Sunday, October 20, 2019

Kadir tak percaya 'komplot' Hisham terhadap PH


Penasihat media dan komunikasi perdana menteri, A Kadir Jasin tidak percaya dengan spekulasi yang mengatakan bahawa Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein mahu berkomplot bagi menghalang proses peralihan kuasa dalam PH.

Sebaliknya, Kadir percaya bahawa spekulasi antara Hishammuddin dan Dr Mahathir lebih berkaitan dengan masalah semasa dihadapi Umno.

Jelas bekas wartawan veteran itu, Umno kini menghadapi masalah kepimpinan susulan pimpinan utamanya - Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi – berdepan perbicaraan rasuah.

Lebih-lebih lagi, katanya, terdapat juga pimpinan Umno yang tidak selesa dengan gandingan parti itu bersama PAS.

Kata Kadir, ini membenarkan Hishammuddin muncul sebagai pemimpin alternatif parti itu.

“Nampaknya, kata-katanya (Hihammuddin) telah diambil secara serius oleh ahli Umno dan rakyat berbanding kata-kata Najib dan Ahmad Zahid,” katanya dalam satu catatan di blog hari ini.

Kadir turut berhujah bahawa imej Najib dan Zahid terjejas susulan perbicaraan rasuah yang dihadapi, namun orang awam semakin "berlembut" kerana proses perbicaraan berjalan dengan perlahan.

Justeru, katanya, ia menggembirakan pemimpin Umno yang tidak mahu parti mereka dipimpin oleh pemimpin yang imejnya sudah tercalar.

Kadir turut menambah bahawa selepas Ahmad Zahid mengumumkan untuk bercuti selama enam bulan, timbalannya Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dilihat sebagai "sinar harapan".

“Namun setelah Ahmad Zahid kembali mengetuai parti, Mohamad nampaknya telah hilang sinar dan harapan untuk melakukan perubahan.

“Oleh itu, kebangkitan Hishammuddin dan, pada tahap lebih rendah, Khairy, adalah perkembangan yang sangat menarik.

“Secara peribadi, saya percaya dua moderat Melayu itu mungkin boleh jadi jawapan kepada kemelut kepimpinan Umno,” tulis Kadir.

Kadir juga percaya bahawa Hishammuddin dan Khairy seperti "tidak sesuai" gandingan Umno-PAS.

Bagaimanapun, teori Hishammuddin bersekongkol dengan pemimpin Bersatu, Hamzah Zainuddin untuk menjauhkan Umno dari PAS dan lebih ke arah pucuk pimpinan Dr Mahathir kemungkinan timbul susulan Kongres Maruah Melayu yang diadakan baru-baru ini.

Hamzah memainkan peranan utama dalam kongres berkenaan, yang turut dihadiri oleh Hishammuddin dan Khairy, bukan Ahmad Zahid mahupun Najib.

"Saya fikir orang seperti Hishammuddin dan Khairy lebih penting buat kelangsungan Umno daripada pelan peralihan kuasa PH. Jika serah kepada kepimpinan sekarang, Umno akan berdepan jalan sukar untuk terus hidup.

“Manakala pelan peralihan kuasa PH adalah perkara yang sudah selesai, jika ia adalah tentang peralihan kuasa jawatan Dr Mahathir kepada (Presiden PKR) Anwar (Ibrahim).

“Tetapi kita tetap kena menerima hakikat bahawa takdir bukan di tangan kita dan proses demokrasi bukan jalan yang lurus,” katanya.

Hishammuddin yang tidak terlalu aktif berpolitik setelah kejatuhan BN pada PRU umum tahun lalu menjadi bualan hangat susulan dakwaan bahawa beliau ingin menubuhkan kerajaan baru tanpa parti DAP dan Amanah.

Dakwaan tersebut dibuat dalam kenyataan bersama oleh setiausaha agung Bersatu, PKR dan Amanah yang turut ditandatangani oleh DAP.

Meskipun Hishammuddin menafikan dakwaan tersebut, banyak sumber memberitahu Malaysiakini penglibatan Hishammuddin dalam komplot tersebut.

Menurut kenyataan bersama PH dan kenyataan dari Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Jumaat lalu menjelaskan mereka yang berada di dalam plot tersebut sedang cuba untuk melindungi diri daripada pendakwaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-