Monday, April 22, 2019

Malaysia dijangka akan berdepan deflasi teruk, sukar pulih, kata Ku Li

MALAYSIADATELINE


Malaysia dijangka berdepan deflasi yang lebih teruk dan sukar dipulihkan jika kerajaan sekarang tidak mengambil langkah drastik dalam pemulihan ekonomi, demikian menurut Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan melahirkan kebimbangan satu situasi mungkin akan berlaku secara tidak terkawal dan memberi kesan kepada negara khususnya rakyat.

Ini berikutan situasi sekarang yang mana rakyat semakin tertekan dengan bilangan pengangguran yang tinggi, hilang pekerjaan, kos sara hidup meningkat, penutupan kedai-kedai dan syarikat serta kejatuhan nilai mata wang.

“Perkara ini turut diakui pakar ekonomi, negara bakal berdepan deflasi. Bila situasi ini berlaku, apa jua tindakan selepas ini tidak akan membantu terutamanya dalam pertumbuhan ekonomi.

“Di Jepun, mereka juga berdepan dengan situasi ini dalam tempoh belasan tahun, namun ia tidak mengapa kerana negara mereka kaya. Situasi mereka tak sama dengan kita.

“Saya bimbang ia akan menjejaskan keselamatan negara kerana ekonomi dunia juga tidak meyakinkan,” katanya seperti dipetik sinarharianonline hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pra Pelancaran Festival Galas 2019 di Dataran Kesedar Putra, Bandar Baru, di sini.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang juga menyifatkan kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh hampir setahun ini tidak memberi impak yang baik kepada rakyat.

Beliau berkata, ketiga-tiga PRK yang berlangsung selepas PRU14, menyaksikan bahawa rakyat kecewa dengan pentadbiran baharu kerajaan.

“Terlalu banyak berpolitik ditambah dengan polemik macam-macam, rakyat jadi bingung dan merana.

“Ada rakyat yang menzahirkan kekecewaan menerusi PRK kerana janji tidak ditunai, sepatutnya kerajaan perlu sedar itu signal dari rakyat atas kegagalan mereka,” katanya.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/malaysia-dijangka-akan-berdepan-deflasi-teruk-sukar-pulih-kata-ku-li/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-