Showing posts with label Mohamed Azmin Ali. Show all posts
Showing posts with label Mohamed Azmin Ali. Show all posts

Sunday, August 6, 2023

‘1 undi untuk PH, 1 undi untuk Zahid Hamidi’

agendaily.com
06/08/2023

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan pengundi DUN Bukit Antarabangsa bahawa mengundi Pakatan Harapan (PH) adalah tanda sokongan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan 47 kes mahkamah.

Menurutnya, cukuplah rakyat ditipu sekali, jangan ditipu untuk kali kedua.

“Kepada orang Bukit Antarabangsa, saya nak ingatkan sekali lagi, one vote for PH adalah one vote for Zahid Hamidi. One vote for PH, adalah one vote for kleptokrasi. Cukuplah jangan kena tipu kali kedua.

“Mereka (kerajaan) tidak mampu. Dia nak lawan perasuah, perasuah di sebelah kanan dia, dia nak sebut sakau sana sakau sini, dia kepala sakau dalam negara ini.

“Jadi saudara,defisit kepercayaan semakin meluas. Rakyat sudah letih, rakyat hanya mahu kerajaan yang kuat, yang ikhlas, pemimpin diuji dan teruji dan pemimpin itu adalah Perikatan Nasional,” katanya.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata sebahagian penyokong yang hadir malam tadi itu dikenalinya kerana sebelum ini mereka menyokong PH yang menyakini bahawa gabungan itu akan menjadi kerajaan yang bersih dan berkredibiliti namun hakikatnya berbeza.

“Saya kenal sebahagian yang ada di dalam ini (program), yang dulu menyokong Pakatan Harapan. Tidak mengapa, itu pilihan yang telah dibuat kerana ketika itu sebahagian daripada kita mengandaikan bahawa PH ini akan membentuk kerajaan yang bersih, berwibawa dan pemimpinnya berkredibiliti.

“Kita dengar ceramah dia, apa yang tidak didendangkan? Dia heret orang Bukit Antarabangsa dan Gombak dan seluruh negara pergi berdemokrasi untuk menentang kleptokrat, menentang perompak, menentang perasuah.

“Sekarang apa dah jadi? Orang yang kita lawan sekrang dah jadi kawan dia, bukan saja kawan tapi diangkat sebagai orang nombor dua dalam negara. Di mana maruah kita sebagai rakyat Malaysia?,” katanya yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Azmin, gelombang yang ada ketika ini adalah tanda ketidakpuasan hati rakyat terhadap kepimpinan hari ini yang tidak menunaikan janji selepas lapan bulan berkuasa.

“Ini bukan gelombang hijau tapi ini gelombang ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemimpin yang berbohong, berdusta dan tidak menunaikan janji setelah lapan bulan diberi tugas yang amat besar di dalam negara ini.

“Kerana rakus nak jadi PM sanggup buat janji yang tidak boleh ditunaikan…Kalau kata pengkhianat, bukan saya pengkhianat. Tapi dia. Dia janji minyak turun, minyak tak turun. Pembohong. Buka mulut bohong, sekarang lagi teruk, belum buka kita dah tahu dia bohong. Sudah melampau sebab rakyat susah,” katanya yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa selama tiga penggal.

Wednesday, August 2, 2023

Hari ini kita menang, cukai pintu dihapuskan, lesen perniagaan hapus: Azmin

agendaily.com
2/8/2023
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Isu kebajikan rakyat Selangor menjadi keutamaan sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PN Selangor itu berkata antara tawaran yang akan dibuat kepada warga Selangor selepas PRN nanti adalah antaranya langkah untuk menghapuskan cukai pintu dan lesen perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil yang sebelum ini pernah dilaksanakan ketika dibawah pentadbirannya semasa menjadi Menteri Besar.

“Hari ini kita menang, Insya-Allah cukai pintu dihapuskan, lesen perniagaan hapus… tapak-tapak perniagaan pasar malam, pasar tani, pasar minggu, peniaga-peniaga tidak perlu bayar.

“Dan untuk Selangor utara, ada lima daerah, Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor… tidak perlu lagi bayar parking di semua tempat letak kereta,” kata Azmin semasa ceramah berkelompok di pusat bandar Taman Melawati malam tadi.

Menurut Azmin, tawaran tersebut sudah dibincang dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersetuju untuk memasukkan ke dalam tawaran manifesto yang akan dibentang pada Jumaat ini.

Jelasnya, banyak rungutan diterima warga Selangor terhadap kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) selama lima tahun memerintah negeri tersebut yang tidak prihatin dengan nasib peniaga kecil, malah terpaksa berdepan saman parking yang banyak.

“Zaman saya dulu, kita hapuskan cukai pintu… Betul? Saya hapuskan lesen perniagaan, peniaga-peniaga tak payah (bayar), sekarang? saman.

“Saya pergi Tanjong Karang baru-baru ini, penduduk complaint (mengadu) lambat lima minit kena saman,” katanya lagi.

Selain itu, Azmin juga berjanji khairat kematian sebanyak RM2,500 akan diberikan semula penduduk Selangor selepas ini.

“Hari ini kita menang, kalau ada ahli keluarga meninggal, saya akan beri semula RM2,500,” katanya lagi.

Tidak ketinggalan, Azmin juga berkata air percuma juga akan diberikan kepada penduduk Selangor seperti yang pernah dilakukan oleh pentadbiran terdahulu.

Untuk rekod, PN Selangor akan membentangkan ke semua tawaran manifesto mereka pada Jumaat ini.

Thursday, October 27, 2022

“Tan Sri tolonglah saya sedang dihadap ke mahkamah,” cerita Azmin Ali

agendaily.com
27/10/2022
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan bahawa memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini samalah dengan memilih perompak dan kleptokrat.

Sebaliknya, kata beliau jika rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti, amanah dan prihatin kepada rakyat dan terbukti ketika menghadapi krisis pandemik Covid-19 dan kesannya, maha Perikatan Nasional mesti menjadi pilihan.

“Kalau kita mahu perompak ataupun pemimpin yang lembab dan lembik, yang sanggup menerima arahan daripada kleptokrat… yang berada di bawah telunjuk kleptokrat… undilah Barisan Nasional.

“Tetapi kalau saudara mahu sebuah kerajaan yang bersih yang berintegriti, yang prihatin rakyat.. undilah Perikatan Nasional.

“”Pakatan Harapan (PH) tak payah cakap lah… dah tak tahu ke mana dia nak pergi… bukan sahaja di tepi… (tapi) dah tersungkur dah,” katanya.

Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata rakyat perlu membuat penilaian dan perbandingan dalam kalangan pemimpin, khususnya mereka yang berjawatan perdana menteri.

“Kalau kita nak uji pemimpin… uji semasa krisis… Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berdepan dengan tiga krisis… kesihatan, ekonomi dan politik. Beliau berdepan dengan krisis politik untuk membenteras perasuah, perompak dan pencuri dalam negara ini.

“Nak uruskan kleptokrat, nak uruskan perasuah dan perompak yang berdepan dalam pelbagai kes di mahkamah. Salah seorangnya tampil ke rumah Tan Sri… saya menjadi saksi…

“Beliau menyatakan… Tan Sri tolonglah… saya sedang dihadapkan ke mahkamah… Saya tidak bersalah… ambillah dokumen ini Tan Sri. Bacalah malam ini. Besok saya bawa peguam untuk terangkan pada Tan Sri.

“Saya saksi. Apa kata Tan Sri… saudara minta maaf… saya tidak mahu campur urusan mahkamah. Kalau saudara tidak bersalah tampil di mahkamah… bersihkan nama saudara di dalam mahkamah,” cerita Azmin tanpa merujuk kepada pemimpin terlibat yang semua rakyat tahu siapa dimaksudkan itu.

Azmin berkata kepimpinan Muhyiddin yang berani ketika itu walaupun mempunyai majoriti sokongan yang kecil, tetapi tegas dan memikul amanah, perlu diberi sokongan.

“Sudah tentulah ketika krisis kesihatan, ekonomi dalam tempoh yang paling mencabar dengan berani dan bertanggungjawab beliau menegaskan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional… kita nak menyelamatkannya nyawa manusia dan rakyat dalam negara.

“Bukan mudah. Beliau terpaksa melancarkan program vaksinasi secara besar-besaran… dan inilah kejayaan Perikatan Nasional menyelamatkan nyawa dan kesihatan rakyat,” katanya.

Monday, March 7, 2022

Azmin yakin bangsa Johor tak mahu perompak, perasuah pimpin mereka

agendaily.com
7/3/2022

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan penduduk di DUN Tangkak, Johor , malam tadi, 6 Mac 2022.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin bangsa Johor sebagai bangsa yang bijaksana tidak akan menerima perompak dan perasuah untuk menjadi pemimpin mereka.

Beliau juga yakin bangsa Johor sudah bersedia untuk bangkit menunjukkan kepada negeri lain bahawa mereka menolak Barisan Nasional (BN) dan memilih untuk bersama dengan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac ini.

“Saya tegaskan, bahawa Bangsa Johor adalah bangsa yang bijaksana. Bangsa Johor tidak mungkin akan menerima perompak dan perasuah untuk memimpin negeri mereka.

“Justeru, saya menyeru Bangsa Johor untuk tolak BN kerana tanpa BN, Johor akan lebih sejahtera.

“Sudah tiba masanya, orang Chaah, orang Labis dan Bangsa Johor akan bangkit untuk bersama Perikatan Nasional serta membentuk Kerajaan baharu di Negeri Johor,” katanya dalam pertemuan dengan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Bekok, yang turut dihadiri calon PN, Tan Lek Khang.

Pada pertemuan dengan penduduk di DUN 09 Gambir pula yang turut dihadiri calon PN, Solihan Badri, Azmin menegaskan keperluan bangsa Johor membuat pilihan yang tepat pada 12 Mac ini.

“Jangan kita benarkan gerombolan yang menjadi toksik kepada perpaduan dan kesatuan rakyat memimpin Negeri Johor yang gagah ini.

“Pilih Perikatan Nasional kerana wadah ini adalah menawarkan kepimpinan yang wibawa, bersih dan prihatin rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yakin kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di DUN N10 Tangkak bakal musnah pada 12 Mac ini.

Azmin berkata dengan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat terhadap PN, DUN Tangkak akan dapat dirampas.

Sebelum ini, kerusi DUN Tangkak dikuasai DAP selama dua penggal lalu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Ee Chin Li menang dengan majoriti sebanyak 5,077 undi mengatasi Goh Tee Tee daripada Barisan Nasional (BN).

Pada PRN 12 Mac ini, DUN Tangkak akan menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan PN meletakkan Dr Chong Fatt Ful, seorang doktor pergigian yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N03 Pemanis.

DAP pula mengekalkan Chin Li, manakala BN meletakkan calon MCA, Ong Chee Siang. Manakala, Muhammad Airel Zabridin mewakili Pejuang dan Zainal Bahrom A Kadir calon Bebas.

Berucap pada pertemuan dengan masyarakat di DUN Tangkak malam tadi, Azmin juga menegaskan PN komited dalam usaha mencerdaskan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

“Saya yakin dengan dukungan yang begini kuat, kubu PH di DUN Tangkak bakal musnah. Kita akan tabalkan Dr Chong dari Perikatan Nasional untuk memimpin DUN Tangkak demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

Tuesday, October 5, 2021

Azmin akan teliti semula status cadangan ganja perubatan

malaysiakini.com
Yasmin Ramlan
Diterbitkan: Oct 5, 2021 1:05 PM

Menteri Perdagangan dan Antarabangsa Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan perlu melihat daripada perspektif yang lebih besar dalam mengembangkan keperluan industri ganja perubatan.

Sebagai maklum balas kepada celahan dari Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar), Azmin berkata meskipun ia dibincangkan sejak pentadbiran Pakatan Harapan (PH), perkara itu perlu dirujuk semula.

Katanya, ia melibatkan beberapa pindaan akta daripada Kementerian Kesihatan.

“Perkara ini telahpun dibincang, dibentang dalam jemaah menteri, beberapa pandangan telah dikemukakan, kita pun telah engage dengan beberapa pihak termasuklah ahli akademik dan pihak-pihak swasta untuk kita lihat potensi industri ini.

“Namun, saya harus merujuk semula apakah status perkara ini, kerana ia juga melibatkan beberapa pindaan akta oleh Kementerian Kesihatan yang telah dibentangkan dalam mesyuarat yang lalu.

“Kita harus melihat dari perspektif yang lebih besar tentang keperluan industri ni diperkembangkan. Namun, haruslah mengikut lunas undang-undang yang sedia ada,” katanya dalam sesi penggulungan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Syed Saddiq
Terdahulu, Syed Saddiq bertanya, dalam usaha kerajaan memperhebatkan industri eksport, adakah Miti akan memperhalusi cadangan untuk meluluskan kegunaan ganja perubatan,

“Saya rasa yang amat berhormat menteri pun tahu iaitu pada bulan Februari 2020 - sebelum kerajaan (PH) tumbang, sudahpun kajian dilakukan oleh Prof Aisyah dari USM dan sudah adapun mesyuarat pelarasan bagi tujuan dalam negara dan tujuan eksport ke luar negara.

“Adakah yang amat berhormat akan bincangkan perkara ini di peringkat jemaah menteri?” soal Syed Saddiq.

Pada 29 September lalu, Syed Saddiq yang juga presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Dewan Rakyat mencadangkan supaya kerajaan meneliti perbincangan terperinci berhubung kelulusan ganja sebagai rawatan alternatif.

Sambil membandingkan negara-negara lain termasuk Thailand, katanya, dia enggan melihat Malaysia ketinggalan membincangkan isu kajian penggunaan ganja dalam perubatan hanya disebabkan ia dianggap isu sensitif.

Monday, August 23, 2021

Tular dakwaan “Geng Azmin” tarik diri dari PN jika Azmin tidak dilantik TPM

themalaysialife.com
August 23, 2021 8:25 pm


Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian menafikan beliau membuat pendedahan bahawa Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama 10 ahli Parlimen lain akan menarik sokongan kepada kerajaan baharu jika tidak diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Penafian tersebut dibuat oleh beliau dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya membuat pendedahan bahawa Azmin Ali akan membawa 10 orang ahli Parlimen keluar sekiranya tidak diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi saya bukan sebahagian daripada tim (kumpulan) Azmin Ali,” katanya.

Pada Ahad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan telah mengeluarkan kenyataan mengenai pencalonan Ahli Parlimen Gombak.

Perkara tersebut disahkan oleh Pegawai Khas Setiausaha Akhbar kepada Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin, Zulkifli Bujang.

Antara intipati kenyataan tersebut menyatakan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Sabtu yang dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yaasin bahawa Bersatu mencadangkan dan menyokong calon tunggal dari parti itu iaitu Mohamed Azmin untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/157245/BERITA/Politik/Baru-Bian-nafi-Azmin-tarik-sokongan-jika-tak-dilantik-TPM

Thursday, June 4, 2020

Exco Wanita PKR keluar parti, hilang percaya pada Anwar dan pimpinan

FMT Reporters
 -

Shoba Selvarajoo. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Seorang exco Wanita PKR hari ini mengumumkan peletakan jawatan politiknya dan keluar parti, atas alasan hilang kepercayaan pada Presiden Anwar Ibrahim dan pimpinan parti.

Shoba Selvarajoo juga melepaskan jawatan ahli Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Saya telah hilang kepercayaan kepada presiden dan pimpinan parti selepas daripada pemilihan parti yang cacamarba serta memalukan.

“Sudah sampai masanya keputusan perlu dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Shoba turut terkesan dengan penyebaran senarai senarai nama ahli PKR yang digantung.

Bulan lalu, ratusan ahli PKR digantung atau dipecat atas alasan melanggar tata etika dan disiplin parti selepas pemecatan bekas tmbalan presiden, Mohamed Azmin Ali dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Shoba, namanya turut tersenarai.

“Perkembangan politik yang melibatkan PKR sememangnya memeningkan ahli dan juga pimpinan,” katanya.

Sementara itu, ketua penerangan Wanita PKR Selangor, JC Jess Choy Pooi Yee turut mengumumkan keluar parti, atas alasan kecewa dengan parti yang didakwa “memeningkan” ahli dan kepimpinan.

Choy turut melepaskan jawatan ahli Majlis Perbandaran Selayang.

Thursday, May 28, 2020

Saya tak tahu ura-ura 129 ahli Parlimen ‘sokong’ Dr M, kata Azmin

Predeep Nambiar
-May 28, 2020 8:39 PM

Menteri kanan, Mohamed Azmin Ali.

ALOR SETAR: Menteri kanan, Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak tahu khabar angin mengenai “rampasan kuasa” oleh Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional dengan sokongan 1129 ahli Parlimen.

Beliau berharap semua ahli Parlimen akan mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mencetuskan satu lagi pergolakan politik.

Katanya, mereka perlu sedar PN berkuasa disebabkan peletakan jawatan Mahathir.

“Saya tak tahu dari mana 129 (ahli Parlimen) ini datang, tetapi mari tengok titah diraja Agong di Parlimen baru-baru ini.

“Agong meminta Mahathir untuk kekal sebagai PM, Mahathir menegaskan mahu letak jawatan. Dan apabila jawatan PM itu kosong, Agong terpaksa mengisinya dengan seseorang yang dianggap terbaik.

“Pemilihan itu dibuat secara terbuka dan telus seperti dalam Perlembagaan Persekutuan. Agong mendapati Muhyiddin Yassin mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

“Nak salah siapa kalau itu kehendaknya? Maka bila berlaku kekosongan ia perlu diisi, itu sahaja,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman hari ini.

Azmin berkata, rakyat tidak patut diheret ke dalam politik “sehingga mereka menderita”.

“Ada individu yang gila kuasa dan mahu menjadi perdana menteri.

“Cukup cukuplah…jangan salahkan Perikatan Nasional kerana apa yang berlaku (punca) kerana ada seorang perdana menteri meletakkan jawatan.”

Beliau berkata, sekarang masanya untuk memfokuskan khidmat kepada rakyat.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily melaporkan akan berlaku “rampasan kuasa” pada Julai ini dengan Mahathir memerlukan “hanya 3 kerusi” untuk berkuasa semula.

Akhbar itu memetik sumber yang mendakwa 3 ahli Parlimen memegang jawatan menteri sedang merancang untuk lompat ke Pakatan Harapan.

Katanya, PH akan memiliki sokongan 129 daripada 222 ahli Parlimen.

Tuesday, March 3, 2020

Gugurkan siasatan terhadap Ambiga dan Marina

MyMetro
Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my

DATUK Seri Mohamed Azmin Ali.
 FOTO Eizairi Shamsudin

AHLI Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa pihak berkuasa supaya menggugurkan siasatan terhadap aktivis, Datuk S Ambiga dan Datin Paduka Marina Mahathir yang terbabit dalam demonstrasi secara aman, Ahad lalu.

Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, jika demonstrasi secara aman itu dijalankan mengikut saluran undang-undang maka tiada keperluan polis membuka kertas siasatan terhadap mereka.

Ini kerana katanya, demonstrasi secara aman yang diadakan itu adalah sebahagian hak rakyat Malaysia untuk menyatakan pandangan yang selari dengan semangat demokrasi.

“Ia menjadi hak rakyat Malaysia untuk melakukan perhimpunan atau menyatakan pandangan mereka secara aman kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Demokrasi membenarkan perbezaan pandangan yang bermaksud orang awam bebas melontarkan suara mereka secara aman tanpa mengganggu ketenteraman dan keselamatan awam.

“Saya menggesa pihak berkuasa supaya tidak menekan mana-mana pihak yang terbabit dalam perhimpunan aman itu kepada siasatan polis, ” katanya melalui kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan bahawa Ambiga dan Marina disiasat susulan pembabitan mereka dalam perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang berlangsung dari hadapan kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Demonstrasi itu diadakan bagi membantah pelantikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri.

Dalam perkembangan sama, Azmin berkata, situasi politik negara yang berlaku sepanjang minggu lalu mengundang pelbagai pandangan dan keadaan itu tidak perlu menyebabkan mana-mana pihak menjadi terlalu sensitif.

“Namun, saya juga ingin menyebut sekali lagi mengenai kenyataan daripada ketua polis negara yang mahu penganjur menghormati undang-undang dan memberi notis awal untuk mengadakan perhimpunan di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 10:20 AM

Wednesday, February 26, 2020

Azmin, Zuraida akan sertai Bersatu?

Sumber dedah 11 bekas Ahli Parlimen PKR ada nyatakan hasrat
26/02/2020


KUALA LUMPUR, 2 Rejab 1441H, Rabu – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Memetik laporan Berita Harian, hasrat sama turut diutarakan oleh bekas Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin dan sembilan lagi Ahli Parlimen PKR.

Mereka adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Terdahulu, sebelas Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Difahamkan, sumber mendedahkan bahawa mereka juga bersetuju menjadi sebahagian daripada Bersatu dengan diketuai oleh Mohameh Azmin.

“Saya tak pasti bila mereka akan hantar borang (sertai Bersatu), itu kita serahkan kepada Mohamed Azmin untuk umumkan.

“Ahli Parlimen bukan Bumiputera boleh menyertai Bersatu sebagai ahli bersekutu seperti termaktub dalam perlembagaan parti,” katanya.

Julai tahun lalu, Perhimpunan Agung Khas Bersatu meluluskan hampir semua usul dikemukakan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Bersatu 2019.

Antara pindaan dipersetujui termasuk mewujudkan keahlian bersekutu dalam kalangan bukan Melayu dan Bumiputera.

Monday, February 24, 2020

Makan malam Azmin, PAS, Umno dan PPBM tamat tanpa umum ‘kerajaan baru’

Nur Hasliza Mohd Salleh
-February 23, 2020 11:03 PM

Azmin Ali dan penyokongnya pada makan malam di Hotel Sheraton, yang berlangsung selepas berpuluh kenderaan diiringi polis dilihat memasuki perkarangan Istana Negara petang tadi.

PETALING JAYA: Majlis makan malam melibatkan pemimpin PKR yang bersepakat dengan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, Umno, PAS dan PPBM berakhir tanpa pengumuman, ketika negara gempar dengan desas-desus mengenai penyusunan semula politik yang boleh menamatkan komposisi semasa Pakatan Harapan.

Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad tidak menghadiri makan malam ini. Pemimpin tertinggi yang kelihatan adalah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.

Wakil-wakil rakyat yang ditemui enggan memberi mengulas pertemuan malam ini, yang dianjurkan selepas berpuluh kenderaan yang diiringi polis dilihat memasuki perkarangan Istana Negara pada 5.30 petang.

Sejak awal pagi, Lembah Klang “sibuk” dengan cakap-cakap bahawa Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menendang keluar DAP daripada Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merampas kuasa kerajaan berikutan kemenangan bersejarah gabungan politik itu pada pilihan raya umum Mei 2018.

Perubahan politik di Putrajaya akan menamatkan penglibatan DAP dalam kerajaan persekutuan, sementara parti berteraskan orang Melayu dijangka memainkan peranan dominan dalam gabungan baru politik yang bakal muncul.

Bulan lepas, FMT melaporkan pertemuan peribadi antara Mahathir dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang mungkin memberi isyarat tentang penyusunan semula kuasa politik di Putrajaya, langkah yang mungkin mengetepikan DAP, dan khususnya, menggagalkan cita-cita Anwar menjadi perdana menteri.

Penyusunan baru itu akan menyatukan kumpulan politik yang menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di nusa teras Melayu di wilayah utara Semenanjung.

Sunday, February 16, 2020

Henti permainan politik, sokong Tun M - Azmin

MyMetro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


AZMIN
FOTO Arkib NSTP
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali menyeru rakyat negara ini memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin dan membangunkan ekonomi negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, semua pihak juga diminta menghentikan permainan politik kerana tindakan itu tidak mendatangkan faedah buat rakyat dan negara.

“Kita kena tumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan negara, memberi tumpuan khusus kepada (pelaksanaan) ekonomi (yang) lebih rancak.

“Hentikan politik yang berpanjangan. Malaysia terlalu banyak politik. Saban hari bercakap pasal politik.

“Kita berikan sokongan kuat kepada Dr Mahathir untuk memimpin negara, memimpin ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Ampang, malam ini.

Hadir sama, Naib Presiden PKR yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, menjelang persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November ini, Malaysia perlu tampil sebagai negara yang memiliki ekonomi kukuh.

“Apabila berlangsung persidangan APEC, Malaysia dapat muncul negara ekonomi yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 10:09 PM

Azmin beritahu dia yang bawa pimpinan PAS jumpa Mahathir, kata Ezam



Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor hari ini membuat pendedahan terbuka bahawa Mohamed Azmin Ali yang menjadi orang tengah membawa pemimpin kanan PAS bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ezam turut mendakwa, bukan sahaja pertemuan itu dan pertemuan dengan pimpinan pembangkang lain diatur oleh timbalan presiden PKR itu, bahkan banyak lagi gerakan yang dilakukannya bagi menghalang presiden parti, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Saya ke Shah Alam 2-3 hari lepas, Azmin bawa Dr Samsuri (Mokhtar) menteri besar Terengganu jumpa dengan Dr Mahathir sekali atau 2 kali.

“…orang tanya saya mana awak tahu. Hari ini saya beritahu, saya tahu sebab Azmin bagi tahu saya, malah Azmin bagi tahu saya lebih banyak daripada itu, tapi saya simpan dulu,” katanya ketika berucap pada program Kupasan Politik Semasa anjuran Gerakan Reformasi Perform di sini, hari ini.

Semalam Ezam berkata, seorang “pemimpian kanan” PKR menjadi orang tengah dalam pertemuan pemimpin PAS dengan Mahathir di London.

Beliau juga mendakwa Azmin merupakan individu yang memulakan langkah untuk merosakkan proses peralihan kuasa antara Mahathir dengan Anwar.

Dalam perkembangan sama Ezam turut mendakwa gerakan Kongres Maruah Melayu juga merupakan satu percubaan untuk menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Program itu katanya, yang dihadiri Azmin turut dihadiri Mahathir dan pemimpin pembangkang , lain termasuk Umno dan PAS.

“Dia mula main dengan Kongres Maruah Melayu. Main dengan isu agama, isu kaum. Sebagai perdana menteri dia (Mahathir) luluskan, angkat tangan sebelah kanan Hadi, belah kiri Annuar Musa, tapi ,Anwar Ibrahim tak dijemput. Apakah Anwar bukan Melayu?

“Bab cerita Melayu, panggillah Anwar, tapi tak panggil. Anwar tetap tak gelabah, dia tak berganjak. Malah dia sebut, saya tidak akan berganjak daripada perjuangan reformasi dan tidak akan tunduk kepada permainan politik kaum sempit yang akan mengalihkan fokus kita untuk melakukan reformasi melawan kelompok elit, rasuah dan menyeleweng,” katanya.

Sebelum ini sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan 138 ahli Parlimen (MP) telah menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal pentadbiran kerajaan semasa.

Portal itu melaporkan antaranya ia melibatkan 18 MP PAS, 26 MP PKR, sekurang-kurangnya 13 daripada 39 MP Umno dan 26 MP PPBM

PAS sebelum ini berkata, parti itu akan membawa usul percaya terhadap kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri pada persidangan Parlimen yang akan disambung semula pada 9 Mac ini.

Timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu adalah bagi menamatkan terus pertikaian sama ada Mahathir mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat atau sebaliknya.

FMT

Wednesday, January 29, 2020

Kes Zuraida: Demo tak pengaruhi lembaga disiplin - Anwar

BERITA

Presiden PKR Anwar Ibrahim menegaskan sebarang perhimpunan sama ada menyokong atau membantah pemecatan naib presiden parti itu Zuraida Kamaruddin tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin parti itu.

Oleh itu beliau meminta pihak yang berkumpul di hadapan ibu pejabat parti dan di mana saja supaya bersurai.

Jelasnya, lembaga disiplin parti itu diminta memantau tindakan anggota parti itu yang melanggar arahan tersebut.

"Merujuk kepada kumpulan yang hadir dan berkumpul di depan ibu pejabat PKR bagi menyokong atau membantah pemecatan Zuraida Kamaruddin, saya meminta kepada mereka untuk bersurai.

"Tindakan menyokong atau membantah di mana-mana lokasi lain juga sama sekali tidak akan mempengaruhi lembaga disiplin yang harus memutuskan sebarang keputusan secara bebas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pagi ini, meskipun dalam keadaan hujan penyokong dan anggota PKR yang membantah Zuraida berkumpul di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Terdapat juga perhimpunan mengecam menteri perumahan itu di tempat sama.
Demo anti-Zuraida
Semalam, Malaysiakini melaporkan penyokong Zuraida dijangka mengadakan perhimpunan solidariti di 10 lokasi di seluruh negara hari ini ketika beliau hadir ke ibu pejabat parti bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin.

Pejabat Zuraida memberitahu media bahawa ahli parlimen Ampang itu akan hadir esok pada jam 12.30 tengah hari untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.

Zuraida setakat ini enggan mendedahkan alasan surat tunjuk sebab itu dikeluarkan kepadanya namun memberi gambaran bahawa ia mempunyai kaitan dengan ucapannya yang dibuat semasa perhimpunan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Renaissance Hotel bulan lepas.

Pemberitahuan kepada media itu juga termasuk jemputan untuk liputan perhimpunan solidariti di Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Johor dan Negeri Sembilan yang akan diadakan serentak pada jam 1 petang.

Tuesday, January 28, 2020

Penyokong Zuraida dijangka berhimpun di 10 lokasi seluruh negara

BERITA

Para penyokong Zuraida Kamaruddin dijangka mengadakan perhimpunan solidariti di 10 lokasi di seluruh negara esok ketika naib presiden PKR itu hadir ke ibu pejabat parti bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh lembaga disiplin.

Pejabat Zuraida memberitahu media bahawa ahli parlimen Ampang itu akan hadir esok pada jam 12.30 tengah hari untuk menjawab surat tunjuk sebab berkenaan.

Zuraida setakat ini enggan mendedahkan alasan surat tunjuk sebab itu dikeluarkan kepadanya namun memberi gambaran bahawa ia mempunyai kaitan dengan ucapannya yang dibuat semasa perhimpunan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali di Renaissance Hotel bulan lepas.

Pemberitahuan kepada media itu juga termasuk jemputan untuk liputan perhimpunan solidariti di Kelantan, Pahang, Terengganu, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Johor dan Negeri Sembilan yang akan diadakan serentak pada jam 1 petang.

Pada 17 Jan, dua kumpulan penyokong PKR berhadapan di luar ibu pejabat parti di Petaling Jaya ketika pemimpin parti bertemu untuk mesyuarat bulanan pimpinan pusat PKR.

Friday, January 17, 2020

Azmin: Sekarang bukan masa bincang peralihan kuasa PM

Diterbitkan Hari ini 6:53 petang

BERITA

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengingatkan agar pihak yang menggesa peralihan kuasa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengutamakan kepentingan negara dan bukannya individu.

Meskipun tidak menyebutkan nama tertentu, Azmin dipercayai merujuk kepada cadangan beberapa ahli parlimen PKR agar peralihan kuasa dilakukan pada Mei tahun ini.

Azmin mempersoalkan alasan individu tertentu yang menggesa Mahathir berundur meskipun perdana menteri itu sudah menyatakan komitmen untuk menepati janji dan menyerahkan kuasa kepada Anwar.

"Saya telah berulang kali mengatakan bahawa kestabilan adalah penting bagi pelabur, jadi sila terus bekerja demi kepentingan rakyat atau negara dan bukannya melayani kepentingan individu," katanya.

Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata tidak perlu tergesa-gesa peralihan kuasa kerana ada perkara yang lebih penting untuk ditumpukan pada tahun ini.

Maka, katanya, Mahathir harus diberi sokongan penuh untuk terus memimpin negara.

Selain pilihan raya kecil (PRK) Kimanis yang akan diadakan esok di Sabah, beliau juga memetik sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur tahun ini sebagai contoh.

"Kita harus menetapkan keutamaan kita," katanya kepada pemberita ketika berkempen untuk calon Warisan bagi PRK Kimanis, Karim Bujang, hari ini.

"Rakyat mahu melihat kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri bekerja keras untuk membangunkan negara.

"Ini bukan masanya untuk membincangkan mengenai peralihan kuasa," katanya, sambil menambah ramai yang berkongsi pandangannya.
Azmin berkata terpulang kepada Mahathir untuk memutuskan tarikh peralihan kuasa itu selepas membincangkannya dengan majlis presiden Pakatan Harapan.

Beliau menambah bahawa Warisan, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan persekutuan, juga harus dibenarkan untuk terlibat dalam perbincangan itu.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan beberapa ahli parlimen PKR agar Mahathir menyerahkan kepimpinannya kepada Anwar pada bulan Mei.

Selasa lalu, Mahathir berkata beliau bersedia melepaskan jawatannya dengan segera sekiranya majlis presiden PH mahu beliau berbuat demikian.

Susulan itu, Ahli Parlimen DAP Charles Santiago dan Pengerusi DAP Kelantan Zaid Ibrahim menyeru majlis presiden PH untuk bertemu dan menetapkan tarikh peralihan kuasa.

Mereka berpendapat bahawa ketidakpastian yang berterusan terhadap isu peralihan tidak baik untuk negara.

Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tidak ada keperluan untuk majlis presiden PH untuk membincangkan perkara itu kerana pengerusi PH itu sudah menyatakan akan meletak jawatan selepas sidang kemuncak Apec.

Semasa temu bual dengan Reuters bulan lalu, Mahathir berkata beliau akan memenuhi janjinya untuk menyerahkan kepimpinan sebelum sidang kemuncak Apec.

Thursday, January 9, 2020

Kes video intim: Tiada pertuduhan, forensik gagal kenal pasti suspek, kata AG

BERITA

Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dibuat daripada video intim kontroversi yang dikaitkan dengan personaliti politik.

Kenyataan media itu dipercayai merujuk kepada klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas berkata, pakar forensik AS "gagal" mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.

"CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walau pun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis telah dijalankan.

"Disebabkan oleh dapatan yang tidak konklusif tersebut, PDRM telah menghantar untuk dianalisis secara bebas oleh pakar forensik di AS. PDRM menerima keputusan analisis pada bulan Disember 2019.

"Laporan yang bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, 'kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas," katanya.

Kata Tommy, susulan itu, timbalan pendakwa raya telah sebulat suara mengesyorkan kepadanya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak,” katanya lagi.

Klip video intim itu mula tersebar pada 11 Jun 2019 menerusi beberapa kumpulan Whatsapp yang disertai petugas media.

Ia didakwa dirakam di Hotel Four Point, Sandakan pada 11 Mei lalu, iaitu ketika berlangsungnya pilihan raya kecil (PRK) Sandakan.

Pada hari berikutnya, dalam satu siaran video, Haziq mengaku terlibat dalam rakaman video itu, dan mendakwa Azmin merupakan individu yang bersamanya dalam klip video tersebut.

Azmin konsisten menafikan terlibat dalam rakaman dan aktiviti seks dalam video tersebut, dan menuduh dakwaan ke atasnya sebagai usaha memusnahkan kerjaya politiknya.

Thomas berkata sejak 13 Jun, Jabatan Peguam Negara (AGC) bekerjasama dengan polis dalam meneliti kertas siasatan berhubung klip video intim yang disiasat di bawah 377B dan 377D Kanun Keseksaan.

Kata Thomas, protokol penyiasatan telah diikuti, dan ramai saksi ditemu bual oleh PDRM bagi memastikan fakta berhubung video itu selain tangkapan serta reman juga dibuat terhadap beberapa saksi berkaitan sepanjang penyiasatan.

Jelasnya juga, terdapat pelbagai keadaan menyumbang kepada kelewatan dalam melengkapkan siasatan kes itu, terutamanya masa yang diambil bagi memuktamadkan laporan forensik.

Ini termasuklah kekangan dan prosedur kerajaan yang perlu ditempuh dalam mendapatkan kelulusan kewangan tambahan bagi membolehkan PDRM melengkapkan penyiasatan.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas turut merujuk laporan analisis yang dibuat oleh “orang persendirian tanpa diminta” kepada PDRM.

Thomas dipercayai merujuk kepada laporan analisis yang diserahkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Adam.

Kata Thomas, analisis laporan yang diserahkan Lokman mengesahkan dapatan laporan CyberSecurity dan pakar forensik luar, bahawa pengenalan identiti tidak boleh dibuat secara konklusif berdasarkan analisis pengecaman wajah.

Bagaimanapun, Thomas berkata, selaras dengan amalan biasa, penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru berhubung kes itu diperolehi.

Tuesday, December 31, 2019

Lokman beri tempoh 7 hari kepada AG jawab status laporan polis video semburit

AKMAL MANAF
FOTO : GHIFARI MUSTAFA


Jabatan Peguam Negara diberi tempoh tujuh hari untuk menjawab status laporan polis yang dibuat Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam pada 11 Jun lalu.

Tempoh seminggu itu diberikan oleh Lokman sendiri yang mahu melihat keadilan ditegakkan khususnya dalam kes video semburit mirip Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya beri tempoh seminggu kepada pihak peguam negara untuk mereka menjawab status laporan polis yang telah saya buat.

“Jika mereka (pihak peguam negara) tidak menjawab, maka peguam saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap Tommy Thomas.

“Kita sudah menghantar surat kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah dan mereka sudah menjawab. Polis memberitahu menunggu siasatan daripada badan forensik dan setelah mendapat jawapan pihak forensik, polis juga telah mengemukakan kertas siasatannya kepada jabatan peguam negara.

“Maknanya tugas dan tanggungjawab pihak polis telah diselesaikan. Cuma saya minta pihak polis menjaga integriti dan maruah pasukan.

“Mereka harus mendedahkan dan menunaikan janji yang telah dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed untuk mendedahkan identiti pelaku video semburit yang mirip Azmin dan juga Haziq itu,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan ibu pejabat Jabatan Peguam Negara, di Putrajaya hari ini.

Lokman berada di Putrajaya hari ini bertujuan menyerahkan surat kepada Tan Sri Tommy Thomas berhubung status laporan polis yang telah dibuat oleh beliau.

Dalam pada itu, Lokman mendakwa Tommy Thomas telah melakukan kesalahan dengan tidak menjalankan tugasnya kerana tunduk dengan arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya nak beritahu, Tun Mahathir telah mengarahkan supaya kes Azmin Ali ini tidak ada sebarang tindakan susulan atau ‘no further action’ (NFA).

“Sepatutnya dalam sistem perundangan negara, Perdana Menteri tidak boleh campur tangan,” katanya.

Pada 11 Jun lalu, Lokman membuat laporan untuk menggesa polis menyiasat kesahihan klip video seks sejenis itu, penyebar video dan pelakunya.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/lokman-beri-tempoh-7-hari-kepada-ag-jawab-status-laporan-polis-video-semburit/

Sunday, December 8, 2019

Di hotel tempat PKR ditubuhkan, Azmin dan penyokong nyatakan pendirian

Alyaa AlhadjriB Nantha Kumar & Fion Yap
Diterbitkan Hari ini 7:15 malam


BERITA

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya malam ini berkumpul di Hotel Rennaisance di Kuala Lumpur, tempat tertubuhnya Parti Keadilan Nasional 20 tahun lalu.

Perkumpulan itu, dengan mengambil kira pemilihan lokasinya, dilihat sebagai isyarat jelas terhadap para pengkritiknya, setelah berakhirnya Kongres Nasional PKR ke-20 di Melaka tengah hari tadi.

Program itu beberapa jam selepas Azmin dan sejumlah pemimpin yang menyokongnya tidak menghadiri hari terakhir kongres yang ditutup oleh presiden parti Anwar Ibrahim.

Sejumlah 1,000 hadirin menyertai "majlis makan malam apresiasi" di hotel tersebut malam ini.

"Saya dan Tian Chua di dalam dewan ini pada 1999, Zuraida berada di sini, Sivarasa berada dalam dewan ini. Ramai lagi yang ada dalam dewan ini (pada masa itu).

"Tetapi 20 tahun kemudian, pada 7 Disember 2019, saya digelar pengkhianat," kata Azmin merujuk kepada ucapan Anwar di kongres semalam.
Dalam ucapan itu, Anwar membangkitkan kisah si Kitol dan Raja Mendeliar dalam sejarah Melaka, yang dilihat sebagai kecaman tidak langsung kepada Azmin.

Kisah itu menyebabkan para penyokong Azmin keluar dewan semalam, dan tidak hadir ke kongres pada hari ini.

Azmin yang menerima sambutan meriah sebaik tiba di dewan hotel itu, menegaskan bahawa PKR ialah milik rakyat.

"PKR bukan diasakan oleh seorang individu atau satu keluarga, ia diasaskan oleh rakyat," katanya.

[Berita lanjut menyusul]

Tian Chua kena boo ketika sebut nama Azmin

Diterbitkan Hari ini 1:00 tengahari

BERITA

KONGRES PKR | Suasana dewan di MITC Melaka pada hari terakhir Kongres PKR riuh apabila Naib Presiden PKR Tian Chua menyampaikan ucapan.

Kongres hari ini bermula tanpa kehadiran beberapa pimpinan utama termasuk Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita Haniza Talha.

Kehadiran Tian Chua mencuri tumpuan kerana beliau merupakan antara yang hadir bersama penyokong Azmin pada sidang media semalam menyatakan rasa tidak puas hati kerana melihat kongres menjadi medan mengkritik timbalan presiden.

Ketika mengambil alih pentas tengah hari ini, Tian Chua pada mulanya mendapat sorakan daripada hadirin yang menyifatkannya sebagai berjiwa besar.

Bagaimanapun, nada sorakan bertukar sebaik Tian Chua menyebut nama Azmin dan Zuraida.

Hadirin turut memberi reaksi sama ketika Tian Chua menyentuh soal jawatan perdana menteri.

Susulan itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berada di pentas dilihat berdiri dari kerusinya untuk menenangkan keadaan.

Pengerusi tetap Ahmad Kassim kemudian mengingatkan para hadirin menghormati presiden.

[Berita lanjut menyusul]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-