaan Thaipusam 8 Februari 2020. Harus hukumnya PH-Amanah sertai upacara Thaipusam. Pluralisme dalam agama. Islam Rambutan’alamin”.

 – MalaysiaGazette

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-