Klik kelaman FaceBook Wak Labu Farm

Wednesday, October 23, 2019

PAS bersyukur parti tiada kaitan dengan kes Nasharudin



PAS menyatakan rasa syukur kerana tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pendakwaan yang dihadapi oleh bekas timbalan presidennya, Nasharudin Mat Isa.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, berkata jika sebelum ini pelbagai tuduhan dilemparkan kepada PAS yang didakwa menerima wang daripada pihak tertentu, namun dalam kes Nasharudin ternyata parti itu tiada kaitan.

"Kita rasa syukur, alhamdullilah, daripada orang tuduh kita terima duit tetapi daripada 33 pertuduhan (kes Nasharuddin) tiada sangkut paut dengan parti," katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Semalam, Nasharudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan 30 pertuduhan pecah amanah jenayah dengan nilai keseluruhan RM3,979,739.40.

Bekas anggota Parlimen Bachok dan Yan berusia 57 tahun itu didakwa melakukan tiga kesalahan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, melakukan pengubahan wang haram secara tidak langsung, dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram iaitu mendepositkan wang peruntukan daripada Kementerian Kewangan Malaysia kepada Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) berjumlah RM302,069.60 menggunakan cek milik syarikatnya Wassatiyah Centre For Peace Sdn Bhd ke dalam tiga akaun berbeza milik Sisma Auto (KL), SMR Performance Sdn Bhd dan Duadaya Interior Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu dari 9 November hingga 20 Disember 2018.

Jika sabit kesalahan, Nasharudin boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Sementara itu Mohd Amar turut mengesahkan Nasharudin masih lagi ahli PAS, namun sudah tidak aktif selepas kalah dalam pemilihan pada muktamar beberapa tahun lalu.

Menurutnya, setakat ini PAS mengambil pendirian bahawa bekas pensyarah itu belum bersalah selagi ia tidak dibuktikan di mahkamah.

Justeru Mohd Amar berkata PAS tidak akan menggugurkan keanggotaan Nasharudin buat masa ini.

Baca Kes Nasharudin: Ke mana RM3.9 juta dibelanja

"Dia baru dituduh dan tidak tahu lagi sama ada beliau bersalah atau tidak. PAS tetap menganggap Nasharudin belum bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah," katanya.

Untuk menjelaskan pendirian itu, Adun Panchor tersebut memberikan contoh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang tetap menjadi anggota parti walaupun didakwa atas tuduhan rasuah di mahkamah.

"Namun, sekiranya Nasharudin didapati bersalah, terpulang kepada parti sama ada mahu memecat keahliannya.

"Apa pun, tunggu keputusan mahkamah dan terserah kepada parti," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

1 comment:

  1. tunggu dimahkamah..bila pendakwa soal.siapa lagi yg dapat...mcm2 boleh jadi.

    ReplyDelete

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-