Sunday, June 23, 2019

Siasat semua 16 'land swap' - Hishammuddin

Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com

HISHAMMUDDIN ketika sidang media selepas memberi keterangan berkaitan isu ‘land swap’ tanah milik Kementerian Pertahanan yang dipercayai berlaku sejak 1997 di SPRM Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

BEKAS Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberi keterangan selama tujuh jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung isu ‘land swap’ tanah milik Kementerian Pertahanan yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dan tiada apa hendak disembunyikan serta bersedia untuk didakwa jika didapati bersalah.

“Kalau saya salah, dakwa tapi jangan dakwa saya seorang kerana apa yang kita nak tengok ialah keadilan.

“Kalau salah tetap salah tidak kira siapa, cuma nak ingatkan semua pihak janganlah siasatan dan pendakwaan dibuat secara terpilih.

“Kalau mahu berbicara mengenai ‘land swap’, biarlah siasat mengenai semua 16 pertukaran tanah itu. Saya jawab secara terperinci mengenai Kem Paloh di Sembrong hari ini.

“Tapi (siasatan) jangan berhenti di situ kerana laporan membabitkan 16 kes pertukaran tanah, mari kita lihat siapa dalangnya, siapa yang bersalah kerana kita mahu kebenaran terungkai,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, SPRM harus harus panggil menteri atau bekas menteri atau Perdana Menteri yang terbabit juga dalam kes ‘land swap’ berkenaan.

“Apa yang istimewa sangat tentang kes saya, siapa yang sebenarnya hilang duit, siapa kontraktor diberi projek land swap sebelum ini, siapa sebenarnya yang mendapat manfaat.

“Saya tidak dapat apa-apa manfaat daripada pertukaran tanah ini. Apa yang saya lakukan hanya demi kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka, kalau setakat nak tuduh, berilah cadangan apa yang boleh dilakukan untuk kebajikan anggota ini,” katanya.

Hishammuddin turut mengesahkan tiada kenyataan diberikan kepada SPRM berhubung isu pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015, hari ini.

Terdahulu beliau yang berbaju kemeja biru tiba pada 11.02 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam dan sempat menyapa kumpulan wartawan dan jurugambar yang menanti kehadirannya sejak 9 pagi.

Khamis lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah hadir memberi keterangan berhubung ‘land swap’ berkenaan.

Februari lalu, media melaporkan Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menterinya, Mohamad Sabu, dilaporkan berkata, perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.

Semua kerugian dan ketirisan itu dilapor membabitkan 16 projek ‘land swap’ terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan dua individu direman selama enam hari bermula Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015.

Pada 13 Jun lalu, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung pembelian enam helikopter tentera bernilai RM300 juta pada 2015 yang sehingga kini belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 8:12 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-