Showing posts with label warga emas. Show all posts
Showing posts with label warga emas. Show all posts

Thursday, January 30, 2025

Semangat 'Pakcu Hassan' berusia 100 tahun rai Tahun Baharu Cina masih utuh

bharian.com.my
Oleh Bernama 
Januari 30, 2025 @ 5:15pm
Tan Ban Sing, 101, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Hassan menyambut Tahun Baharu Cina kali ini bersama anak, cucu, dan cicit. - Foto BERNAMA

MACHANG: Meskipun usianya sudah melebihi seabad namun semangatnya tetap utuh. Tan Ban Sing, 101, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Hassan menyambut Tahun Baharu Cina kali ini dengan penuh kesyukuran kerana dikelilingi anak-anak, cucu, dan cicit.

"Saban tahun, rumah ini kembali hidup. Anak dan cucu berkumpul, berkongsi cerita, bergelak ketawa. Itu sudah cukup membahagiakan saya," katanya yang mempunyai lima anak, 30 cucu dan 10 cicit.

Namun, kemeriahan ini turut disulami kerinduan. Tahun ini kali kedua dia menyambut perayaan tanpa isteri tersayang, Kua Yok Ting yang menghembuskan nafas terakhir pada 2023 di usia 96 tahun.

"Dulu, kami bersama-sama menyambut tetamu. Sekarang, rumah terasa lebih sunyi … tapi saya bersyukur kerana cucu tinggal bersebelahan, sentiasa membantu jika saya perlukan sesuatu," katanya kepada pemberita hari ini.

Walaupun penglihatan dan pendengarannya semakin lemah, langkahnya masih bertenaga dengan menggunakan tongkat dia masih mampu berjalan di sekitar halaman.

Pakcu Hassan bukan sekadar warga emas, tetapi juga saksi kepada keharmonian di kampung yang telah wujud sejak dulu.

"Di sini, semua orang bercakap loghat Kelantan, tak kira bangsa. Kami sudah biasa hidup bercampur gaul," katanya.

Setiap tahun baharu, bukan hanya ahli keluarga yang datang berkunjung malah jiran-jiran Melayu juga turut memeriahkan suasana. Baginya, inilah keindahan hidup di kampung yang tiada jurang, tiada batas.

Ditanya mengenai rahsia panjang umur, dia hanya ketawa kecil.

"Tak ada rahsia besar. Saya minum air kosong, makan ulam dan budu, dan berjalan kaki setiap hari. Dulu saya ada kebun di tepi Sungai Kelantan, kira-kira 300 meter dari rumah. Sekarang kurang bekerja, tapi saya tetap bergerak," katanya.

Baginya, kesihatan bukan sekadar soal makanan atau senaman, tetapi juga ketenangan jiwa.

"Hidup ini jangan dibebani dengan marah atau resah. Kalau ada masalah, bertenang. Itu kunci utama untuk hidup lama," katanya yang loghat Kelantannya masih pekat, seakan menyimpan seribu kisah yang ingin dikongsikan. 

BERNAMA

Thursday, September 15, 2022

JKM bantu warga emas dibuang keluarga

bhmews@bh.com.my
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri 
bhnews@bh.com.my
- September 15, 2022 @ 12:21pm
Wanita warga emas yang tular dikatakan ditinggalkan bersendirian di tepi jalan, sudah ditempatkan sementara di institusi kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
- Foto ihsan pembaca

IPOH: Wanita warga emas yang dikatakan ditinggalkan bersendirian di tepi jalan di Jalan Menteri, Manjoi, di sini, semalam sudah ditempatkan sementara di institusi kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara siasatan dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, berkata warga emas berumur 81 tahun itu dimasukkan sementara ke rumah jagaan orang tua di Ulu Kinta untuk tempoh sebulan sementara siasatan lengkap dijalankan bagi mendapatkan perintah tetap daripada mahkamah.

Katanya, hasil temuramah dan maklumat awal yang diperoleh mendapati, wanita berkenaan dikenali sebagai Fatimah Kassim dan beralamat di Jalan Intan, Kampung Dato Ahmad Said, di sini, dihalau dari rumah saudaranya tempat beliau menumpang juga di Manjoi.

Beliau berkata, wanita yang mempunyai tiga anak kandung dan empat anak tiri itu pada mulanya tinggal bersama anaknya di Sungai Petani, Kedah dan di Manjoi sejak kematian suaminya pada dua tahun lalu, namun anak-anaknya dikatakan menghalaunya.

"Dua daripada anaknya yang dapat dihubungi (menyatakan) tidak mahu memelihara ibunya itu dan menyerahkan kepada JKM untuk tindakan," katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, kes wanita itu diambil oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kinta semalam.

Terdahulu, tular hantaran di media sosial mengenai warga emas itu yang didakwa ditinggalkan di tepi jalan di Manjoi dengan berbekalkan bakul pakaian dan bantal tidur sejak semalaman, sebelum diselamatkan seorang anggota Balai Polis Manjoi.

Friday, May 7, 2021

'Mak rindu anak, cucu'

Sri Ayu Kartika Amri; Nurul Husna Mahmud; dan Redzuan Muharam

am@hmetro.com.my

SEBAHAGIAN penghuni yang ditemuramah di Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah. FOTO Aizuddin Saad

Kajang: Penantian tidak berpenghujung. Itu yang dirasai penghuni pusat jagaan warga emas yang saban hari menanti kunjungan insan tersayang. Namun, harapan itu ibarat hanya mimpi kerana ada dalam kalangan mereka sudah lama terputus hubungan dengan keluarga.

Manakala, sebahagian lagi tidak pernah menerima kunjungan dan dihubungi ahli keluarga atau waris untuk bertanya khabar sejak hari pertama menjejakkan kaki ke pusat jagaan warga emas.

Kerinduan itu tidak pernah padam sebaliknya masih menebal lebih-lebih lagi menjelang kedatangan Hari Raya Aidilfitri.

'Mak rindu anak, cucu'

"Apa khabar anak-anak mak, jemputlah mak di sini, mak rindu dekat cucu-cucu mak," itu antara kata-kata Mak Ani (bukan nama sebenar) yang berusia 71 tahun kepada dua anaknya.

Mak Ani adalah antara 18 penghuni rumah jagaan warga emas dikendalikan Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah di sini.

Mak Ani yang tinggal di situ sejak awal tahun ini meluahkan rasa terkilan dan sedih kerana terpaksa menyambut 1 Syawal bersama penghuni lain yang senasib dengannya.

"Kalau boleh hari raya nak jumpa keluarga, tapi mak cik tak tahu dapat berjumpa mereka atau tidak.

"Bila puasa dan raya seorang diri di sini rasa sedih sebab nak sangat balik rumah.

"Mak cik kalau boleh nak duduk dengan keluarga beraya dengan mereka semua," katanya sudah lama tidak berjumpa dengan anak dan cucunya.

Menurut Mak Ani, dia menjadi penghuni dan berlindung di pusat jagaan warga emas itu apabila adik kandungnya menghantarnya ke situ.

Katanya, sebelum ini dia tinggal bersama adik perempuannya di Lembah Klang dan kemungkinan tidak mampu untuk terus menjaga kebajikan Mak Ani, adiknya mengambil keputusan menghantarnya ke Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah.

"Tak tahu sebenarnya kenapa dihantar ke sini, syukur mak cik tiada sebarang penyakit serius.

"Alhamdulillah tak ada kencing manis, hanya selalu lenguh badan saja, memandangkan mak cik sudah pun tua," katanya.

Walaupun dihimpit perasaan rindu dengan keluarga namun Mak Ani melahirkan rasa kesyukuran kerana masih mempunyai rakan lain berkongsi kisah manis dan pahit di rumah kebajikan ini.

SUASANA sekitar Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih. FOTO Aizuddin Saad

Setiap malam hiba teringat anak

"Sampai ke hari ini, saya masih teringatkan kenangan bersama anak dan bila malam akan menangis kerana memikirkan entah bila dapat bertemu semula dengan mereka," luah Pak Mat (bukan nama sebenar), salah seorang penghuni Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah di sini.

Pak Mat, 66 memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi pengalamannya yang kini bertemankan penghuni dan kakitangan pengurusan pusat jagaan warga emas berkenaan.

Katanya, dia tinggal di pusat jagaan warga emas itu sejak lebih dua tahun lalu selepas dihantar pengurusan hospital.

Menurut Pak Mat, jika ada pilihan, dia mahu menghabiskan sisa hidup bersama anak dan cucu namun akur apabila ditakdirkan menjadi penghuni pusat jagaan di usia senja.

Pak Mat yang memberitahu dia mempunyai dua anak tinggal sendirian selepas berpisah dengan isteri dan tidak pernah bertemu dengan mereka selepas dimasukkan ke hospital akibat kencing manis," katanya ketika ditemui.

Pak Mat berkata, agak lama juga dia ditahan di wad hospital dan akhirnya dihantar ke pusat jagaan warga emas bagi memberi laluan kepada pesakit lain.

"Saya terima dihantar ke sini (pusat jagaan warga emas), kerana tiada pilihan memandangkan hanya pusat ini boleh menerima golongan emas seperti saya.

"Anak-anak mungkin tidak tahu saya dihantar ke sini. Lagipun, mereka sudah berkeluarga dan saya enggan menambah beban mereka," katanya

Jauh di sudut hati, Pak Mat mengakui rindu pada anak dan tiga cucunya terutama menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Namun, Pak Mat tidak dapat berbuat apa-apa melainkan memendam perasaan itu kerana tidak tahu bila dan ketika anaknya akan kunjung tiba.

"Memang menitis air mata saya apabila mengenangkan nasib diri.

"Saya tidak tahu sampai bila saya di sini, hingga akhir hayat atau sebaliknya tetapi tetap berharap dapat bertemu anak dan cucu sebelum menutup mata," katanya.

Disiarkan pada: Mei 7, 2021 @ 12:00pm

Wednesday, March 18, 2020

Pulang ke kampung untuk sebarkan kuman?

Masyarakat tak bertanggungjawab, risiko didepani warga tua lebih tinggi
18/03/2020


BANGI, 23 Rejab 1441H, Rabu – Tindakan segelintir rakyat Malaysia pulang ke kampung halaman susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan disifatkan pengamal perubatan sebagai tidak bertanggungjawab.

Pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah mempersoalkan mengapa perlu pulang ke kampung, adakah mahu menyebarkan wabak berkenaan kepada warga emas di sana.

“Dah kenapa semua nak balik kampung pulak? Nak bawa kuman kepada orang-orang tua di kampung?

“Hello, risiko mereka lagi tinggi! Kenapa masyarakat Malaysia tidak bertanggungjawab,” soalnya dalam status di Faebook beliau, hari ini.

Semalam, netizen memuat naik berpuluh-puluh gambar dan video berkenaan tindakan rakyat Malaysia berpusu-pusu pulang ke kampung susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu menyebabkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador Abdul Hamid menetapkan, orang ramai yang mahu membuat perjalanan keluar dari negeri masing-masing perlu memaklumkan kepada polis.

Susulan arahan itu, difahamkan ramai yang mula memenuhi balai polis seluruh negara, bahkan terpaksa beratur panjang untuk mengisi borang.

Bagaimanapun, Abdul Hamid kemudian dilaporkan menarik balik perintah larangan keluar rentas negeri, yang sepatutnya dikuatkuasakan mulai tengah malam semalam.

Beliau menjelaskan, arahan itu dibuat selepas mendapati orang ramai berpusu-pusu mengisi dokumen keluar di balai polis seluruh negara.

Katanya, tiada sebarang sekatan akan dikenakan ke atas orang ramai sehingga satu keputusan baru diumumkan selepas mesyuarat berhubung perkara itu hari ini.

Sunday, June 9, 2019

Serik sambut Aidilfitri dengan anak

MyMetro
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my

PAK Ali selesa meraikan Aidilfitri di pusat jagaan warga emas berbanding pulang ke rumah keluarga. Foto MOHD AZREN JAMALUDIN

SEPERTI warga emas lain, Pak Ali, 70-an (bukan nama sebenar) memiliki keinginan untuk bermanja bersama anak cucu pada Aidilfitri, merasa makanan kegemaran serta kenikmatan sambutan perayaan bersama saudara-mara.

Malangnya dia yang berasal dari Simpang Renggam yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal lebih rela beraya bersama penghuni pusat jagaan warga emas sejak dua tahun lalu.

Berkongsi berkaitan pengalamannya dibawa pulang beraya ke rumah anak tunggalnya pada tiga tahun lalu, Pak Ali berkata ia menjadi kenangan paling pahit bagi dirinya.

“Saya yang tinggal di Pusat Jagaan Nur Ehsan ini sejak empat tahun lalu tidak pernah berkecil hati dengan anak dan menantu kerana sedar mereka sibuk bekerja hingga tidak mampu memberi jagaan kepada saya dan mengambil keputusan untuk dimasukkan ke pusat jagaan ini.

“Sebelum ini memang saya mampu bergerak aktif namun nasib saya agak malang apabila terjatuh di tandas ketika mandi dan akibatnya keilatan pada bahagian kaki.

“Sepanjang saya menghuni di sini, hanya beberapa kali anak lelaki saya datang melawat dan ia mengakibatkan rasa rindu saya terhadap keluarganya terutama tiga cucu semakin bertambah.

“Namun, saya bersyukur kerana tiga tahun lalu anak tampil membawa saya pulang ke rumahnya selepas pengurusan pusat jagaan menghubunginya,” katanya.

Pak Ali berkata, tidak lama selepas tiba di rumah anaknya sehari sebelum raya, ahli keluarga anaknya sibuk membuat persiapan untuk beraya.

Menurutnya, dia terkilan apabila ditinggalkan bersendirian di kediaman berkenaan sementara anak, menantu dan cucunya beraya ke rumah kenalan dan saudara mara.

Katanya, malah mereka hanya meninggalkan sedikit makanan serta biskut raya dan memintanya menguruskan diri sendiri serta menasihati untuk menonton program televisyen bagi menghilangkan bosan.

“Saya yang berkerusi roda berdepan kesulitan bagi mengurus diri apabila ditinggal bersendirian.

“Ketika itu, hanya Allah SWT mengetahui hati saya yang berasa lebih baik saya tinggal di pusat jagaan berbanding pulang ke rumah.

“Apapun saya tabah dan memaafkan anak atas kekurangannya mahupun ahli keluarganya.

“Namun saya sudah serik untuk pulang beraya dan meminta kebenaran pengurusan pusat untuk hanya berada di sini sepanjang raya,” katanya.

Pak Ali berkata, ini adalah tahun kedua dia meraikan Aidilfitri di pusat jagaan berkenaan.

“Rindu tetap ada namun saya serta beberapa penghuni yang bernasib serupa tidak berfikir berkaitannya sebaliknya bersyukur kerana masih berpeluang meraikan Aidilfitri termasuk bersama pekerja pusat jagaan ini,” katanya.

Seorang lagi warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Osman, 75, (bukan nama sebenar) turut melahirkan rasa serik terhadap layanan anak-anaknya ketika sambutan Aidilfitri.

Dia memberitahu lima anaknya sering bergaduh soal siapakah yang harus menjaganya ketika Aidilfitri dan mengambilnya dari pusat jagaan.

“Saya dianggap beban besar bagi mereka apatah lagi saya tidak lagi mampu bergerak bebas dan terpaksa memakai lampin pakai buang.

“Mungkin mereka jijik dan malu dengan keadaan fizikal saya. Memikirkan keadaan itu, saya sudah tawar hati dan lebih rela menyambut Aidilfitri di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 6:15 AM

Thursday, May 30, 2019

Alahai pakcik...

MyMetro
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

SEORANG warga emas ditahan penguat kuasa JAIK ketika cuba melarikan diri ke kawasan semak.
 FOTO Zuliaty Zulkiffli

DUA warga emas ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) di sebuah kedai makan bukan Islam di Alor Janggus, Alor Setar, hari ini, kerana tidak berpuasa.

Mereka yang berusia 65 dan 75 tahun itu memberi alasan mempunyai masalah kesihatan menyebabkan terpaksa makan di kedai berkenaan pada jam 11.30 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Hakimin Hassan berkata, warga emas berusia 75 tahun itu memberi alasan singgah untuk minum selepas mengambil tempahan batu nisan untuk berniaga.

Menurutnya, rakannya yang juga nelayan itu pula mendakwa sudah seminggu ponteng puasa kerana dahaga selepas seharian menangkap ikan di laut.

“Mereka mendakwa terpaksa makan di kedai bukan Islam kerana malu hendak makan di rumah disebabkan ada anak cucu.

“Bagaimanapun mereka diberi surat saman mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu hari ini.

Dalam operasi di Kampung Teluk Dulang, Jalan Yan, pula seorang lelaki berusia 62 tahun mengaku hanya berpuasa dua hari kerana tidak tahan lapar selain memberi alasan mempunyai masalah kesihatan.

Dia dan rakannya berusia 55 tahun didapati makan nasi bungkus di sebuah kedai makan di Teluk Bulang, Jalan Yan pada jam 11.45 pagi tadi.

Lelaki itu memberi alasan malu kepada anak cucu jika makan di rumah menyebabkan dia makan di kedai itu hampir setiap hari.

“Saya cakap terus terang, saya cuma puasa dua hari ja bulan ni sebab tak tahan lapar,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Dalam pada itu, seorang warga emas berusia 83 tahun dan lelaki berusia 40-an diberi saman kerana makan dan minum di sebuah kedai makan di pusat bandar ini pada jam 11 pagi tadi.

Warga emas itu memberi alasan mempunyai penyakit batu karang dan tinggal seorang diri.

Syeikh Hakimin berkata, operasi hari ini membabitkan empat lokasi di sekitar bandaraya ini berdasarkan maklumat dan aduan orang ramai berhubung kegiatan kaki ponteng puasa.

Beliau berkata, antara lokasi ialah di pusat bandar, Alor Janggus, Kampung Teluk Dulang di Jalan Yan dan Pekan Langgar.

“Setakat ini sebanyak enam saman dikeluarkan menjadikan keseluruhan kepada 15 saman dikeluarkan di Kota Setar sejak awal bulan ini.

“Ini adalah operasi terakhir JAIK untuk membanteras kaki ponteng puasa namun operasi berskala kecil akan terus dilakukan di semua daerah di negeri ini,” katanya.

Wednesday, February 27, 2019

Warga emas 68 tahun pula didakwa kes hina nabi

Hafiz Yatim 
Diterbitkan Hari ini 1:04 tengahari


Seorang warga emas 68 tahun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dua pertuduhan berkaitan penyiaran kartun yang menghina Nabi Muhammad, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Wai Foo Sin dituduh menyiarkan gambar itu dan memuat naik status di media sosial berkaitan agama yang menyebabkan suasana tidak harmoni.

Dia ialah individu kedua didakwa atas kesalahan itu selepas A Taneson, 22, yang dihadapkan di mahkamah di Shah Alam semalam.

Wai didakwa bawah Seksyen 298A(1) Kanun Keseksaan,

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Februari lalu menggunakan akaun Facebook.

Wai turut berdepan pertuduhan kedua bawah Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyiarkan kandungan jelik.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan maksimum lima tahun bagi setiap kesalahan dan didenda RM50,000 bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal mencadangkan ikan jamin RM30,000.

Wai yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan dia menghidap penyakit kencing manis dan tidak bekerja.

Hakim Edwin Paramjothy menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 5 April ini untuk sebutan kes.

Saturday, January 26, 2019

Warga emas maut ditetak penyamun

Diterbitkan Hari ini 12:43 tengahari


Seorang warga emas berusia 84 tahun ditemukan maut di rumahnya dipercayai akibat ditetak dalam satu kejadian pecah rumah di Kampung Chat Rimau di Tanah Merah, hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Hamid Mat Salleh, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di pergelangan tangan kiri dan belakang kepala akibat ditetak dengan objek tajam.

"Mangsa tinggal di rumah tersebut seorang diri dan berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual barangan runcit dan tembakau.

"Siasatan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan yang banyak sebelum disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di Tanah Merah, hari ini.

Hasanuddin berkata siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai memecah masuk ke rumah mangsa berdasarkan penemuan kuku besi yang digunakan untuk memecahkan pintu rumah mangsa.

"Mungkin ada pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum suspek bertindak memukul mangsa dengan kuku besi itu.

"Kita tidak menemui senjata tajam yang lain dan kejadian itu dilaporkan oleh jiran mangsa," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya polis masih mengesan suspek dalam kejadian itu dan memohon kerjasama orang ramai bagi menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu.

-- Bernama

Monday, April 11, 2016

Kerana duit anak sanggup tikam ayah

MOHD TAHA YAACOB
11 APRIL 2016
BESUT - Akibat tidak dapat wang yang diminta daripada ayahnya, seorang lelaki tersanggup menikam ayahnya dalam satu kejadian awal pagi sabtu lalu.

Lelaki berkenaan dipercayai di bawah pengaruh dadah menikam dada bapanya sendiri yang juga seorang warga emas dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Cawat (Seri Kemunting) Kuala Besut.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu , mangsa yang berusia 67 tahun parah di bahagian dada kiri dipercayai ditikam dengan menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, suspek yang merupakan seorang penagih dadah dikatakan bertindak demikian dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa meminta wang daripada bapanya namum tidak ditunaikan menyebabkan suspek yang berusia 30 tahun itu bertindak menikam mangsa dada bapanya.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kuala Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada kiri dipercayai ditikam menggunakan pisau namun keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Khalead berkata, abang suspek yang diberitahu tentang kejadian itu oleh abang iparnya selepas kejadian itu tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.

Menurutnya, bertindak atas laporan tersebut polis melakukan operasi mengesan suspek dan lelaki itu berjaya diberkas polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kuala Besut sejurus kemudian.

“Polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam bapanya dalam kejadian tersebut sementara saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Suspek seorang penganggur ditahan reman untuk siasatan lanjut dan polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui motif sebenar suspek bertindak menikam bapanya sendiri dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tuesday, January 27, 2015

Bila kerajaan nak gubal Akta Pengabaian Ibu Bapa?

KUALA LUMPUR 27 JAN- Ketika kerajaan bercadang mentakrifkan perbuatan merotan anak sebagai kesalahan jenayah, Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Mohd Izad Buqhary Mohd Kamil pula tampil dengan soalan sinis:

‘Bagaimana pula dengan kes anak yang mengabaikan ibu bapa mereka?’


Katanya, Akta Pengabaian Ibu bapa lebih perlu dilaksanakan memandangkan tiada peruntukan undang-undang khusus di negara ini bagi menghukum anak-anak yang mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.

“Saban tahun berlaku peningkatan bilangan warga emas yang ditinggalkan di hospital mahupun di rumah-rumah jagaan warga tua.

“Sudah sampai masanya kerajaan menyusun undang-undang yang lebih ke depan dan bukannya memfokuskan kepada satu golongan sasar atau apabila timbul isu yang viral sahaja,” katanya dalam kenyataan media.

Justeru beliau menggesa kerajaan menggubal Akta Penjagaan dan Kebajikan Ibu Bapa (Maintenance and Welfare of Parents Act) seperti dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, India dan termasuk negara jiran Singapura.

“Sebagai contoh Akta Penjagaan Ibu Bapa Singapura, memperuntukkan bahawa setiap warganegara yang berusia 60 tahun ke atas dan tidak berupaya menyara kehidupan, berhak menuntut nafkah daripada anak-anak mereka.

“Selain itu saudara-mara terdekat boleh memohon tindakan mahkamah bagi pihak ibu bapa yang teraniaya tersebut,” ujarnya.

Menurut Izad, langkah kerajaan untuk menghukum ibu bapa yang merotan anak amat tidak praktikal dengan budaya majoriti masyarakat Malaysia, khususnya yang beragama Islam.

Katanya lagi, peruntukan sedia dalam Akta Kanak-Kanak 2001 juga secara tersirat merangkumi perbuatan merotan yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 dan penjara sehingga 10 tahun.

“Apakah rasional memasukkan juga perkataan merotan ini di dalam peruntukan undang-undang? Tidakkah dilihat implikasi besar yang bakal menimpa ibu bapa mahupun guru-guru kelak?” soalnya.

Saturday, January 17, 2015

Warga emas daif kini hidup dengan sinar baru

Skuad Baitulmal MAIWP membawa Mohamed yang hidup dalam keadaan serba daif untuk membeli barang keperluan di sebuah pasar raya, di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 17 Januari:

Tirai 2014 dilabuhkan dengan menyaksikan seorang warga emas bernama Mohamed Dris, 74, hidup dalam keadaan serba daif di sebuah pondok, di kawasan belukar.

Namun, kehidupannya kini bertambah baik, susulan bantuan yang dihulurkan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Berdasarkan gambar yang dimuat naik ke Facebook Baitulmal MAIWP, Mohamed kelihatan lebih sihat dan ceria, berbanding ketika ditemui The Rakyat Post pada akhir Disember lalu.

“Skuad Baitulmal MAIWP membawanya mengambil kad pengenalan beliau yang telah siap di JPN (Jabatan pendaftaran Negara) UTC Keramat Mall.

“Seterusnya, beliau dibawa ke sebuah pasar raya di Wangsa Maju untuk membeli barang keperluan, termasuk kerusi roda dan tongkat untuk memudahkan pergerakan beliau,” katanya.

Pada malam 25 Disember lalu, anggota polis Wangsa Maju yang melakukan Operasi Santa menyerbu pondok buruk di hutan kecil, berhampiran Damaisara, Wangsa Melati.

Penemuan itu bertukar sayu dan simpati, apabila mendapati pakcik tua ini tinggal berseorangan tanpa dibaluti sehelai baju di badan.

Atas keprihatinan ramai, nasib Mohamed yang mendiami pondok buruk itu selama 30 tahun, kian terbela dan berubah.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/17/warga-emas-daif-kini-hidup-dengan-sinar-baru/#ixzz3P2IJY21L

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-