Wednesday, August 21, 2019

Zakir Naik tidak dibenarkan ceramah termasuk di media sosial, kata KPN

MALAYSIADATELINE
August 20, 2019 9:18 pm
Datuk Seri Abdul Hamid Bador

Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium termasuk media sosial.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata kepada Bernama larangan Dr Zakir Naik memberi ceramah di seluruh negara terpakai sehingga siasatan selesai.

Terdahulu, tujuh negeri antaranya Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak telah melarang ceramah oleh Zakir.

Semalam, penceramah itu selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selepas hampir 10 jam di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Jumaat lalu, Dr Zakir memberi keterangan kali pertama bermula pukul 3 petang hingga 7 petang untuk membantu siasatan berhubung beberapa laporan polis dibuat terhadap dirinya.

Hari ini semua program berkaitan Dr Zakir di seluruh negara adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata arahan ini dikeluarkan berikutan ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Selain itu semua Ketua Polis Negeri telah diarahkan supaya memberi nasihat kepada pihak-pihak yang akan menganjurkan program melibatkan Zakir supaya menghentikan semua program-program berkenaan.

“Semua aktiviti melibatkan Zakir adalah tidak dibenarkan dan arahan ini berkuat kuasa mulai 15 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penceramah bebas dari India itu dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu dan ini mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.

Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-