Showing posts with label Statut Rom. Show all posts
Showing posts with label Statut Rom. Show all posts

Thursday, May 9, 2019

PH kalah jika hilang sokongan Melayu, Cina, kata PM

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada apa yang perlu ditakuti dengan Statut Rom yang telah diputar belit sehinggakan kerajaan membuat keputusan berpatah balik.
 — Foto oleh Shafwan Zaidon

PUTRAJAYA, 8 Mei — Pakatan Harapan (PH) memerlukan sokongan seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama dan mesti bekerja keras untuk memastikan setiap orang puas hati dengan kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap dalam satu temu bual khas sempena setahun pemerintahan PH, di sini, Perdana Menteri berkata semua orang fikir kerajaan hanya menjaga kepentingan kaum lain dan bukan kaum mereka.

“Tetapi hakikatnya kita memberi perhatian kepada semua kaum, kita harus memastikan setiap orang sedikit sebanyak akan berpuas hati.

“Jika PH hilang sokongan orang Melayu, kita akan kalah. Jika PH hilang sokongan kaum Cina, pun kita akan kalah. Dan, malahan kaum India pun memainkan peranan besar dalam menentukan kemenangan PH. Kita perlu lebih berhati-hati,” kata beliau.

Mengulas pernyataan bahawa gabungan PH memiliki jiwa Melayu-Islam dengan pendirian politik memecah belah, Dr Mahathir berkata hakikatnya adalah rakyat Malaysia pada amnya sangat mengambil berat soal kaum.

“Kita telah banyak bercakap mengenai perpaduan, menjadi bangsa Malaysia dan semua itu, tetapi semua orang masih juga bercakap tentang kaum mereka sendiri. Menteri-menteri yang hendak menarik sokongan kaum mereka mesti membangkitkan isu ini dalam kerajaan,” kata beliau.

Memetik contoh beberapa isu yang diperbalahkan seperti kuota kemasukan ke program matrikulasi dan Statut Rom, Dr Mahathir berkata kedua-dua isu tersebut telah “digembar-gemburkan” dan “diputar belit”.

Beliau menjelaskan bahawa program matrikulasi diwujudkan selepas kerajaan mendapati orang Melayu tidak mengambil peperiksaan Sijil TInggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan oleh itu tidak dapat masuk ke universiti.

“Jadi, kita buka pintu belakang untuk mereka. Isunya sekarang adalah kenapa hanya orang Melayu sahaja (boleh masuk matrikulasi), orang lain yang lebih baik keputusan mereka, kenapa tidak mendapat tempat?

“Jadi, sekarang kita setuju untuk memberi tempat kepada bukan Melayu juga. Tujuan (asal) kita mahu meningkatkan kemasukan para pelajar Melayu ke universiti menerusi matrikulasi jadi terbatal, kerana walaupun kaum Cina dan India pun masuk ikut pintu belakang, mereka tetap tidak puas hati,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata perkara itu tidak pernah berbangkit sebelum ini tetapi kini dimainkan dan dikutip pula oleh media.

“Dan rakyat merasakan kerajaan pilih kasih dengan melebihkan orang Melayu. Tetapi jika kita tanya orang Melayu dan orang Islam, mereka akan kata bahawa kerajaan tidak memberi perhatian berat kepada mereka dan tidak menegakkan Islam. Kita juga perlu menyedari akan perkara itu,” kata beliau.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa tiada apa yang perlu ditakuti dengan Statut Rom, dan itu telah diputar belit sehinggakan kerajaan terpaksa berpatah balik dalam keputusannya meratifikasi Statut Rom.

“Setiap orang ada masalah, bukan sahaja orang Malayu atau orang Islam. Orang Cina pun ada masalah, berkaitan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), sekolah-sekolah Cina, universiti untuk orang Cina, Masalah kaum India.

“(Tetapi) kita dapati sekiranya kita melayan hanya satu kaum, kita akan berdepan dengan masalah. Kita akan cuba secara minimum untuk memuaskan hati setiap orang secara sewajarnya. Tetapi tidak mungkin kita dapat memuaskan hati semua orang,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata, “semua itu mengambil masa tetapi ia tidak bererti kerajaan bersikap pasif (tidak berbuat apa-apa).”

“Kita perlu bersedia, berhati-hati dalam apa juga tindakan dan percakapan kita, dan apa penyelesaian yang kita capai,” kata beliau.

— Bernama

Monday, April 29, 2019

Tak perlu buang masa siasat forum Statut Rom, aktivis beritahu polis

Ho Kit Yen dan Robin Augustin
-April 29, 2019 6:46 PM

Panel speaker dalam forum ‘Malaysia dan Statut Rom’ di Universiti Malaya pada 27 April lalu.

PETALING JAYA: Aktivis dan ahli politik membidas polis menjalankan siasatan hasutan ke atas sebuah forum mengenai Statut Rom yang turut dihadiri Peguam Negara, Tommy Thomas.

Siasatan itu susulan laporan polis dibuat seorang pemimpin Umno yang mendakwa seorang daripada speaker menghina raja Melayu dalam forum itu.

“Ia membazirkan masa polis untuk siasat. Mereka ada kerja lain yang perlu dilakukan, menangkap penjenayah sebenar,” kata bekas diplomat, Noor Farida Ariffin yang merupakan speaker forum “Malaysia dan Statut Rom” anjuran organisasi masyarakat awam, termasuk kumpulan Islam Ikram dan Sisters in Islam, kumpulan veteran Persatuan Patriot Kebangsaan serta G25.

Forum itu turut mempelawa pengkritik Statut Rom – perjanjian antarabangsa yang ditarik balik Putrajaya bulan lalu – tetapi mereka tidak hadir.

Selain Farida dan Thomas, speaker lain dalam forum itu adalah aktivis pelajar, Asheeq Ali Sethi Alivi, peguam, Gurdial Singh Nijar serta Lim Wei Jeit, pensyarah undang-undang dan Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi serta ahli politik veteran, Syed Husin Ali.

Semalam, seorang pemimpin NGO membuat satu laporan polis terhadap Syed Husin berhubung kenyataannya yang dikatakan boleh menghasut orang ramai menentang raja Melayu.

Ahli sosiologi itu berkata, tindak balas raja ke atas Statut Rom berpunca daripada kebimbangan terhadap kedudukan mereka susulan keraguan yang semakin meningkat mengenai penggunaan kuasa diraja.

Syed Husin dilaporkan berkata, raja Melayu tergugat dengan banyak kritikan terhadap peranan mereka dalam politik, perniagaan dan ekonomi.

Katanya, kebimbangan semakin meningkat mengenai raja melanggar prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan mencampur tangan dalam politik, perniagaan dan ekonomi.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempersoalkan siasatan terbaru polis itu dan berkata, forum berkenaan ialah cubaan membincangkan kontroversi Statut Rom secara matang dan rasional.

“Adakah Fuzi akan memanggil peguam negara untuk disoal siasat dengan pandangan untuk mendakwanya di bawah Akta Hasutan?” soal Ramkarpal yang mengetuai Biro Undang-undang DAP.

“Kerajaan sepatutnya menggalakkan perdebatan dan kebebasan bersuara sedemikian, bukannya menanam rasa takut dengan mengugut penggunaan Akta Hasutan ke atas mereka yang menyokong atau mengkritik Statut Rom.”

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Putrajaya menarik balik ratifikasi Statut Rom, selepas langkah itu dikritik istana Johor yang berkata, ia akan mengugat institusi diraja.

Farida mempersoalkan jika polis mendengar arahan pembangkang kerana mereka belum menyiasat kenyataan menyentuh isu perkauman dan agama oleh Umno serta PAS baru-baru ini.

“Apabila kita cuba mempromosikan perbahasan intelektual, mereka siasat. Mereka dialu-alukan berbuat demikian kerana tiada kes untuk disiasat.”

Sementara itu, Asheeq, orang utama di sebalik forum Sabtu lalu berkata, ada cubaan untuk membuat penganjur kelihatan jahat dengan hanya memilih isi tertentu dibangkitkan speaker.

“Semuanya berjalan lancar selama 5 jam, kecuali sebilangan kecik hadiri yang bising,” katanya ketika dihubung FMT.

Monday, April 8, 2019

Kenapa Timbalan lebih laju dari Menteri?

DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
08 APRIL 2019

RAMAI rakan-rakan dari kalangan ahli akademik yang menyatakan rasa terkejut mereka bila membaca kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, bahawa kementeriannya akan membincangkan kedudukan empat ahli akademik yang membuat pembentangan mengenai isu Statut Rom kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja pada 1 dan 2 April lalu.

Dua persoalan yang timbul dari kenyataan Teo Nie Ching ini adalah:

(1) Apakah menjadi kesalahan untuk empat ahli akademik ini memberikan pandangan profesional mereka dalam perkara yang menjadi bidang kepakaran mereka melalui hasil kajian mereka, termasuk dengan menghasilkan tesis PhD mengenai isu ini?

(2) Apakah menjadi kesalahan untuk empat ahli akademik ini memberikan pandangan profesional mereka dalam perkara yang menjadi bidang kepakaran mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja bila dititahkan berbuat demikian?


Jika tidak menjadi kesalahan, untuk apa kedudukan mereka mahu dibincangkan?

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dalam sidang media khas beliau pada 7 Jun 2018, pernah menegaskan mengenai kebebasan ahli-ahli akademik dengan berkata:

(1) “Selaras dengan aspirasi kita untuk memberikan autonomi yang lebih kepada universiti, kita berharap bahawa universiti-universiti akan meletakkan 'academic freedom' sebagai keutamaan mereka di samping juga menekankan tentang pentingnya universiti untuk menjadi medan ilmu yang terbuka, medan intelektual terbuka, demi mendidik bukan sekadar para siswa dan juga siswazah tetapi juga untuk mendidik masyarakat dan yang lebih penting ialah di universiti sekalian kita mengharapkan para cendekiawan tidak dikekang dan tidak ditakuti dengan 'culture of fear dan siege mentality'.”

(2) “So in this new era we will make sure that Kerajaan PH will never misuse universities for their political interests. I will make sure that me myself I will not abuse universities for my political interests, for my party’s political interests and for the ruling parties’ political interests. We will not control them, we will not dictate them, and we will not force them. And we really want all universities to enjoy their autonomy and to cultivate the academic freedom and the culture of freedom in their territory.”

Apakah Timbalan Menteri Pendidikan tidak sedar apa yang diperkatakan oleh Menteri Pendidikan?

Dan kenapakah Timbalan Menteri Pendidikan selalu kelihatan lebih laju dari Menteri Pendidikan?

 - HARAKAHDAILY
 8/4/2019

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-