Thursday, May 30, 2019

Alahai pakcik...

MyMetro
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

SEORANG warga emas ditahan penguat kuasa JAIK ketika cuba melarikan diri ke kawasan semak.
 FOTO Zuliaty Zulkiffli

DUA warga emas ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di sebuah kedai makan bukan Islam di Alor Janggus, Alor Setar, hari ini, kerana tidak berpuasa.

Mereka yang berusia 65 dan 75 tahun itu memberi alasan mempunyai masalah kesihatan menyebabkan terpaksa makan di kedai berkenaan pada jam 11.30 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Hakimin Hassan berkata, warga emas berusia 75 tahun itu memberi alasan singgah untuk minum selepas mengambil tempahan batu nisan untuk berniaga.

Menurutnya, rakannya yang juga nelayan itu pula mendakwa sudah seminggu ponteng puasa kerana dahaga selepas seharian menangkap ikan di laut.

“Mereka mendakwa terpaksa makan di kedai bukan Islam kerana malu hendak makan di rumah disebabkan ada anak cucu.

“Bagaimanapun mereka diberi surat saman mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu hari ini.

Dalam operasi di Kampung Teluk Dulang, Jalan Yan, pula seorang lelaki berusia 62 tahun mengaku hanya berpuasa dua hari kerana tidak tahan lapar selain memberi alasan mempunyai masalah kesihatan.

Dia dan rakannya berusia 55 tahun didapati makan nasi bungkus di sebuah kedai makan di Teluk Bulang, Jalan Yan pada jam 11.45 pagi tadi.

Lelaki itu memberi alasan malu kepada anak cucu jika makan di rumah menyebabkan dia makan di kedai itu hampir setiap hari.

“Saya cakap terus terang, saya cuma puasa dua hari ja bulan ni sebab tak tahan lapar,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Dalam pada itu, seorang warga emas berusia 83 tahun dan lelaki berusia 40-an diberi saman kerana makan dan minum di sebuah kedai makan di pusat bandar ini pada jam 11 pagi tadi.

Warga emas itu memberi alasan mempunyai penyakit batu karang dan tinggal seorang diri.

Syeikh Hakimin berkata, operasi hari ini membabitkan empat lokasi di sekitar bandaraya ini berdasarkan maklumat dan aduan orang ramai berhubung kegiatan kaki ponteng puasa.

Beliau berkata, antara lokasi ialah di pusat bandar, Alor Janggus, Kampung Teluk Dulang di Jalan Yan dan Pekan Langgar.

“Setakat ini sebanyak enam saman dikeluarkan menjadikan keseluruhan kepada 15 saman dikeluarkan di Kota Setar sejak awal bulan ini.

“Ini adalah operasi terakhir JAIK untuk membanteras kaki ponteng puasa namun operasi berskala kecil akan terus dilakukan di semua daerah di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-