Friday, October 11, 2019

RM550 juta dana pinjaman penanaman semula pekebun kecil sawit

Bernama
-October 11, 2019 7:46 PM


KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntuk RM550 juta untuk dana pinjaman penanaman semula untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah 2.0 peratus setahun, untuk tempoh 12 tahun termasuk empat tahun moratorium ke atas pembayaran semula.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penanaman semula itu akan dilaksana menggunakan benih terkini, dan mematuhi standard Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) bagi memastikan produktiviti dan pemasaran yang lebih baik.

“Kerajaan prihatin terhadap kesan harga komoditi yang rendah kepada kehidupan rakyat Malaysia dalam sektor ini, khususnya pekebun kecil.

“Pada masa yang sama kami kecewa dan tidak berpuas hati terhadap usaha yang dirancang untuk mengurangkan akses pasaran bagi eksport minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Oleh itu, Lim berkata peruntukan sebanyak RM27 juta disediakan untuk menyokong usaha Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memasarkan minyak sawit di peringkat antarabangsa dan menentang kempen anti-sawit.

Beliau berkata sektor itu juga akan ditingkatkan menerusi pelaksanaan biodiesel, dengan biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan yang akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2020.

“Ini dijangka meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500,000 tan setahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-