Wednesday, April 10, 2019

‘Undi Tok Mat tanda solidariti rakyat tolak kerajaan gagal’

siti hafidah
10/04/2019

Rakyat tak boleh ditipu oleh kerajaan dianggotai 'menteri bingai': Puad

 
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.

BANGI, 4 Syaaban 1440H, Rabu Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau wajar mengundi calon BN, Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai tanda solidariti menolak kerajaan yang gagal mentadbir dan kuat berbohong, kata Datuk Mohd Puad Zarkashi.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, keputusan rakyat Rantau nanti membuktilan mereka tidak terpengaruh dengan dakyah Pakatan Harapan (PH), kononnya kemenangan Mohamad tidak akan mengubah apa-apa kerana kerajaan negeri dan Pusat tetap kekal di tangan PH.

“Mereka lupa kemenangan Tok Mat adalah simbol kebangkitan rakyat yang tidak boleh ditipu dan diperbodohkan. Ia juga penolakan terhadap kerajaan PH yang dianggotai ramai menteri-menteri ‘bingai’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu berkata, pengundi Rantau wajar mengambil semangat kegagalan kerajaan PH meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi di Parlimen semalam.

“Itu bukti rakyat tidak mahu dipergula-gulakan dengan pindaan kosmetik dan tidak memenuhi janji sepenuhnya mengenai Perjanjian MA63,” katanya.

Terdahulu, ketika undian belah bahagi di Dewan Rakyat, hanya 138 undi yang bersetuju dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, manakala 59 tidak mengundi dan tiada yang menolak.

Pindaan Fasal (2) Perkara 1 dalam Perlembagaan Persekutuan akan meletakkan kedudukan sama rata Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menerusi keputusan itu, RUU bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak selaras Perjanjian Malaysia 1963 itu, tidak dapat diluluskan kerana ia memerlukan majoriti dua per tiga atau 148 daripada 222 Ahli Parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-