Wednesday, October 30, 2019

Anwar saran institusi zakat buat pembaharuan, bantu orang bukan Islam

Adam Abu Bakar
-October 30, 2019 7:19 PM

Anwar Ibrahim berucap pada Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Universiti Teknologi Mara di Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM:  Anwar Ibrahim mencadangkan institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam.

Presiden PKR itu berkata, dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia, tidak sesuai hanya masyarakat Islam dibantu, tetapi penganut agama lain dipinggirkan.

“Wang zakat ini dibayar oleh orang Islam, selesaikan masalah orang Islam dahulu. Itu adalah hujah yang benar, tetapi Islam juga adalah agama contoh, menjinakkan adalah satu strategi dakwah yang baik.

“Ikut pendapatlah seperti dinyatakan Yusuf al-Qaradawi, itu bukan diharuskan, tetapi dalam konteks masyarakat kita, itu digalakkan. Tetapi, bukannya sampai menyisihkan umat Islam, keutamaan tetap adalah umat Islam.

“Seperti contoh, katakanlah ada tiga keluarga yang berdekatan dibantu institusi zakat dan keluarga keempat itu adalah penganut Hindu, jadi bolehkah kita ketepikan?” katanya dalam Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam hari ini.

Anwar bagaimanapun berkata, cadangan itu hanya pandangan peribadinya dan ia memerlukan perubahan ke atas fatwa serta dasar sebelum boleh dilaksanakan.

Katanya, institusi zakat perlu menjadi contoh baik kepada institusi awam lain, bukan saja dari segi kutipan dan pengagihan zakat, tetapi juga dalam soal pengurusan, ketelusan serta kebertanggungjawaban.

“Bagi saya, gunakan sebanyak mungkin dana dari institusi zakat untuk bantu selesaikan masalah kemiskinan. Apakah dengan cara geran, membiayai pendidikan, kesihatan, perumahan. Itu gunakanlah kebijaksanaan masing-masing.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-