Friday, August 30, 2019

Piagam UMNO-PAS hanya janji politik - Wan Azizah

Oleh Rohaniza Idris
roha@bh.com.my

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah). 
- Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR:  Piagam UMNO-PAS hanya satu perjanjian politik semata-mata untuk kepentingan parti politik berkenaan.

Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata apa yang dibuat oleh UMNO dan PAS hanya untuk memenuhi aspirasi politik mereka semata-mata, bukannya mencerminkan aspirasi rakyat.

Katanya, PH pula mahu melakukan yang lebih baik membabitkan aspirasi rakyat keseluruhannya.

“PH hendak buatkan yang lebih baik untuk negara kita dengan mengambil kira seluruh rakyat yang mana negara kita adalah negara yang majmuk.

“Kita hendak membangunkan Malaysia ini dengan berkongsi kemakmuran kepada semua seperti yang dikatakan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui media selepas hadir Majlis Wacana Ilmu Sri Satria di Sri Satria di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Piagam UMNO-PAS yang bakal dimeterai 14 September ini.

Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata rakyat perlu memberi masa kepada PH untuk melaksanakan janji mereka.

Katanya, kebanyakan anggota pentadbiran yang ada kini tiada pengalaman dan memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan janji yang dibuat dulu.

Sementara itu, mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), katanya PH sentiasa dalam keadaan bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan pilihan raya.

“Baru setahun kita mentadbir negara, bagi sedikit masa untuk terus kita berkhidmat empat tahun lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-