Thursday, August 15, 2019

Polis akan panggil Zakir Naik, Dong Zong dan taikun Perak

FMT Reporters
-August 15, 2019 7:50 PM


PETALING JAYA: Polis akan memanggil pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong dan taikun Perak, Koon Yew Yin selepas menerima beberapa laporan yang dibuat terhadap mereka.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, siasatan sedang dijalankan dengan beberapa individu lain sudah dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang dalam pemerhatian polis.

“Tindakan selanjutnya akan diambil, termasuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, jika terdapat bukti mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naik mencetuskan kontroversi dalam satu siri ceramahnya di Kelantan minggu lalu dengan mendakwa penganut Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Dr Mahathir Mohamad walaupun diberikan lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

Beliau turut dilaporkan berkata, orang Cina di Malaysia juga dianggap “tetamu” di negara ini.

Hartawan terkenal, Koon pula mendakwa anggota tentera “tidak melakukan apa-apa, kecuali makan dan tidur”.

“Sebenarnya, hampir semua (daripada) mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan di papan sasaran. Sebahagian perlu menggantikan pekerja asing di ladang Felda,” tulisnya di catatan blognya minggu ini.

Dong Zong baru-baru ini membantah pengenalan seni khat bagi subjek bahasa Melayu Tahun 4 di semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai tahun depan.

Kumpulan itu mendakwa hasil penyelidikan menunjukkan seni khat ialah satu cara untuk menyebarkan ajaran Islam, tetapi kerajaan berulang kali menafikannya.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja, termasuk individu bukan warganegara Malaysia yang cuba mengganggu gugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.

Katanya, polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sentiasa memantau kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Semua pihak perlu berhenti mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian, sebaliknya perlu menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum membuat ulasan tentang sesuatu kejadian.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah atau tuduhan melulu,” katanya sambil menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak berkuasa jika mempunyai maklumat mengenai komen berunsur fitnah, perkauman atau hasutan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-