Monday, April 29, 2019

Tak perlu buang masa siasat forum Statut Rom, aktivis beritahu polis

Ho Kit Yen dan Robin Augustin
-April 29, 2019 6:46 PM

Panel speaker dalam forum ‘Malaysia dan Statut Rom’ di Universiti Malaya pada 27 April lalu.

PETALING JAYA: Aktivis dan ahli politik membidas polis menjalankan siasatan hasutan ke atas sebuah forum mengenai Statut Rom yang turut dihadiri Peguam Negara, Tommy Thomas.

Siasatan itu susulan laporan polis dibuat seorang pemimpin Umno yang mendakwa seorang daripada speaker menghina raja Melayu dalam forum itu.

“Ia membazirkan masa polis untuk siasat. Mereka ada kerja lain yang perlu dilakukan, menangkap penjenayah sebenar,” kata bekas diplomat, Noor Farida Ariffin yang merupakan speaker forum “Malaysia dan Statut Rom” anjuran organisasi masyarakat awam, termasuk kumpulan Islam Ikram dan Sisters in Islam, kumpulan veteran Persatuan Patriot Kebangsaan serta G25.

Forum itu turut mempelawa pengkritik Statut Rom – perjanjian antarabangsa yang ditarik balik Putrajaya bulan lalu – tetapi mereka tidak hadir.

Selain Farida dan Thomas, speaker lain dalam forum itu adalah aktivis pelajar, Asheeq Ali Sethi Alivi, peguam, Gurdial Singh Nijar serta Lim Wei Jeit, pensyarah undang-undang dan Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi serta ahli politik veteran, Syed Husin Ali.

Semalam, seorang pemimpin NGO membuat satu laporan polis terhadap Syed Husin berhubung kenyataannya yang dikatakan boleh menghasut orang ramai menentang raja Melayu.

Ahli sosiologi itu berkata, tindak balas raja ke atas Statut Rom berpunca daripada kebimbangan terhadap kedudukan mereka susulan keraguan yang semakin meningkat mengenai penggunaan kuasa diraja.

Syed Husin dilaporkan berkata, raja Melayu tergugat dengan banyak kritikan terhadap peranan mereka dalam politik, perniagaan dan ekonomi.

Katanya, kebimbangan semakin meningkat mengenai raja melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan mencampur tangan dalam politik, perniagaan dan ekonomi.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempersoalkan siasatan terbaru polis itu dan berkata, forum berkenaan ialah cubaan membincangkan kontroversi Statut Rom secara matang dan rasional.

“Adakah Fuzi akan memanggil peguam negara untuk disoal siasat dengan pandangan untuk mendakwanya di bawah Akta Hasutan?” soal Ramkarpal yang mengetuai Biro Undang-undang DAP.

“Kerajaan sepatutnya menggalakkan perdebatan dan kebebasan bersuara sedemikian, bukannya menanam rasa takut dengan mengugut penggunaan Akta Hasutan ke atas mereka yang menyokong atau mengkritik Statut Rom.”

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Putrajaya menarik balik ratifikasi Statut Rom, selepas langkah itu dikritik istana Johor yang berkata, ia akan mengugat institusi diraja.

Farida mempersoalkan jika polis mendengar arahan pembangkang kerana mereka belum menyiasat kenyataan menyentuh isu perkauman dan agama oleh Umno serta PAS baru-baru ini.

“Apabila kita cuba mempromosikan perbahasan intelektual, mereka siasat. Mereka dialu-alukan berbuat demikian kerana tiada kes untuk disiasat.”

Sementara itu, Asheeq, orang utama di sebalik forum Sabtu lalu berkata, ada cubaan untuk membuat penganjur kelihatan jahat dengan hanya memilih isi tertentu dibangkitkan speaker.

“Semuanya berjalan lancar selama 5 jam, kecuali sebilangan kecik hadiri yang bising,” katanya ketika dihubung FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-