Showing posts with label ceramah. Show all posts
Showing posts with label ceramah. Show all posts

Thursday, February 6, 2025

Zakir berucap di Perlis lepas dapat izin mufti

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Feb 6, 2025 9:00 AM
Seorang ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis mempertahankan tindakan pihak berkuasa agama negeri itu memberi ruang kepada Zakir Naik berceramah baru-baru ini.

Kata Rozaimi Ramle, hal ehwal agama Islam adalah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan ia diketuai oleh sultan, kecuali bagi negeri tertentu seperti Wilayah Persekutuan.

Menjelaskan perkara itu kepada Malaysiakini, Rozaimi berkata, ceramah dilakukan Zakir di Kangar baru-baru ini sudah mendapat kebenaran daripada Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

"Isu (hal ehwal) agama terletak dalam kuasa kerajaan negeri," katanya.

Seorang ahli parlimen kerajaan semalam membangkitkan persoalan berkenaan Zakir ekoran tindakan pendakwah yang dikehendaki kerajaan India sejak 2016 itu dikatakan berceramah dalam satu program di Perlis.

“Saya ingin tanya kepada PDRM (Polis Diraja Malaysia) terutamanya kepada ketua polis negara, adakah larangan ini masih lagi berkuat kuasa?

“Kalau ia masih berkuat kuasa, baru-baru ini portal berita The Scoop melaporkan bahawa Zakir Naik telah membuat satu ucapan ataupun membuat dakwah terbuka dalam satu majlis di Kangar pada 2 Feb 2025.

“Sekiranya laporan ini benar, persoalan saya ialah, kenapa Zakir Naik tidak mematuhi larangan berucap dan berdakwah yang dikenakan ke atas beliau?” kata RSN Rayer pada sidang media di parlimen semalam.

Rozaimi yang juga Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj) selanjutnya berharap bidang kuasa itu dihormati oleh semua pihak khususnya orang bukan Islam.

"Saya harap ahli parlimen bukan Muslim jangan masuk campur urusan orang Islam," katanya.

Thursday, March 16, 2023

MP PKR pertahan tindakan Hadi terus beri kuliah di masjid

malaysiakini.com
Isabelle Leong
Diterbitkan: Mar 16, 2023 11:48 AM
Tindakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang meneruskan ceramah di masjid, yang dilihat bertentangan dengan institusi diraja, mendapat sokongan daripada ahli parlimen PKR Hassan Karim.

Hadi sebelum ini tetap meneruskan rutinnya menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di Marang, Terengganu, walaupun setelah larangan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu.

Dia sebelum itu berkata tiada salahnya untuk ahli politik menyampaikan kuliah di masjid atau surau dan malah menegaskan mereka mempunyai kewajipan untuk bersuara dalam pelbagai perkara termasuk politik.

Mengulas perkara itu, Hassan berpandangan adalah demokratik untuk orang Islam mendengar ajaran Islam yang disampaikan di luar kalangan imam atau penceramah rasmi.

“Sekurang-kurangnya ada orang yang berani mencabar," kata ahli parlimen Pasir Gudang itu dalam forum politik anjuran Gerak Budaya dan dikendalikan pengarahnya Chong Tong Sin.

Hassan berkata ini dengan syarat pihak yang memberi kuliah itu tidak menggunakan masjid untuk propaganda politiknya.

Dia berkata tiada sesiapa pun, termasuk istana atau mana-mana parti politik, yang boleh memonopoli perkara berkaitan Islam.

Katanya, semua pihak perlu menerima bahawa wujudnya sistem feudal di Malaysia, tapi pada masa sama institusi diraja tidak boleh dibenarkan "mengawal semuanya".

Larangan terhadap semua ahli politik, termasuk ahli parlimen, Adun dan senator, daripada menyampaikan kuliah atau khutbah di semua masjid dan surau di seluruh Terengganu berkuat kuasa pada 2 Mac lalu.

Larangan itu dikeluarkan selepas Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dukacita apabila ada ahli politik mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam.

Menurut semakan di data.gov.my, setakat 4 Mac lalu, Hadi tidak berdaftar sebagai penceramah bertauliah di Terengganu.

Sebelum ini, Hadi meramalkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan tumbang tidak lama lagi.

Ditanya jika usaha gabungannya untuk merampas kerajaan mencabar titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kestabilan politik, Hadi berkata dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, titah tersebut bukanlah penghalang kepada perubahan kerajaan.

[Baca berita asal]

Tuesday, March 7, 2023

Perak larang wakil rakyat, orang politik mengajar agama

hmetro.com.my
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ipoh: Selain wakil rakyat, Ahli Dewan Negara dan individu yang memegang jawatan dalam parti politik dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di masjid dan surau berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengarah lJAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim, berkata, calon bertanding dalam mana-mana pilihan raya, serta bekas Ahli Dewan Negara serta wakil rakyat namun masih aktif dalam kegiatan politik juga termasuk dalam kategori yang dilarang berbuat demikian.

Katanya, ia selaras dengan ketetapan yang diputuskan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menerusi pekeliling garis panduan bertarikh 6 Mac 2023 kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid seluruh Perak.

"Larangan mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau berdaftar dengan JAIPk terpakai kepada individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, jawatankuasa kariah masjid dan surau dikehendaki sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah supaya selari dengan matlamat pengajaran dan syarahan pengajaran iaitu pengukuhan ilmu dan pemupukan perpaduan masyarakat.

Pada 7 Januari lalu, media melaporkan keputusan sama ada menarik balik tauliah mengajar agama kepada semua wakil rakyat di Perak atau sebaliknya akan dibincangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 26 Januari 2023.

Disiarkan pada: Mac 7, 2023 @ 12:57pm

Sunday, March 5, 2023

Hadi: Tak salah malah wajib cakap politik Islam di masjid, surau

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 4, 2023 9:06 PM
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, menurut Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

"Kita kena sedar dalam Islam, politik dan agama tak boleh dipisahkan. Nabi SAW pun cakap politik dalam khutbah.

“Kita bercakap tentang Islam dan dalam politik ada Islam, maka politik Islamlah. Tak jadi salah dan wajib untuk kita bercakap.
"Benda yang tak betul, kita kena tegur. Sama ada hal ehwal ekonomi, politik atau apa ke, yang salah wajib untuk orang Islam tegur. Termasuk amar makruf dan nahi mungkar," tegas Abdul Hadi dalam sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Penutup Hari As-Sabiqun di Dewan Tok Guru, Rusila di Marang, Terengganu, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas larangan terhadap semua ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (Adun) serta ahli Dewan Negara memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu, termasuk khutbah Jumaat.

"Itu mengulangi arahan yang lama, sejak tahun 1960an lagi," kata presiden PAS lagi.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan semalam berkata larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

Menurut Shaikh Harun arahan larangan tersebut - yang bertarikh 2 Mac - dikeluarkan ekoran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Bagaimanapun menurut Shaikh Harun, pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam Terengganu.

Mengulas lanjut larangan itu, Abdul Hadi PAS sudah melaluinya sejak sekian lama.

Malah, Abdul Hadi berkata dia akan tetap meneruskan aktiviti berceramah dan khutbahnya seperti biasa di masjid dan surau-surau.

"Saya akan teruskan ceramah seperti biasa di surau-surau dan masjid-masjid. Ya, (akan teruskan) macam biasa," jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Abdul Hadi berkata permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk menyertai PN akan diteliti dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu tidak lama lagi.

Menurut Abdul Hadi, ini kerana penyertaan mana-mana pihak dalam gabungan itu perlu dibincangkan secara kolektif supaya keputusan terbaik dapat dicapai.

"Saya ada terima surat permohonan Pejuang untuk sertai PN, kita akan bincang dalam mesyuarat. (Tarikh mesyuarat) kita belum terima lagi dari setiausaha parti,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menyifatkan permohonan tersebut sebagai perkembangan positif buat PN.

“Itu menandakan PN mendapat sambutan daripada semua pihak,” katanya.

Pejuang sebelum ini memaklumkan telah menghantar surat permohonan bagi menyertai PN sebagai anggotanya.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin selain salinan turut diserahkan kepada Abdul Hadi dan Presiden Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Penyokong PH kurang pendidikan?

Menurutnya lagi, keputusan untuk membuat permohonan berkenaan disepakatkan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang pada semalam selepas penelitian semua pilihan gabungan dan kerjasama politik yang ada.

Manakala mengulas kenyataan Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail bahawa hanya anak muda yang kurang berpelajaran, tiada pendapatan tetap dan menunggang motosikal ke sana sini saja yang mengundi PN, Abdul Hadi menafikannya.

Kata Abdul Hadi, golongan muda yang memberikan sokongannya kepada PN jelas mereka yang berpendidikan tinggi, namun sebaliknya pula anak muda yang menyokong PH.

"Itu dapat dilihat, (anak muda yang menyokong PN) mereka semua berpendidikan tinggi tetapi mungkin PH kurang berpendidikan tinggi," ujarnya.

Wednesday, August 21, 2019

Zakir Naik tidak dibenarkan ceramah termasuk di media sosial, kata KPN

MALAYSIADATELINE
August 20, 2019 9:18 pm
Datuk Seri Abdul Hamid Bador

Dr Zakir Naik tidak dibenarkan memberi ceramah di semua medium termasuk media sosial.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata kepada Bernama larangan Dr Zakir Naik memberi ceramah di seluruh negara terpakai sehingga siasatan selesai.

Terdahulu, tujuh negeri antaranya Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak telah melarang ceramah oleh Zakir.

Semalam, penceramah itu selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selepas hampir 10 jam di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Jumaat lalu, Dr Zakir memberi keterangan kali pertama bermula pukul 3 petang hingga 7 petang untuk membantu siasatan berhubung beberapa laporan polis dibuat terhadap dirinya.

Hari ini semua program berkaitan Dr Zakir di seluruh negara adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata arahan ini dikeluarkan berikutan ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Selain itu semua Ketua Polis Negeri telah diarahkan supaya memberi nasihat kepada pihak-pihak yang akan menganjurkan program melibatkan Zakir supaya menghentikan semua program-program berkenaan.

“Semua aktiviti melibatkan Zakir adalah tidak dibenarkan dan arahan ini berkuat kuasa mulai 15 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penceramah bebas dari India itu dikatakan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa ceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu dan ini mencetuskan desakan supaya dia dihantar pulang ke India.

Zakir dikehendaki oleh pihak berkuasa India sejak 2016 kerana didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.

Khamis lepas polis menerima 115 laporan terhadap Zakir mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Saturday, February 16, 2019

Salahuddin sedia menghadap Sultan Johor

MyMetro
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@bh.com.my

LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai Sultan Johor murka apabila mendapati seorang menteri Kabinet berceramah di dalam masjid di Johor Bahru.

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, menyatakan kesediaannya untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk memberi penjelasan berhubung isu berceramah di sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, sebagai rakyat Johor, beliau menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim kerana menitahkannya menghadap.

“Saya patuh (terhadap titah) dan ini adalah peluang terbaik saya untuk nyatakan dan perjelaskan segala-galanya kepada Tuanku.

“Saya masih menunggu bila masa saya boleh menghadap Tuanku dan selepas itu saya akan mengadakan sidang akhbar atau mengeluarkan kenyataan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis jamuan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pulai di Padang Bukit Indah, Taman Bukit Indah, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Tuanku menitahkan baginda menzahirkan kemurkaan dengan tindakan seorang menteri yang dikatakan memberi ceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Sultan Ibrahim mengingatkan menjadi peraturan bagi semua masjid di Johor iaitu tidak sesiapa dibenarkan berceramah terutama di dalam masjid atau kawasan sekitarnya, kecuali yang mendapat tauliah dan kebenaran dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan seorang menteri Kabinet berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Baginda bertitah, semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid supaya sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

Berita berkaitan
• 'Ini amaran terakhir - Sultan Johor'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 10:11 PM

Sultan Johor murka tindakan menteri ceramah di masjid

Diterbitkan Hari ini 9:05 malam


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyatakan rasa murka terhadap tindakan seorang menteri yang dikatakan memberi ceramah di sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Menurut kenyataan disiarkan di laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa peraturan di semua masjid di Johor tidak membenarkan ceramah diadakan kecuali mendapat tauliah dan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar pemimpin politik berkenaan yang juga seorang anggota parlimen segera mengadap baginda serta memohon maaf secara bersurat selain tidak mengulangi kesilapan itu.

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini merupakan tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah baginda kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan seorang pemimpin politik berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Baginda juga bertitah supaya semua Pengerusi dan AJK masjid mematuhi peraturan dikeluarkan Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti itu tidak berulang.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin tersebut sedar akan kesilapan yang telah dibuat dan segera minta maaf.

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat untuk beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dilaporkan berkenan menerima mengadap Penasihat MAINJ, Noh Gadot dan Mufti Johor, Yahya Ahmad.

Saturday, February 20, 2016

Ustaz Kazim dikejarkan ke hospital kerana serangan jantung

WARTAWAN SINAR HARIAN

Pentas yang sepatutnya beliau teruskan memberi ceramah.
BACHOK - Ribuan penduduk sekitar Bachok dekat sini tidak sempat menyaksikan perkongsian ilmu apabila penceramah jemputan, Datuk Kazim Elias bergegas dihantar ke hospital kerana dipercayai akibat serangan sakit jantung.

Beliau dikatakan sepatutnya menjayakan ceramah anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong, Bator, malam ini.

Majlis ceramah perdana itu bermula jam 9.30 malam membawa tajuk kupasan 'Jihad Agro Makanan Negara'.

Jemaah Ahli Lembaga Pengarah PPK Sri Gunong, Mohd Radzuan Hamat yang dihubungi mengesahkan perkara itu dan Kazim yang lebih dikenali sebagai ustaz Kazim kini stabil di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Saturday, May 16, 2015

DAP semakin biadap terhadap PAS.........?

Pertikai hudud dalam ceramah di Kelantan, PAS minta Kit Siang mohon maaf
Nik Zawawi Salleh berkata Lim sepatutnya lebih berhati-hati dalam ceramahnya di Padang Perdana, Kelantan 10 Mei lalu. - Foto ustaz-nik-mohd-zawawi.blogspot.com

PAS meminta Penasihat DAP Lim Kit Siang memohon maaf kerana mempertikaikan pelaksanaan hudud semasa menyampaikan ceramahnya di Kelantan, negeri yang melaksanakan undang-undang Islam itu.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS Pusat Datuk Dr Nik Zawawi Salleh berkata Lim sepatutnya lebih berhati-hati dalam ceramahnya di Padang Perdana di sini pada 10 Mei lalu, yang dianjurkan PAS Kawasan Kota Bharu.

Lim sepatutnya menghormati dasar PAS setelah dijemput berceramah di Kelantan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan muktamar Dewan Ulama PAS Kelantan di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini, hari ini

“Beliau tidak sepatutnya bercakap begitu dan (Lim sepatutnya) lebih berhati-hati,” katanya apabila diminta mengulas mengenai laporan media berhubung kenyataan Lim itu,

Media melaporkan bahawa Lim dalam ceramah berkenaan menjadikan dua negara iaitu Jordan dan Mesir sebagai contoh kerana mempunyai lebih 90 peratus penduduk beragama Islam, namun sehingga kini tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Lim dilaporkan berkata sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum, beliau mengingatkan semua parti yang berada dalam pakatan pembangkang supaya berpegang kepada janji asas yang sudah dipersetujui bersama.

Nik Zawawi berkata PAS sentiasa menghormati dasar DAP, dan pada masa sama berharap DAP menghormati dasar PAS berasaskan persefahaman yang terbentuk dalam pakatan pembangkang.

Beliau berkata walaupun PAS boleh menyanggah banyak dasar-dasar yang diperjuangkan DAP, tetapi PAS tidak pernah berbuat demikian semata-mata kerana menghormati parti itu.

Pada 19 Mac lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud selepas mendapat persetujuan sebulat suara daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk 12 ADUN dari Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong menyelar PAS kerana menyifatkan ia sebagai parti melampau selepas mencabar perlembagaan rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015)di Mahkamah Persekutuan.

Mah berkata apa yang amat membimbangkan parti itu ialah jika pelaksanaan undang-undang hudud tidak mengikut perlembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Gerakan mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Kami hanya mahu mempertikaikan apa yang dikatakan oleh para pemimpin PAS bahawa kami melampau sebab hujah kami ialah undang-undang hudud tidak berperlembagaan dan kami mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan jawapan kepada kekeliruan ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat parti di sini, hari ini.

Mah, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata Gerakan mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, dan ‘kita tidak mampu untuk mempunyai sistem undang-undang yang berbeza di negara ini’.

Monday, December 26, 2011

Aura Bob Lokman di geruni UMNO~~~~~~~~~~

Wak rasa UMNO sangat takut dengan sdr Bob ni. Apa tidak nya, setiap ceramah di mana Bob ada hadir sama dah tentu mendapat sambutan hangat. Wak juga pernah hadir dalam ceramah nya, memang tidak boleh di nafikan tentang kehebatab beliau berceramah. Kata orang masa ni dia ni ada 'aura' untuk memukau pendengar2 nya. Itu sebab petualang2 UMNO tidak henti2 cari jalan untuk sekat Bob berceramah.

Wak tidak ada pernah terdengar kata2 yang menghasut atau fitnah yang di ucapkan nya, jauh sekali perkataan2 yang boleh mengancam keselamatan negara. Jadi tiada sebab mengapa petualang2 UMNO ni mahu sekat Bob berceramah. Alasan mereka Bob tiada kebenaran atau permit untuk berucap itu saja. Memang le Bob tak ada permit untuk berucap, kerana pehak yang bertanggung jawab keluarkan permit tu tak mau luluskan nya. itu aje.

Wak haraf Bob akan terus berceramah walau apa pun tindakan yang mereka akan ambil. Negara kita ni bukan nye negara komunis, nak cakap pun susah mau kena permit. Dulu2 guru sekolah yang mengajar di sekolah mesti mau ada 'teaching permit', kalau tak ada ianya boleh jadi kesalah besar. Sekarang ianya sudah di mansuhkan.

Kalau 'teaching permit' di sekolah dah di hapuskan apa pula perlu nya bercakap dan berceramah di kenakan permit pula? Kan ke dah ada undang2, kalau dia ajar 'agama salah', menghasut, fitnah dan mencarut tangkap aje, apa susah2. Kalau Bob hanya bercakap dalam hal perkara2 yang baik, seperti tunjuk ajar dan nasihat perkara2 yang baik apa salah nya?

Wak bukan nye nak nasihat tuan2 pegawai agama tu, mereka lebih arif dan bijak tentang tugas2 nya, tapi bertolak ansor le sikit2 tentang ceramah2 yang baik ni.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-