Monday, June 17, 2019

'PKR mesti siasat klip video seks'

News | Diterbitkan Hari ini 1:10 tengahari


Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim mahu jawatankuasa disiplin parti menyiasat ketulenan dan kesahihan video seks yang didakwa membabitkan timbalan presiden parti itu, Azmin Ali.

Beliau berkata ini mesti dilakukan kerana kedua-dua tertuduh dan pengadu, Haziq Abdullah Abdul Aziz, adalah anggota PKR.

“Saya tidak membela Azmin atau mempertahankan Azmin.Tetapi beliau dituduh sekarang oleh anggota PKR sendiri.Jika Timbalan Presiden PKR tidak mendapat keadilan dalam partinya sendiri, apa nasib anggota biasa PKR lainnya.

“Ini masanya jawatankuasa displin buktikan ia satu badan yang bebas dan berwibawa. Lakukanlah siasatan berkaitan isu video seks itu selagi tidak mengganggu kerja-kerja siasatan polis,” katanya satu kenyataan hari ini.
Hassan yang juga adalah ahli parlimen Pasir Gudang berkata 20 tahun lalu, beliau menuntut keadilan apabila presiden PKR, Anwar Ibrahim berdepan tuduhan liwat dan hari ini, beliau menuntut keadilan yang sama untuk Azmin.

Semalam, Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, menggesa kepimpinan PKR menjelaskan kenapa pihak yang menyebarkan video seks yang dikatakan memaparkan individu miripnya itu boleh memiliki nombor telefon semua pemimpin cabang parti.

Katanya, malahan dirinya yang juga merangkap timbalan presiden PKR itu tidak memiliki akses terhadap maklumat sedemikian.

"Kumpulan WhatsApp (yang menyebarkan video itu) mengandungi semua nombor telefon pemimpin cabang dan juga pemegang jawatan lebih rendah pada peringkat cabang (PKR).

"Saya tidak ada akses terhadap maklumat sedemikian. Jadi soalannya sekarang, siapa yang menyediakan maklumat ini dan siapa yang menubuhkan kumpulan WhatsApp ini?

"Terdapat kumpulan (WhatsApp) untuk Sabah, satu kumpulan untuk Sarawak dan satu lagi untuk Semenanjung, jadi ini memerlukan penjelasan kepimpinan," katanya.
Walau bagaimanapun, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Malaysiakini bahawa biro politik telah memutuskan untuk tidak menyiasat perkara itu dan akan membiarkannya kepada polis.

Beliau menambah bahawa tidak sukar untuk mendapatkan nombor telefon dan menafikan penglibatan kepimpinan pusat PKR dalam pendedahan dan pengedaran video klip seks berkenaan.

Azmin menyifatkan klip video itu, yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa menyerupai dirinya melakukan aksi seks sejenis dengan seorang lelaki lain, sebagai satu komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq, yang mengaku sebagai lelaki yang turut terbabit dalam video klip itu, mendakwa bahawa Azmin adalah pasangannya dan aksi berkenaan berlaku di Sandakan, Sabah, bulan lalu.

Ketua Pemuda PKR Santubong berusia 27 tahun sedang disiasat mengikut beberapa seksyen, termasuk mengadakan persetubuhan luar tabii.

Sementara itu, Hassan juga berkata tidak ada keperluan bagi Azmin untuk bercuti sementara polis menjalankan siasatan.

Beliau berkata tidak ada keperluan seperti itu dari perspektif undang-undang dan adalah terlalu pra-matang untuk sesiapa yang mendesak sedemikian memandangkan Azmin belum lagi disiasat oleh polis mengikut seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

“Kenalah ikut undang-undang. Kena sabar. Azmin sekarang dituduh dalam akhbar dan media sosial.

“Azmin belum dituduh dalam mahkamah. Jadi tidak adil untuk desak Azmin bercuti dari tugasnya. Azmin jaga hal ehwal ekonomi bukan jaga polis atau PDRM.

“Saya juga menyokong reformasi, tetapi dari segi persepektif undang-undang, seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum dibuktikan bersalah di mahkamah undang-undang yang adil dan bebas. Azmin belumpun dituduh, jadi kenapa dia hendak dihukum?” soalnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-