Sunday, November 24, 2019

‘Kehilangan’ Baru beri isyarat negatif kestabilan PKR, kata penganalisis

Joel Shasitiran
-November 24, 2019

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

PETALING JAYA: Ketiadaan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pada konvensyen parti itu di Miri semalam memberi isyarat negatif mengenai kestabilan parti, kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata ketidakhadiran Baru menunjukkan sokongan beliau terhadap Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali berhubung pertelagahan dalam parti itu.

“Beberapa hari sebelum ini, Baru berkata konvensyen itu dibatalkan, namun Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan konvensyen itu tetap akan berlangsung. Saya fikir Baru tidak mempunyai pilihan tetapi untuk menjadikan dirinya tidak ada walaupun dia adalah ketua PKR Sarawak,” kata Azmi kepada FMT
Azmi Hassan dari UTM.
Beliau berkata Baru, yang juga menteri kerja raya, mendapat 32 sokongan daripada 46 ahli dewan PKR Sarawak.

Jika semua 32 ahli tidak menghadiri konvensyen tersebut, katanya, maka ia menunjukkan parti itu berada dalam permasalahan yang teruk.

“Tetapi saya ragu-ragu semua 32 daripadanya tidak hadir,” katanya.

Azmi berkata jika Baru digugurkan sebagai pengerusi PKR Sarawak, kesannya akan dirasai di Semenanjung Malaysia.

“Ia akan menunjukkan hukuman yang berat menanti mana-mana pemimpin yang menentang parti yang secara terang-terangan memberi sokongan mereka terhadap Azmin.

“Pada masa ini, masih terdapat status quo dalam PKR walaupun wujud 2 kem, tetapi apa-apa tindakan yang diambil terhadap Baru akan diterjemahkan kepada masalah dalam parti di peringkat nasional,” katanya.

Ditanya mengapa sukar bagi sesetengah pemimpin PKR mempunyai haluan yang sama, Azmi berkata “ia mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad”.

“Penyokong Anwar melihat Azmin sebagai ancaman kepada rancangan penggantian. Oleh itu, untuk kedua-dua kem ini sama halu tuju adalah mustahil jika ancaman oleh Azmin masih ada.

“Perkara menjadi lebih buruk apabila Mahathir tidak jelas mengenai garis masa penggantian,” katanya.
Awang Azman Awang Pawi dari UM.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, Baru mempertaruhkan masa depan politiknya sendiri dengan menyokong orang lain yang mahu konvensyen PKR Sarawak dibatalkan selepas dipersetujui oleh majlis kepimpinan pusat.

“Kehadiran Anwar di Miri menunjukkan dia adalah pemimpin yang tegas dan tidak akan tunduk kepada mereka yang cuba melemahkannya. Ia juga menunjukkan kesabarannya terhadap mereka,” katanya.

Beliau bersetuju dengan Azmi bahawa sukar bagi sesetengah pemimpin untuk bersemuka.

“Sesetengah pemimpin cuba membentuk klik dan kem mereka sendiri untuk menentang Anwar dari segi kuasa dan pengaruh,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menganggap ketidakhadiran Baru akan menjejaskan peralihan Anwar kepada jawatan perdana menteri, Awang Azman berkata ini tidak mungkin.

“Perjanjian itu diputuskan oleh majlis presiden PH dan bukan Baru. Majlis presiden terdiri daripada pemimpin dari parti komponen PH, bukan Umno, PAS atau sesiapa pun,” katanya.

Kira-kira 1,500 ahli hadir pada konvensyen semalam, menurut ahli jawatankuasa penganjur.

Ia dirasmikan oleh Anwar walaupun Baru mengatakan ia patut dibatalkan sehingga kepimpinan peringkat nasional menyelesaikan masalah mengenai siapa yang patut merasmikan kongres Pemuda PKR bulan depan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-