-July 24, 2019 11:12 PM
PETALING JAYA: Setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak akan menghadap lembaga disiplin PKR berhubung kenyataan yang menyasarkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Ketua PKR Perak itu antara nama yang dibincangkan dalam mesyuarat biro politik PKR malam tadi, kata Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil.
“Kita tunggu kenyataan penuh daripada pengerusi lembaga disiplin parti,” katanya sewaktu ditemui di Ibu Pejabat PKR malam tadi.
Sementara itu, dalam satu kenyataan tidak lama kemudian, Fahmi mengumumkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang juga ketua PKR Selangor juga diminta menghadap lembaga itu.
“Mereka akan diminta memberi penjelasan berkenaan kenyataan-kenyataan mereka baru-baru ini berkait isu video tular,” katanya.
Menurut kenyataan tersebut, beberapa ahli lagi juga akan diminta memberi penjelasan kepada lembaga tersebut, yang baru-baru ini memutuskan pemecetan keahlian Haziq Aziz, lelaki di sebalik dakwaan video seks sejenis terhadap Azmin.
Haziq dipecat kerana membuat tuduhan rasuah secara terbuka terhadap pemimpin parti tanpa bukti.
Sementara itu, seorang sumber PKR memaklumkan nama penasihat kepada menteri hal ekonomi, Khalid Jaafar juga dibangkitkan dalam mesyuarat malam tadi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.