Wednesday, October 9, 2019

Mat Sabu disakat di Dewan Rakyat gara-gara ‘barua’ Anwar

Faiz Zainudin
-October 9, 2019 12:03 PM

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang hari ini mengusik Mohamad Sabu di Dewan Rakyat susulan ucapan “barua” yang didakwa disebut Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) bangkit mencelah meminta menteri pertahanan itu membuat penjelasan maksud sebenar yang ingin disampaikan Anwar, sama ada “barua” atau “maruah” ketika sidang media Pakatan Harapan semalam, memandangkan Mohamad dikatakan saksi di tempat kejadian.

“Maruah ke barua. Sebab Abang Mat (Mohamad) saksi,” kata Ismail.

Mohamad kemudian secara berkias dalam responnya meminta semua pihak belajar menyebut perkataan dengan betul.

“Jangan kacau orang nak jawab.

“(ATM ada kelas belajar Al-Quran) supaya sebut betul, kalau maruah sebut maruah,” kata Mohamad yang disambut gelak ketawa wakil rakyat yang hadir.

Beliau kemudian meminta wakil rakyat tidak menganggunya berucap semasa menjawab pertanyaan Ahmad Fadli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai fungsi sebenar Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Terdahulu, tular video di media sosial menunjukkan Anwar berkata “Biar dia (Dr Mahathir Mohamad), (sejak) kongres “barua” ni semangat dia lain macam”.

Namun, tidak dapat dipastikan sebutan Anwar tersebut adalah benar-benar “barua” atau “maruah”.

Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Mohd Zahid Md Arip dalam responnya bersangka baik dan menganggap Anwar menyebut perkataan “barua” tanpa sengaja.

Anwar bagaimanapun menafikan beliau menyebut perkataan “barua” dan memberi amaran kepada lawannya supaya tidak memfitnahnya.

“Itu semua politik bangang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-